Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

31 May 2011

NIKAH DAN KAITANNYA DENGAN NAFSU

kursus kahwin sewajarnya menerapkan unsur akhlak dan iman yang tinggi, bukannya dicemari dengan idea lucah dan keseronokan semata-mata ( gambar hiasan dari google )



Bismillahirrahmanirrahim

Setiap manusia yang dilahirkan secara normalnya mempunyai nafsu dan keinginan. Firman Allah ta'ala :

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
maksudnya : dijadikan indah pada pandangan manusia itu kecintaan kepada apa yang diinginkan berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik. [ Ali Imran : 14 ]

Perasaan cinta, nafsu syahwat dan keinginan merupakan perkara lumrah dalam diri manusia. Tetapi Allah selaku Pencipta yang Maha Cerdik, tidak membekalkan kesemua perkara itu dengan sia-sia. DIA menyediakan manual yang paling lengkap dan teliti untuk diikuti oleh manusia, demi memastikan kesemua perkara berupa nafsu dan keinginan yang dibekalkan tadi, dapat digunakan dengan cermat dan selamat. Kesemuanya untuk faedah dan kebaikan manusia itu sendiri.

Dan manual yang dibekalkan oleh Allah ta'ala adalah Al-Quran, yang disampaikan melalui RasulNya yang mulia, iaitu Muhammad s.a.w.


AKAL

Nikmat paling besar yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia adalah akal. Ia menjadi titik penting untuk membezakan antara manusia dengan haiwan. Haiwan dicipta dengan nafsu, tetapi tanpa akal. Kerana itu haiwan tidak dibebankan dengan taklifan dan amanah, umpama solat, tanggungjawab, dosa pahala dan sebagainya. Adapun manusia, mereka adalah khalifah. Akal yang diberikan oleh Allah harus diguna semaksima mungkin.

Kerana itu kita melihat di dalam Al Quran, bagaimana Allah berulangkali menyuruh manusia menggunakan akal serta pancaindera mereka untuk memperhalusi dan mengambil ibrah dari kekuasaan Allah di muka bumi.

Firman Allah ta'ala :

لَوْ أَنزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya : Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, nescaya kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah, disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir. [ Al Hasyr : 21 ]

Firman Allah ta'ala :

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلاَ تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya : Adakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat? Tidakkan kamu berfikir? [ Al An'am : 50 ]

Rangsangan dari Allah untuk manusia berfikir adalah supaya mereka bertemu dengan kejayaan dunia dan akhirat. Demkian juga dalam mengendalikan nafsu syahwat serta keinginan yang ada dalam tubuh badan mereka. Mereka perlu memanfaatkan sebaik mungkin akal yang ada pada mereka, supaya nafsu dan keinginan tersebut dapat dikawal, bukannya nafsu dan keinginan tersebut yang mengawal mereka.


NAFSU SENTIASA MENYURUH KEJAHATAN

Di dalam Surah Yusuf, Allah ta'ala berfirman :

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Dan aku tidak menyatakan diriku bebas dari kesalahan, kerana sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendorong kepada kejahatan, kecuali yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [ Yusuf : 53 ]

Sifat nafsu memang begitu. Mengajak kita sentiasa berseronok, menjebakkan diri dalam kejahatan, bermalas-malasan dalam beramal ibadah dan sebagainya. Kerana itu nafsu perlu ditundukkan. Nafsu tidak boleh dijadikan panduan atau ketua, sebaliknya perlu dihenyak-henyak, supaya kekal dapat dikawal dan dijaga.

Tamat mukaddimah.


SYARIAT NIKAH

Zaman ini adalah zaman fitnah. Pergaulan antara lelaki dan wanita kebanyakannya berada di paras merbahaya. Gejala pergaulan bebas, zina, buang bayi dan berkhalwat adalah gejala-gejala yang tumbuh subur akibat kelalaian manusia dari mengendalikan nafsu syahwat mereka sendiri.

