Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

10 February 2011

Mengaku Pejuang Islam, Tapi Menjadi Fitnah Pada Perjuangan Islam



Saya berfikir dari siang tadi untuk menulis tajuk ini. Tidak, sebetulnya sejak semalam lagi. Semuanya gara2 saya terbaca satu blog di mana penulisnya terang2an mengutarakan perkara yang bagi saya terlalu jauh dengan akhlak seorang pejuang Islam. Bahkan terlalu jauh untuk digelar pejuang Islam.

Saya terfikir lagi. Perlukah sesuatu kritikan sebegini disertakan sekali dengan bukti, gambar serta siapa yang punya angkara? Andainya saya letakkan di sini, comfirm trafik blog dia akan naik. Itu tak mengapalah, perkara kecil. Tetapi yang lebih besar, saya akan menjadi salah seorang dari penyambung sahamnya dalam melakukan agenda bersifat keji sebegitu, di mana akhirnya nanti saya akan ditanya oleh Allah atas setiap apa yang saya lakukan.

Akhirnya saya memutuskan untuk bercerita secara umum dan secara klu sahaja. Apa yang lebih penting adalah ia menjadi iktibar berharga buat kita semua. Saya bukan jenis orang yang meletakkan gambar perempuan seksi-yang bisa menaikkan syahwat orang yang melihat-semata2 mahu bercerita tentang kejahatan atau keburukan yang dilakukan oleh perempuan tersebut. Pada saya, hendak bercerita tentang akibat zina, tidak perlu sampai diletakkan video orang sedang berzina.


Ruang Maya

Saya suka menjelajah membaca blog orang. Tidak kira apa temanya, kalau menarik saya akan baca. Namun dalam bab politik dan agama, saya melihat ruang maya semakin hari semakin buas dan berbahaya. Kalau setakat blog politik yang copy paste situ sini kemudian diletakkan tajuk yang konon2 gempak, memang saya tak layan. Apatah lagi segala provokasi serta spekulasi yang dihidangkan di dalamnya. Benar2 meloyakan.

Saya tidak ada masalah untuk membaca blog yang mengulas tentang politik, tetapi tahukah anda, dalam beribu2 blog - tidak kira parti politik mana - sebenarnya hanya ada beberapa kerat sahaja yang ulasan politiknya boleh diterima, atau dengan kata lain , ulasan yang sihat dan membuka minda.

Selebihnya lebih bersifat sampah. Kekeringan idea untuk menulis, akhirnya mencipta provokasi dan spekulasi yang sangat rendah nilai intelektualnya. Saya hairan, bagaimana hari ini semua orang 'berkelayakan' mengulas tentang politik? Yang asal2nya jahil tentang politik, tiba2 boleh bercakap seperti seorang penganalisis politik terkemuka pula! Peperangan politik di alam maya, banyak didominasi oleh golongan ini.

Merekalah penyumbang kepada buruknya politik di mata masyarakat. Sehingga sebahagiannya menolak politik secara mentah2. Contoh ulasan politik dangkal adalah ; dalam krisis di Mesir, bawa pulang pelajar yang sokong UMNO terlebih dahulu. Alangkah dangkal!

Sekali lagi, saya tidak kisah dengan pengulas politik dari parti mana sekalipun. Hijau atau biru, semua ada ruang di alam maya. Tetapi sayangnya kalau tugasan yang begitu berat, diambil alih oleh orang2 yang rendah tahap kecerdikannya sehingga meletakkan politik di tahap yang begitu hina dina. Blogger dari parti Hijau juga ada yang begitu, jangan cakap tiada. Kalau anda biasa membaca blog politik, anda pasti sudah faham blogger  jenis mana yang saya maksudkan. Bahkan seingat saya , Ustaz Idris Ahmad sendiri pernah menegur sikap2 sebegini yang wujud di kalangan ahli bawahannya.


Blog Pejuang Islam?

Hati2 apabila membawa imej Islam. Saranan ini saya tujukan buat diri saya terutamanya. Saya sendiri tidak declare blog saya sebagai blog seorang ustaz yang begitu thiqah, wara' lagi tawadhuk. Pergaulan di alam maya tidak sama dengan pergaulan di luar. Di alam blog, kita boleh ditemui oleh orang2 yang kita tidak kenal dan kita tidak duga! Bahkan kita sendiri tidak tahu siapa yang sedang menemui kita tersebut.

