Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

26 May 2011

Anak Muda Jangan Gelojoh!



gambar hiasan


Gelojoh boleh ditafsirkan sebagai tergesa-gesa, terburu-buru dan bertindak tanpa berfikir panjang. Sifat seperti ini normal saja pada anak muda. Pada mereka, apa yang difikir, itulah yang paling betul dan tepat.

Seringkali kita melihat, pendapat anak muda bertembung dengan pendapat orang tua. Orang yang berpengalaman tidak sama dengan orang yang masih belum punya pengalaman. Orang yang sudah merasa garam, dia tahu garam itu masin. Tetapi tentu sekali orang yang tak pernah merasa garam, tidak akan mengetahui betapa masin benda bernama garam.

Persoalan ini basic saja.

Ambil contoh mudah, nikah. Kenapa dalam banyak-banyak keadaan, orang tua cenderung menyekat kehendak orang muda. Kenapa dalam banyak-banyak keadaan, orang muda akan berbeza pendapat dengan orang tua dalam perkara tersebut?

Jawabnya mudah. Faktor kematangan. Pengetahuan yang berbeza. Hakikat yang sudah dirasai dan kejahilan pada yang belum merasa.

Siapa salah?

Saya tidak menulis untuk menjadi hakim, dengan mengatakan anak muda salah, atau orang tua yang salah. Pendapat tetap adalah pendapat. Tetapi persoalan sikap, kadang-kadang menentukan samada kita berada di titik yang betul atau salah.

Tentang orang tua, saya tulis dalam entri yang lain.

Saya fokuskan di sini tentang anak muda. Itulah saya dan sebilangan besar dari anda yang membaca. Kalau anda mendengar kata dari saya, atau membaca idea penulisan saya, jangan letakkan diri anda sebagai orang yang diadili manakala saya adalah hakim. Itu satu kesilapan.

Dari situ, anda akan cenderung menyalahkan saya, menentang serta menganggap saya tidak memahami anda.

Saya menulis tentang KITA.

Suatu hakikat yang perlu kita akui adalah, kita sebagai anak muda, cenderung untuk bersikap gelojoh dan terburu-buru. Terutama bagi yang bersungguh-sungguh dengan tekad mahu kahwin awal. Pantang menerima pendapat berbeza, pasti akan diisytiharkan 'jihad sampai mati'. Dahsyat sungguh.

Saya tidak mengatakan anak muda yang bertekad mahu kahwin awal sebagai gelojoh. Tidak. Bahkan tekad itu saya sanjung dan hormati. Gelojoh yang saya maksudkan adalah, membuat keputusan dengan terlalu mengikut kata hati, seolah sudah bertemu jalan mati, seolah sudah tiada peluang lagi dan seolah kalau aku tidak buat begini hidup aku sudah tiada erti.

Pantang disuakan sudut pandang yang lain, maka akan ditolak bahkan ditendang mentah-mentah. Sewenang-wenang juga dianggap orang lain tidak memahami diri kita. Atas dunia ini hanya aku yang faham diri aku. Selain itu, tiada! Jadi jangan sesekali tentang pendapat aku!

Itu ego namanya , kawan.

Suatu pepatah arab menyebut ; hemah seorang lelaki boleh meruntuhkan bukit.

Itu gambaran prinsip, ketegasan, pendirian yang kukuh dan keberanian yang tinggi. Tetapi ingat, itu bukan gambaran EGO. Itu bukan suatu 'alasan' untuk anda bersikap biadab dengan orang yang tidak sependapat dengan anda, atau untuk anda menolak segala sudut pandang lain yang disuakan kepada anda.

Jangan nampakkan diri anda terlalu gelojoh bersalut ego. Itu hanya menjauhkan anda dari gerbang perkahwinan yang mulia. Sehingga kini, saya yakin dengan suatu hakikat ; Allah sesekali tidak akan mengizinkan perkahwinan ke atas anda, melainkan ketika anda benar-benar BERSEDIA ( pada nilaian Allah ).

Sebab itu saya pesan dan nasihat sesama anak muda ; jangan gelojoh sangat bro.

Apabila anda meletakkan suatu tekad, pastikan ia berdiri atas dasar yang jelas. Pastikan Allah sentiasa dalam hati anda. Banyakkan solat hajat dan bermesyuarah.

Dalam bermesyuarah itulah, sikap anda teruji. Katakan hari ini seorang menyokong penuh hasrat dan tekad anda. Maka anda tersenyum sampai telinga. Esoknya, anda bertemu dengan seorang yang menentang hasrat dan tekad anda, maka adakah anda wajar 'menyepak' dia ke tepi?

Sekali lagi, jangan gelojoh wahai anak muda.

Dengar dan fikir, bukan bermakna anda bersetuju. Betul? Mendengar dan berfikir tentang suatu sudut pandang yang lain, di samping sudut pandang sedia anda, memimpin anda menjadi lebih matang. Tanpa sedar , Allah sedang mentarbiyah anda. Allah sedang melatih anda.

Tetapi kalau anda gagal untuk sedar, anda akan terbawa-bawa dengan sikap gelojoh, enggan bertoleransi, keegoan yang menebal, yang mana semua ini akan memberi kesan yang amat-amat NEGATIF di masa hadapan anda.

Itu namanya tarbiyah sebelum kahwin. Sangat penting untuk seorang anak muda.

Namun kebiasaannya, anak muda gagal mentafsir cabaran dengan betul. Cabaran dianggap sebagai penghinaan, lantas dia gagal mencari sudut positif untuk dijadikan motivasi dan kekuatan. Ini silapnya.

Sampai suatu masa, Allah izinkan dia berkahwin, barulah dia memahami segalanya. Dan tidak mustahil , waktu itu dia juga akan bercakap seperti saya.

Fikir-fikirkan wahai anak muda.


sekian.



p/s : blog ini banyak menerbitkan entri tentang couple, nikah, kahwin dan yang sewaktu dengannya. saya memohon kemaafan sekiranya anda bukan sasaran yang betul. anda sama sekali tidak dipaksa untuk baca. harap maklum ^^

2 comments:

abuhakim May 26, 2011 at 12:23 PM  

jazakallah atas pandangan us, sama2 kita muhasabah diri sendiri.

Ilham Fiq Ahmad May 26, 2011 at 9:19 PM  

abuhakim :

na'am..muhasabah bersama ~

Archive Blog