Islam ada solusi tersendiri untuk meneutralkan masalah tersebut dalam masyarakat. Islam menyediakan jalan keluar yang paling ideal dalam menguruskan hawa nafsu. Islam sepertimana yang kita tahu, menganjurkan pernikahan untuk ummatnya.

Sabda Nabi s.a.w : Wahai para pemuda! Sesiapa yang mempunyai kemampuan dari kalangan kamu maka berkahwinlah. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan kamu dan memelihara kehormatan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa, kerana padanya ada pendinding.

Ramai orang memahami hadith tersebut dalam konteks yang salah, iaitu nikah menyelesaikan segala masalah nafsu syahwat. Oleh itu ada baiknya kita sama-sama meneliti kembali sejauhmana nikah itu memberi kesan kepada keinginan nafsu manusia.


ANALOGI

Cuba kita ibaratkan nafsu dengan makanan. Bulan Ramadhan contohnya, ramai orang yang kelaparan berkunjung ke bazar ramadhan saban petang. Apa terjadi? Mereka memborong begitu banyak juadah yang ada, tanpa memikirkan keperluan perutnya kepada kesemua makanan tersebut. Air ada 3 jenis, nasi ada 3 bungkus, kuih ada 6 plastik, belum termasuk bihun, laksa dan bubur jagung. Akhirnya apabila tiba waktu berbuka, tidak sampai 1/3 yang dapat dimakan. Selebihnya dibuang begitu sahaja.

Itu nafsu, sentiasa mahu yang lebih dari apa yang dia perlu.

Contoh lain, seorang yang mahu mengisi perut. Di hadapannya ada nasi lemak. Tetapi nafsunya menginginkan daging khinzir. Di hadapannya ada air susu, tetapi nafsunya menginginkan air tuak atau arak. Walaupun hakikatnya, nasi lemak dan air susu sudah mampu membuatkan dirinya kenyang. Tetapi lantaran meletakkan nafsu di hadapan, maka dia menjadi buta dalam menilai hakikat.

Kerana itu Allah membuat analogi, bahawa golongan sebegini adalah golongan yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai Tuhan. Firman Allah ta'ala :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ
Maksudnya : Dan tidakkah kamu melihat golongan yang menjadikan hawan nafsu mereka sebagai Tuhan [ Al Jaasiyah : 23 ]


NIKAH DAN NAFSU

Kita ambil contoh seorang yang biasa berzina, kaki perempuan dan gemar mengikut hawa nafsu. Hidupnya dalam bimbingan nafsu, sehingga akalnya sudah tidak berfungsi untuk membezakan kebenaran dan kebatilan. Lalu kita menyuruh dia supaya bernikah, kerana nikah itu dapat menyelesaikan masalah nafsu syahwat.

Belum tentu, nikah itu dapat menjadikan dirinya bebas dari kekangan nafsu.

Nikah bukan sejenis ubat, yang mana apabila disuntik kepada pesakit , maka dirinya terus sembuh. Nikah bukan begitu. Nikah adalah satu alternatif, satu wasilah menjaga diri, wasilah mendekatkan diri pada Allah. Bukan sejenis ubat yang dikira paling mujarab untuk membaikpulih pesakit nafsu.

Hakikatnya, seorang yang tenggelam dalam hawa nafsu sebelum berkahwin, ia akan kekal dalam keadaan demikian selepas berkahwin. Kerana apa? Kerana nikah tidak disyariatkan untuk mengagungkan nafsu manusia.


NIKAH EMPAT

Nikah sama sekali bukan disyariatkan untuk mendewa-dewakan nafsu manusia. Kerana itu Allah benarkan poligami hanya sampai empat. Logiknya, kalau nikah itu demi mengagungkan nafsu, maka sepatutnya tiada had untuk berkahwin. Kerana sama sekali tidak logik, seorang lelaki boleh memuaskan nafsu syahwatnya hanya dengan empat orang wanita!

