Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

24 May 2011

Bercakap Tentang Kahwin : Positif Atau Negatif?


gambar hiasan



Suatu hakikat yang perlu diakui oleh semua orang hari ini adalah ; orang muda suka bercakap tentang kahwin. Itu secara umum, kalau diperincikan ada yang suka bercakap tentang jenis-jenis wanita, ada yang suka bersembang tentang 'budak' perempuan / lelaki yang dikenali, ada yang suka bergosip tentang 'dia tu dia ni' , ada yang tabiatnya gemar melihat gambar-gambar 'awek' dekat facebook dan sebagainya. Sudah tentu, fenomena ini kroniknya dilihat melanda muda mudi yang sedang berada di IPT, tidak kiralah dalam atau luar negara.

Baru-baru ini saya bersembang dengan seorang kawan, sambil minum-minum menanti waktu Isyak. Tajuknya juga tentang perkahwinan. Bukan saya yang mencari tajuk, tapi saya yang dipandu ke arah tajuk tersebut. Dan prinsip saya jelas, ilmu dan pengalaman perlu dikongsi, walau secebis cuma. Lagipun, tidaklah pelik kalau orang yang sudah berkahwin disuakan tajuk-tajuk seperti itu, apatah lagi kalau berada dalam masyarakat yang orang berkeluarga cuma boleh dibilang dengan jari.

Tak ada masalah.

Cuma saya tertarik untuk menulis, negatifkah bercakap tentang perkahwinan. Sebagai contoh, orang muda yang gemar bercakap atau bersembang tentang kahwin awal. Suatu fenomena yang baik atau tidak baik?

Baik, secara asas, tajuknya adalah baik dan sangat molek. Iaitu nikah.

Nikah itu anjuran Nabi, Sunnah Nabi dan ada ganjaran tertentu pula. Ada sangkut paut dengan kesempurnaan agama. Nikah disebut oleh Baginda s.a.w sebagai boleh menjaga pandangan dan boleh menjaga kehormatan. Sudah tentu, anjuran sebegini sangat tepat dipraktikkan oleh orang muda di zaman fitnah sepertimana hari ini.

Tetapi berbicara tentang tajuk yang baik, tidak semestinya meletakkan orang yang berbicara itu sentiasa dalam kondisi yang baik, atau sentiasa menjadi seorang yang baik. Justeru banyak perkara perlu diberi perhatian juga. Contohnya medium yang digunakan, method, sasaran, gaya bahasa, sikap dan sebagainya. Lebih penting daripada itu sudah tentulah tentang niat.

Contoh : bercakap tentang Islam suatu yang baik, tetapi kalau niatnya untuk menunjuk-nunjuk, jatuh hukum haram. Bercakap tentang Islam suatu yang baik, tetapi kalau dengan cara memaksa, memaki hamun atau meninggi diri, jatuh hukum haram juga. Begitu juga, bercakap tentang Islam itu suatu yang baik, tetapi kalau setiap detik dan setiap masa, tanpa menghiraukan keadaan diri sendiri, jadi tak bagus juga.

Samalah juga kalau bercakap tentang kahwin, tidak kiralah pasal kahwin muda, atau nikah masa belajar, atau ura-ura nak bertunang, melamar mahupun ciri-ciri lelaki / wanita yang mahu dipilih. Perkara di atas harus diberi perhatian.

Banyak berlaku, sikap dan perangai kita yang menjadikan suatu perkara dipandang negatif. Sedangkan perkara itu baik, bagus dan sangat molek di sisi agama.

Saya perincikan dalam beberapa contoh :

(1)

Seorang yang bercakap tentang kahwin awal atau kahwin waktu muda, dalam keadaan dirinya memandang serius perkara tersebut dan benar-benar berusaha ke arah tersebut, wajar dikategorikan sebagai positif. Tetapi, seorang yang bercakap tentang kahwin awal atau kahwin muda setiap hari, samada di notes mahupun status facebook, berkongsi pelbagai jenis video dan segalanya tentang kahwin, dalam keadaan dirinya sendiri tidak diberi perhatian dan 'dilupakan' , wajar dikategorikan sebagai negatif.

Apa contoh melupakan diri sendiri? Maksud saya, tenggelam dalam anganan dan impian , berterbangan dan menerawang ke angkasaraya, sedangkan diri sendiri lumpuh tarbiyyah, akademik tidak terjaga, fokus pada pelajaran terabai. Lebih teruk dari itu, calon pun tiada dan perancangan ke arah itu pun ZERO!

Orang sebegini bolehlah diibaratkan sebagai tin kosong. Bunyinya kuat, tetapi apa pun tak ada. Berbeza dengan orang yang ibaratnya seperti ubi, diam-diam berisi, diam-diam dah sampai kad jemputan kenduri. Sudahnya 'tin kosong' juga yang gigit jari.


(2)

Seorang yang bercakap tentang kahwin , dalam keadaan dirinya yang masih bergelar mahasiswa, tetapi cakapnya cukup berpada-pada. Merujuk kepada orang yang benar-benar diyakini, dan merahsiakan daripada orang-orang yang tiada keperluan untuk tahu atau berkongsi, pada saya wajar dikategorikan sebagai positif. Apabila dia bersuara tentang nikah, dia dilihat sebagai serius, matang dan cerdik.

Tetapi seorang yang bercakap tentang kahwin, dalam keadaan dirinya yang masih bergelar mahasiswa, tetapi cakapnya kecoh serata dunia. Suka pula membuat spekulasi, kononnya sudah berpunya, akan berkahwin tak lama lagi dan sebagainya. Suka pula menulis status-status yang menampakkan dirinya sungguh 'gedik' dan mengada-ngada. Nampak sangat gatalnya mahu kahwin. Maka pada saya, keadaan seperti ini wajar dikategorikan sebagai negatif.


