Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

10 April 2011

Ketika Al-Quran Tidak Lagi Memberi Ketenangan





Perjalanan hidup manusia sentiasa meletakkan mereka dalam arus cabaran dan dugaan. Tidak ada manusia yang hidup tanpa diuji dan dicuba. 

Sudah tentu, dalam berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran itu, kesan yang paling besar adalah pada hati2 mereka. Hilangnya ketenangan, dihimpit keresahan dan kegundahan, adalah antara masalah utama yang membelenggu jiwa insan.

Islam adalah agama rahmat.

Agama yang di dalamnya diajarkan sejuta petua dan cara untuk menjadikan kita sebagai manusia yang paling beruntung dalam kehidupan dunia, juga kehidupan akhirat. Segala cara dan petua tersebut, bukan suatu rahsia dari sudut ilmunya. Bahkan segala cara dan petua tersebut wujud di dalam kitab suci bernama Al-Quran dan diajarkan di mana2 sahaja.

Salah satu petua yang diajar oleh Islam adalah, bagaimana untuk memberikan ketenangan kepada hati.

Ramai orang hidupnya kelihatan mewah dan senang, tetapi rupanya dia tidak pernah tidur lena pada waktu malam. Begitu juga orang yang zahirnya nampak berkuasa dan berpengaruh, rupanya tidak pernah dapat menikmati hidup yang tenang dan aman. Bukan soal harta, kuasa mahupun pangkat yang tiada pada mereka. 

Tetapi soalnya adalah hati. Hilang ketenangan, muncullah kecelakaan dalam kehidupan.

Dan ketenangan itu pemberian Allah. Anugerah yang tiada nilai. Bukan boleh dibeli di kedai atau pasaraya. Satu2nya cara adalah meminta kepada Allah Yang Maha Kuasa.


AL-QURAN

Di dalam Al-Quran diajarkan bahawa, untuk memberi ketenangan kepada hati, maka lazimilah berzikir dan mengingati Allah. Firman Allah ta'ala : " Ketahuilah (bahawa) dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang ".

Banyak bentuk zikir yang diajar kepada kita, baik di dalam hadith mahupun dari lidah pada ulamak. Tetapi zikir yang paling afdhal sudah tentulah membaca Al-Quran, kerana di dalam Al-Quran itu sendiri terkandung segala jenis zikir yang ada.

Bahkan setiap satu hurufnya yang kita baca, diberikan ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah Yang Maha Esa.

Maka, petua paling mujarab untuk menjadikan hati kita kembali tenang, aman dan tenteram serta bebas dari segala rasa gelisah adalah dengan membaca Al-Quran. Sudah tentu, bukan hanya membaca dari sudut gerakan lidah sahaja, sebaliknya dengan mentadabbur sekali makna dan tafsirannya.


PERSOALAN

Bagaimana pula , kalau kita yang berada dalam kegelisahan dan kegundahan, lalu membaca Al-Quran untuk menenangkan hati kembali, tetapi rupanya tidak berkesan. Sebaliknya kegundahan dan kegelisahan tersebut tetap bersarang dan berkecamuk di hati kita?

Adakah itu bermakna, formula dan petua dari Allah tidak relevan? Salah kita, atau salah petua?



MUKJIZAT


Perlu diingat, bahawa Al-Quran itu sebenarnya bukan semata2 buku atau bacaan, sebaliknya ia adalah suatu mukjizat yang diberikan Allah khusus kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. Al-Quran ini pernah menggetarkan lutut para penentang Islam suatu masa dahulu. 

Pada Al-Quran ada keajaiban yang cukup tinggi. Dan kita wajib beriman dengan keajaiban tersebut. Lihat sahaja pada surah Al-Fatihah yang kita baca setiap hari di dalam solat. Dari kecil sehingga besar. Tetapi tidak pernah kita merasa jemu dengan Al-Fatihah atau mahu menukarkannya dengan surah lain pula. 

Begitu juga dalam soal memberi ketenangan kepada hati.

Suatu hakikat yang perlu kita imani, bahawa Al-Quran itu mampu memberikan ketenangan kepada hati kita. Tetapi sebelum itu harus kita tepati beberapa panduan dan peraturannya.

Antaranya, kita perlu berada dalam keadaan bersih. Bukan sahaja bersih secara luaran, bahkan juga dari segi dalaman. Bersih dan bebas dari segala jenis maksiat, termasuk maksiat hati. Al-Quran adalah suatu benda yang bersih dan suci, ibarat cahaya. Sudah tentu ia tidak akan masuk ke dalam tempat yang kotor dan gelap.

Sebenarnya, apabila kita mendampingi Al-Quran, membaca Al-Quran dan memahami maksudnya, tetapi hati kita masih tidak merasa tenang, kita harus kembali bermuhasabah tentang dosa dan maksiat yang mungkin dilazimi oleh kita, samada sedar mahupun tidak. Ia termasuk juga maksiat hati iaitu segala jenis sifat mazmumah.

Apabila hati kita bersih dari segala kotoran tersebut, pasti dan pasti, roh Al-Quran itu akan masuk ke dalam hati kita, yang mana sinarannya yang terang akan memberi sejuta ketenangan kepada kita. Dari situ kita melihat, bagaimana seorang yang zahirnya miskin, tetapi hidupnya sejuta kali lebih tenang dari orang kaya. Begitu juga dengan orang biasa yang hidupnya sejuta kali lebih tenang dari orang berpangkat dan berkuasa.


KESIMPULAN

Kita seharusnya bermuhasabah setiap hari tentang hati kita sendiri. Adakah hati kita berada dalam keadaan suci mahupun kotor. Jika kotor, maka berusahalah untuk menyucikannya kembali. Dari situ, kita akan mendapat nikmat ketenangan yang dijanjikan oleh Allah kepada kita.

Sebenarnya, ia samalah juga dengan solat. Firman Allah Ta'ala : " Sesungguhnya solat itu mencegah dari perkara keji dan mungkar ". Tetapi mengapa seorang yang bersolat 5 kali setiap hari, bahkan melazimi solat di masjid, tetapi tetap juga melakukan perkara2 yang keji , mungkar dan maksiat?

Isunya, bukan formula Allah yang salah. Tetapi cara kita menggunakan formula itu yang tidak betul. Hati yang kotor, ibadah yang tidak ikhlas, tidak sempurna, masakan dapat sampai kepada kehendak sebenar Allah dalam ayat tersebut. Sedangkan maksud Allah dalam ayat tersebut adalah : Sesungguhnya solat yang sempurna akan dapat mencegah orang yang bersolat itu dari terjebak dalam perkara2 keji dan mungkar.

Kita dan Solat. Kita dan Al-Quran.

Semoga kita kembali memperbaiki hubungan kita dengan kedua2nya.


Sekian.

3 comments:

Latifah April 10, 2011 at 1:38 AM  

Allahhurabbi. Indahnya Al-Quran.
Membacanya juga memahami maksudnya sungguh mendamaikan jiwa.

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Allahhuakbar!

JHaZKiTaRo April 12, 2011 at 8:05 AM  

salam kenal.. jemput la singgah my blog 'Aku Sebutir Pasir' kalau nak baca my experiences travelling ke 45 buah negara.. :)

Cikli April 12, 2011 at 11:19 PM  

peringatan yang baik. terima kasih

Archive Blog