Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

25 May 2011

Sikap Kita Terhadap Mak Cik Hina Islam


Saya tidak bercadang mahu menulis petang ini, sebelum saya ditakdirkan bertemu suatu laman blog yang menghina Islam. Pemilik blog yang menggelarkan dirinya sebagai 'mak cik' dan menulis pelbagai post mencerca Allah, Nabi Muhammad, memaki hamun ajaran Islam dan tak kurang juga mencarut dengan begitu bebas.

Seperti biasa, komen dan reaksi daripada pembaca blog tersebut boleh dijangka. Sama juga dengan sebelum-sebelum ini, apabila wujud karikatur bersifat menghina Islam, poster atau artikel, maka umat Islam akan cenderung untuk melenting, mengamuk, membalas makian dan tidak kurang juga yang mengancam untuk membunuh.

Sikap yang lahir dari kemarahan yang membuak-buak. Harapnya, kemarahan itu adalah berpunca dari rasa sayang yang menebal kepada Islam, bukan dipandu oleh bisikan hawa nafsu dan syaitan.

Di bawah saya printscreen salah satu post daripada blog tersebut.



ISLAM DAN AGAMA LAIN

Kalau kita mempelajari dan mendalami tentang agama selain Islam, kita akan bertemu dengan beberapa titik temu atau persamaan dengan agama Islam. Sebagai contoh dalam bab Akhlak. Semua agama mengajarkan perkara yang sama, iaitu hormat menghormati, kasih sayang, perpaduan, adab dan sebagainya.

Islam sendiri, sebagai satu-satunya agama yang benar, tidak pernah mengajarkan ummatnya supaya menghina mana-mana agama yang lain. Bahkan dilarang keras daripada menyakiti mereka ataupun merosakkan rumah-rumah ibadah mereka.

Perkara ini paling saya rasai dari negeri Kelantan. Dalam Malaysia semua orang tahu, antara negeri yang paling tegar melaksanakan hukum Islam adalah Kelantan. Tetapi di Tumpat kita boleh saksikan patung Buddha yang sedemikian besar. Sehingga hari ini belum pernah saya dengar mereka diancam ataupun patung tersebut mahu dihancurkan.

Kebebasan dalam beragama serta ketiadaan paksaan untuk memeluk Islam, menjadikan Islam sebuah ajaran yang sangat unik, unggul dan sesuai untuk segenap lapisan manusia. Islam itu Rahmat dan Islam itu untuk seluruh Ummat.


PROVOKASI

Menyentuh tentang fenomena seperti di atas, saya lebih cenderung menganggap ianya sebagai satu bentuk provokasi murahan. Berkemungkinan besar , ia dihasilkan oleh golongan yang bukan beragama Islam, dan mungkin juga golongan yang tidak beragama. Mungkin juga, ia dihasilkan oleh orang yang murtad dari Islam. Boleh jadi, murtad dengan kata-kata dan perbuatan.

Bertelagah secara sembrono dengan pihak sebegini hanya merugikan kita dan mendatangkan fitnah pada agama. Kalau mahu melenting, pada saya biarlah nampak matang dan cerdik.

Umpamanya kita marah kepada Denmark yang menghasilkan Karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w , maka ada yang melakukan tunjuk perasaan di jalan raya, mengangkat sepanduk dan memboikot keluaran mereka. Apa yang penting, suara bantahan itu sampai.

Tetapi tidaklah sampai kita perlu berkampung di depan kedutaan mereka, menjerit perkataan-perkataan yang langsung tidak menggambarkan akhlak kita sebagai muslim, melempar najis, membuat kotor ataupun melakukan serangan ke atas kedutaan tersebut.

Sama juga dengan alam maya.

Mereka kadang-kadang berasa teruja apabila provokasi mereka dilayan. Mereka seronok apabila kita terkial-kial membalas cemuhan dan makian mereka. Mereka gembira untuk terus mencarut, apabila kita juga turut mencarut atas nama 'marah dan sensitiviti'.

Hakikatnya, tindakan sebegitu tidak membawa ke mana.

Cuba kita soroti sirah Baginda s.a.w , tidakkah baginda pernah dicaci, dicemuh, dihina dan disakiti? Hari ini, apabila saya membaca ayat demi ayat ( menggagahkan diri untuk baca ) yang menghina Nabi s.a.w ; timbul sejenis perasaan sayu yang sangat mendalam.

Marah memang marah. Benci memang benci.