NASIHAT

Saya ada nasihat. Dan saya selalu kongsikan nasihat ini pada beberapa orang bujang yang datang berjumpa saya atau bertanya tentang perkahwinan.

Nasihat saya mudah. Anda lebih mengenali diri anda sendiri. Kelebihan , kekurangan, kekuatan dan kelemahan. Anda tahu hukum perkahwinan itu ada lima, samada wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram. Dan anda juga tahu untuk MENEMPATKAN diri anda di kedudukan yang mana satu. Anda tidak perlu datang berjumpa saya atau sesiapa untuk mengatakan paras kedudukan anda dalam hukum tersebut.

Saya sendiri, memberikan jawapan yang berbeza kepada setiap orang yang bertanya, bergantung kepada pengamatan saya terhadap diri yang bertanya. Kalau yang bertanya cuma mahu main-main atau suka-suka, jawapan saya lebih cenderung supaya fokus belajar dan kejar cita-cita. Tetapi kalau sebaliknya, kelihatan serius, ada keazaman, maka lainlah pula jawapan saya. Sebolehnya, saya akan cuba bantu. Hatta kalau sampai tahap mencarikan calon untuknya pun saya akan bantu.

Tetapi persoalannya berbalik kepada anda. Nasihat saya, letakkan diri anda pada kedudukan yang betul. Contoh? Cuba amati dialog di bawah :

" bang..saya akhir2 ni kerap pikir pasal kawin. dulu tak macam ni. " Dia kelihatan runsing.

" apa yang membuatkan awak cenderung pikir pasal tu? "

" yela..kitorang ni duk satu rumah. member pulak hari2 sembang pasal kawin. tengok gambar dia tu la, dia ni la kat facebook. yang sorang tu pulak da nak kawin taun ni..lagipun kan ramai nak kawin taun ni. dah jadi cam trend pulak.."

" jadinya..awak terikut dengan trend? " Saya menduga.

" saya dulu takde lah pikir sangat..sekarang ni dah kerap pulak pikir..terikut dengan trend kot..hehe " Jawapnya sambil tersengih.


Ok, dialog di atas adalah rekaan.

Pointnya, keadaan di atas menunjukkan anda meletakkan diri anda di tahap yang tidak sepatutnya. Seharusnya tumpuan diberikan kepada pelajaran, persatuan, kerja-kerja Islam dan sebagainya ketika masih bujang, tetapi dibazirkan dengan berkhayal dan berfikir tentang kahwin awal atau kahwin waktu muda. Tentulah ia suatu perbuatan yang membazir masa dan tenaga.


'Tak Payah Fikir'

Kemudian, selepas anda meletakkan diri anda pada posisi dan tahap yang betul, barulah anda bentangkan plan dan mula bergerak ke arah merealisasikan plan tersebut. Jujurnya, saya suka nasihatkan kepada orang muda yang tidak terfikir atau belum berfikir soal kahwin, tak payahlah fikir.

Sekali lagi, tak payahlah fikir. Itu belum menjadi keutamaan kepada anda. Kecuali mereka-mereka yang mempunyai kepentingan untuk berfikir ke arah itu, kita doakan yang terbaik untuk mereka. Bukan kita menghukum mereka.

Sudah tentu diakhirnya, Allah lebih mengetahui yang TERBAIK.


Sekian.


p/s : saya masih berhutang satu topik, iaitu macamana kalau tekad mahu kahwin, tetapi ayah pula bertekad mahu halang. InsyaAllah ditunaikan dalam masa terdekat.

8 comments:

Angah May 24, 2011 at 9:31 AM  

kalau masih dibangku 'study' elok lah tak payah fikir sangat soal kahwin. lagipun jodoh datang sendiri, kalu tak fikirpun kalau dah jodoh anda akan tetap kahwin juga...

fatimah May 24, 2011 at 9:45 AM  

Assalamualaikum.Saya setuju dengan pandangan ustaz.Terima Kasih atas pencerahan.Ustaz,saya mohon izin untuk copy entry ustaz ini pada blog saya,saya akan sertakan link artikel ini.Mohon keizinan dari ustaz.Terima Kasih

abuhakim May 24, 2011 at 10:45 AM  

entri yg sesuai pada masanya dan sgt bermanfaat..barakallahufik

Fatimah Zahra' May 24, 2011 at 11:29 AM  

betul! semua orang asyik nak cakap pasal kahwin, nampak yang best je lepas kahwin, yang tak bestnye.. yang tanggungjawab lagi, semua tu tanak pulak pikir dalam-dalam.

Ilham Fiq Ahmad May 24, 2011 at 7:18 PM  

Angah :

ada betulnya, terutama pada yang belum 'perlu' fikir..macam yg saya cakap.

Ilham Fiq Ahmad May 24, 2011 at 7:18 PM  

fatimah :

silakan..mudah2an ada manfaatnya.

Ilham Fiq Ahmad May 24, 2011 at 7:19 PM  

abuhakim :

'sesuai pada masanya' ? :) sama2

Ilham Fiq Ahmad May 24, 2011 at 7:20 PM  

Fatimah Zahra' :

sebab ramai orang muda lebih teruja dan cenderung melihat keseronokan. sebab itu mereka perlu dibimbing ke arah lebih matang kalau nak bicara bab2 kawin ni..:)

Archive Blog