Orang yang mengagungkan nafsu mereka, serupalah dengan analogi makanan di atas. Ada nasi kerabu, tak cukup. Nasi lemak, tak cukup. Nasi dagang, tak cukup. Nasi beriyani, tak cukup. Empat jenis nasi mana cukup. Mahu lagi nasi himpit, nasi minyak, nasi ambang, nasi ayam dan pelbagai jenis nasi yang lain.

Wanita juga begitu. Katakan yang pertama putih, mahu yang hitam manis pula, kemudian mahu yang tinggi sikit, mahu yang rendah, mahu yang gempal, mahu yang hidung mancung, mahu yang hidung arab, mahu yang muka bujur, mahu yang muka bulat, mahu yang melayu, arab, india, cina, hindustan, jepun, korea dan sebagainya. Cukup? Tidak cukup.

Nafsu tetap tidak akan dapat dipuaskan - sekiranya nafsu dijadikan TUJUAN - walaupun memiliki seribu orang gundik wanita sekalipun.


WASILAH BUKAN TUJUAN

Oleh itu, sebelum memasuki gerbang nikah, sewajarnya kita membezakan antara wasilah dan tujuan. Tujuan kita adalah redha Allah dan bukannya wanita mahupun nafsu. Nikah hanya wasilah sahaja, untuk menyalurkan nafsu ke jalan yang halal, mendinding diri dari maksiat, memelihara maruah , menyambung keturunan dan sebagainya.

Kerana itu antara amalan Nabi s.a.w yang mulia adalah beriktikaf, atau mengasingkan diri dari kehidupan dunia. Beriktikaf contohnya, meninggalkan kita dari isteri untuk suatu ketika, membuka ruang untuk kembali meningkatkan hubungan dengan Allah, menyucikan dosa dan sebagainya. Andainya nikah itu tujuannya untuk nafsu, nescaya amalan iktikaf tidak akan ada sama sekali dalam Islam.


IMAN

Suatu kebenaran yang perlu diketahui oleh semua yang mahu bernikah adalah ; iman itu tunjang untuk melawan nafsu dan keinginan duniawi. Iman perlu diasah, dibajai dan disuburkan sebelum nikah. Iman membimbing kita menjaga pandangan, mengawal hawa nafsu, menjaga lisan, menjaga hati dan meningkatkan kecintaan kepada Allah.

Seorang yang terjebak dengan pengaruh hawa nafsu yang dahsyat, harus segera bertaubat. Taubat merupakan prasyarat paling penting, sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Seandainya tidak, maka pengaruh nafsu tersebut akan dibawa bersama ke alam rumahtangga. Dari situ kita melihat munculnya pelbagai jenis maksiat seperti kes curang, kayu tiga, khalwat dan sebagainya. Semua ini berpunca dari kegagalan seseorang itu melaksanakan proses penyucian jiwa sebelum bernikah.

Adapun jika manusia mengharapkan dengan nikah, ia secara automatik dapat berubah meninggalkan maksiat, menjaga pandangan, meninggalkan pergaulan bebas dengan wanita, meningkatkan iman dan ibadah, maka ia sama sekali suatu retorik yang nyata. Seperti dijelaskan di atas, sesungguhnya, NIKAH bukan UBAT, sebaliknya ia cuma WASILAH.


KESIMPULAN

Nikah adalah suatu proses yang sangat mulia dan dianjurkan oleh syarak. Cuma manusia sahaja perlu bijak menggunakan wasilah tersebut tepat pada masa dan ketikanya. Proses penyucian diri sebelum bernikah adalah suatu proses yang sangat perlu dititikberatkan oleh semua orang. Semoga dari situ, langkah kita ke gerbang perkahwinan adalah langkah yang penuh keberkatan. Lalu akan lahirlah dari situ pasangan yang benar-benar menitikberatkan aspek keimanan kepada Allah, dan apabila dikurniakan zuriat, turut ditarbiyah mengikut acuan Islam yang sebenar.

Fikir dan renungkanlah. Semoga ada manfaat untuk kita bersama.


Sekian.

0 comments:

Archive Blog