Tetapi dari satu sudut, cemuhan dan hinaan sebegitu menjadikan Nabi s.a.w semakin mulia di hati saya.

Saya teringat beberapa bulan lalu, dalam satu program bersama Brother Shah Kirit. Beliau bercerita tentang seorang perempuan yang mahu murtad. Perempuan tersebut ketika dalam sesi kaunseling , mengucapkan kata-kata bahawa ; kalau Muhammad ada di depan saya ketika ini, saya akan bunuh Muhammad itu.

Perempuan tersebut banyak ditimpa masalah dalam hidup, cuma yang malangnya, perilaku segelintir umat Islam menjadikan dia menganggap 'itulah Islam'.

Apa yang saya tidak akan lupa adalah jawapan Shah Kirit kepada perempuan tersebut, yang menjadikan perempuan tersebut sedar, bertaubat dan sekarang menjadi pendakwah tegar kepada Islam. Jawapannya mudah : " Apa salah Muhammad.."


MUHAMMAD

Sampai bila-bila, nama tersebut akan terus mekar di hati kita, insyaAllah.

Hari ini, apabila membaca cercaan kepada Nabi s.a.w , saya menjadi sayu. Ya, apa salah Muhammad? Sesungguhnya, kalau mereka benar-benar mengenali batang tubuh tersebut, sama sekali tidak akan keluar kata-kata nista sedemikian.


SIKAP

Apa yang boleh kita lakukan adalah berusaha untuk mengawal emosi sebagai mungkin dalam mendepani mereka. Kalau mahu berhujah atau berdebat, pilih bahasa yang baik, cuba elakkan dari termakan provokasi, elakkan dari membalas makian atau mencarut.

Jika tidak tahan hati untuk mendepani mereka dengan cara tersebut, maka serahkan sahaja kepada pihak berwajib. SKMM mempunyai autoriti untuk menutup mana-mana web atau blog yang terang-terang melanggar undang-undang atau mengancam ketenteraman awam. Janganlah pula pihak atasan hanya 'laju' dalam isu politik semata-mata, tetapi biarlah seimbang antara kepentingan yang lain juga.

Kita ada banyak wasilah untuk berusaha. Dan kita ada senjata yang paling ampuh iaitu doa. Tetapi, kalau untuk memperbodohkan diri kita di hadapan mereka, pada saya, itu bukan caranya.

Sekian.

5 comments:

Fatimah Zahra' May 25, 2011 at 8:32 PM  

setuju dengan pendapat ni. bagi saya kalau kita marah tak tentu hala, dengan cara yang tak betul pulak tu amarah itu diekspresikan, maka secara tak langsung kita dah tunjuk apa yang islam tak ajar.

sisi yang buruk nilah yang orang kafir dan musuh-musuh islam akan gunakan dan serang kita balik tanpa kita sedar.

semoga 'makcik' tersebut berhenti dari menaburkan hinaan terhadap islam..

Latifah May 25, 2011 at 8:43 PM  

salam...

memang sedih bila baca komen2 kat situ... tapi nak buat macam mana.
kebebasan menyuarakan pendapat tak boleh kita halang.

apa yang boleh kita buat? di pihak Latifah, Latifah dah laporkan blog dan FB 'makcik' tu. selebihnya berdoa, moga Allah memudahkan segalanya.

dan yang paling penting, berusaha memperbaiki diri dengan mengamalkan ajaran Islam dengan sesungguhnya. moga mampu memberi teladan kepada yang bukan Islam tentang keindahan Islam.

Ilham Fiq Ahmad May 25, 2011 at 10:05 PM  

Fatimah Zahra :

dan tanpa sedar, kta pula diperkotak katikkan mereka..

Latifah :

wslm. tindakan yg terbaik. sy xjumpa pulak fb makcik tu. blog jela.

Latifah May 25, 2011 at 11:16 PM  

owhhh... ye ke.
Latifah dah try bukak balik link FB 'Makcik' tu, dah tak de. maybe dah diremove sebab bila klik je kat link, keluar error ni: The page you requested was not found.

masa page 'Makcik' ni keluar dalam bulan 4 ri tu... profile picture memang sama macam yang kat blog tu la...

JHaZKiTaRo May 26, 2011 at 1:29 AM  

salam.. jemput2 la ke my blog (Aku Sebutir Pasir) kalau berminat nak baca my travel experiences ke 46 buah negara.. :)

Archive Blog