Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

01 June 2011

Buah Dari Istiqamah


Awal bulan lepas, saya menulis satu artikel tentang bagaimana proses pembelajaran berlaku dengan usaha kita menulis. Pada saya manfaatnya cukup besar. Tetapi kali ini bukanlah saya mahu memanjangkan lagi topik tentang faedah dari menulis, sebaliknya mahu mengajak kita sama berfikir tentang nilai sebuah Istiqamah.

Membuat suatu kebaikan memang mudah. Mencetus suatu idea yang baik memang senang. Tetapi dari aspek pengamalan, rupanya tidak seindah bahasa.

Banyak amalan yang baik terhenti di tengah jalan, dan banyak idea yang hebat tidak sampai ke mana, lantaran gagalnya manusia mengaplikasikan nilai Istiqamah dalam diri mereka.

Menulis juga begitu.

Banyak karya-karya hebat dihasilkan oleh seorang individu tertentu, samada di majalah, novel mahupun blog, tetapi akhirnya senyap sunyi tenggelam di bawa arus zaman. Sesekali di jenguk, artikel lama masih menghiasi muka hadapan. Bulan berganti bulan, bahkan mencecah tahun.

Rupanya, bukan senang mahu apply sifat Istiqamah dalam diri.

Ia berkait rapat dengan sejarah bermula sesuatu usaha, tentang niat terutamanya. Ada orang memulakan suatu usaha yang baik, contohnya menulis, tetapi didasarkan kepada niat yang salah. Bukan sedikit orang yang menulis kerana gilakan nama, habuan dan nilaian di dunia.

Niat ini akhirnya membawa kepada terkuburnya usaha tersebut di tengah jalan. Samada niatnya demi habuan duniawi telah tercapai, atau berakhir lantaran usahanya selama ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Sedang di luar sana, berapa ramai insan yang mendambakan agar usaha murni itu berterusan.

Pepatah arab menyebut : Istiqamah itu adalah lebih baik dari seribu karamah.

Power daripada sifat Istiqamah itu cukup tinggi. Cuma manusia jarang sekali mampu mencecah kepada peringkat tersebut. Termasuklah saya , yang masih perlu terus melipatgandakan usaha.

Saya agak sedikit kecewa apabila ramai penulis yang hebat di mata saya, di mana saya meminati karya mereka dan mengagumi buah tangan mereka, tetapi terus bersikap sambil lewa dalam penulisan mereka.

Saya tidak pandai berkarya. Saya bukan orang sastera, yang pandai menggubah bunga bahasa yang begitu cantik, pemuitis pula. Saya cuma seorang biasa yang memegang prinsip menulis untuk belajar.

Tetapi mereka orang-orang hebat.

Ada di antara mereka cukup lincah bermain bahasa, ada juga yang hasil penulisannya mirip dengan penulis terkemuka ; saifulislam.com. Karya mereka juga ranum berisi, setiap perenggan ibarat matan-matan ilmu yang bisa dihurai kepada berjilid buku. Ada ilmu berguna yang dapat memberi manfaat besar pada yang membaca.

Ya, mereka hebat. Tetapi sayang , Istiqamah dianaktirikan - dalam skop usaha penulisan mereka. Dalam skop yang lain, saya optimis, mereka terus hebat.

Dari situ saya terfikir, alangkah baik andaikata karya-karya penulisan mereka terus menerus dihasilkan, tanpa terhenti biar apa sekalipun alasannya. Kekangan masa adalah alasan paling biasa yang kedengaran. Tetapi hakikatnya, seorang penulis yang hebat dan mengajak orang lain untuk menjadi hebat, masakan masih bersilat dengan tajuk pengurusan masa?

Ada banyak faktor seseorang itu menjadi lesu dan kurang istiqamah dalam penulisan, selain kekangan masa. Faktor dari diri sendiri dan faktor sasaran atau persekitaran. Ada antara faktor tersebut dapat diatasi, dan ada yang memang menemui jalan buntu. Contoh mudah, seorang penulis blog tanpa internet. Semestinya, jalan mati.

Tetapi dalam pada itu, sebenarnya lebih banyak faktor yang boleh di atasi, tetapi tidak diatasi sebaiknya.

Faktor terlalu bergantung pada sambutan pembaca kerapkali mendorong penulis untuk menjadi lesu dari terus berkarya. Mereka merasakan karya mereka tidak mendapat sambutan, tiada orang yang mahu membaca, masih banyak blog lain yang hebat-hebat dan sebagainya. Akhirnya, sedar tak sedar, mereka berubah menjadi pembaca blog orang lain, serta penulis status tegar di facebook.

Pada saya, menulis status di facebook tidak sesukar bertarung dengan idea untuk menulis. Malangnya, ramai penulis blog yang hebat semakin leka menulis status, berbanding mencurah ilmu dan manfaat secara lebih jelas dan berisi di dalam blog mereka.

Begitu juga dengan faktor merasa rendah diri dan tidak layak.

Apabila sesuatu karya dihasilkan, impaknya mungkin tidak kelihatan hari ini. Jika prinsip anda dalam menulis adalah ikhlas dan jelas untuk memberi, maka kesannya usah anda cari. Manfaat itu akan datang sendiri. Siapa tahu, dalam diam rupanya begitu ramai yang sedang menikmati manfaat dari kebaikan yang anda sebarkan.

Itulah yang dinamakan buah dari istiqamah.

Teruskanlah menulis dan berkarya, biarpun hari ini ia kelihatan tidak sehebat mana. Tetapi anda boleh memilih, samada untuk menggilapnya supaya menjadi lebih hebat dengan terus menulis dan berkarya, atau membiarkan ia terus bernilai tidak sehebat mana sampai bila-bila, dengan anda berhenti terus dari memperbaiki skill dan idea penulisan anda.


Hakikatnya, Allah adalah sebaik-baik penilai.

Pandangan manusia kadang-kadang lebih menjadikan kita mandom, pasif dan tidak berdaya saing untuk terus maju. Mereka kadang-kadang langsung tidak menghargai idea dan karya kita, dan tidak kurang juga yang seronok kalau kita tidak lagi mencetus idea dan berkarya.

Mereka ini kalau dianggap sebagai musuh, maka lemahlah kita. Tetapi kalau dianggap sebagai cabaran, insyaAllah, kita akan menjadi lebih positif untuk mara ke hadapan.

Carilah motivasi dari Al-Quran. Ia sumber terbaik untuk mengekalkan anda di jalan Istiqamah.

Firman Allah ta'ala :

وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

"Dan katakanlah ( wahai Muhammad ) ; beramallah kamu, nescaya Allah pasti akan memandang amalanmu, dan begitu juga RasulNya dan orang-orang beriman .." [ At Taubah : 105 ]

sekian

1 comments:

musafir June 1, 2011 at 11:09 PM  

subhanallah, syukran atas tasyji' :)

Archive Blog