Ada orang membaca blog kita dan mengambil istifadah. Ada orang meletakkan kepercayaan yang tinggi apabila melihat imej blog kita, meskipun tidak mengenali diri kita. Contoh, blog warna hijau, letak pula bendera hijau, kiri kanan gambar ulamak, bercerita tentang lawan pemerintah zalim, tetapi dalam sebahagian artikel diletakkan posting2 gambar lucah, cerita2 berunsur lucah bahkan langsung tidak ada manfaat untuk orang yang tengok dan baca!

Saya sendiri, hendak meletakkan gambar seorang wanita yang tidak bertudung, meskipun tidak dikenali dan hanya gambar hiasan , saya berfikir beribu kali. Akhirnya kalau anda semak, dalam blog saya insyaAllah tidak ada gambar wanita tidak bertudung atau tidak menutup aurat. 

Tetapi hairan, ada yang cakapnya berapi2 tentang perjuangan Islam, tetapi menulis posting tentang 'buah dada anak menteri yang besar' , kemudian diletakkan pula gambar tersebut sebesar2nya..??

MasyaAllah..


Sungguh sahabat2, tidak salah mahu menulis atau menyebarkan supaya orang sedar dan ambil pengajaran, tetapi biarlah kena caranya. Saya masih ingat, bagaimana saya menulis tentang satu posting bertajuk 'klip video kantoi dengan bini orang'. Sampai hari ini, begitu ramai orang yang menjumpai blog saya kerana keyword tersebut di internet. Alhamdulillah, saya kira mereka yang baca tulisan itu akan mengambil iktibar, meskipun apa yang mereka 'cari' tidak dijumpai. 

Sebenarnya apa yang mencetus saya untuk menulis tentang ini adalah apabila membaca blog seorang yang dikatakan pro-Pas, tetapi apa yang dihidangkannya cukup memalukan. Saya sama sekali tidak akan meninggalkan apa2 pautan kepadanya. Cukuplah sekadar klu , selebihnya kita muhasabah bersama.

Blogger tersebut mendakwa tentang perilaku seorang ajk Pasti yang dikatakan menipu duit pelajar dan sebagainya. Terbaru, didakwa pula bermain mesej lucah , menyamar sebagai wanita dan berbagai2 lagi. Itu dakwaan beliau. Saya tidak kata betul atau salah.

TETAPI

Perlukah digunakan saluran blog untuk memaparkan wajah orang yang didakwa, disebarkan dan 'dibogelkan' semahunya di khalayak maya? Saya tanya, PERLU atau TIDAK?

Dalam kaedah Fiqh disebut : لا ضرر ولا ضرار --> ertinya ; tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas mudharat.

Contoh ; seorang yang hartanya dirompak tidak boleh membalas dengan melakukan rompakan yang sama, sebaliknya harus menemui hakim / polis untuk menuntut haknya yang dirompak sehingga penjenayah tersebut dihukum.

Itu Islam. Penuh dengan keadilan. Penuh dengan ketelitian. Bukan agama main hentam.

Tetapi hari ini, yang mengaku pejuang Islam bagai orang tidak mengaji. Seolah bukan REDHA Allah lagi yang dikejar, sebaliknya dendam kesumat dan tujuan2 lain.

Orang begini, kalau betul pun orang Pas, dia tidak lebih sekadar memburukkan perjuangan Pas sahaja.
Kalau dia bukan orang Pas, dia adalah seorang penyamar yang hanya mahu merosakkan imej perjuangan Islam.

Sudah tentu, saya cukup kesal dan bersedih.


Fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh

Lihat, bagaimana Allah nyatakan bahawa fitnah itu mudharatnya jauh lebih hebat dari membunuh. Kalau dibunuh, tidak ada yang menanggung sakit sehingga bertahun2 baru mati. Tetapi fitnah? Sehingga berganti keturunan pun padahnya terasa.

Saya bawa contoh untuk anda fikir :

Seorang ustaz didakwa mencabul. Wartawan datang ambil gambar ketika dibawa ke balai polis. Keluar muka depan Harian Metro. Semua orang mencaci, mencela dan menghina. Asal2nya, ia adalah satu DAKWAAN  yang belum sahih, tetapi kerana ada laporan polis, maka ditangkap dan akan dibawa ke mahkamah.

Dalam hukum , seseorang itu tidak dikira bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.

Baik, adakah ustaz tadi telah dibuktikan bersalah ( sebagai contoh ) ? Jawabnya tidak. Bahkan mungkin sahaja ia adalah fitnah semata2. Tetapi hakikatnya dia TELAH dihukum oleh masyarakat sebelum dibuktikan bersalah.

Saya sendiri boleh sahaja menyalin gambar dia dalam blog, kemudian menulis itu dan ini, gila seks dan sebagainya, tetapi kena ingat, tidak ada sesuatu pun yang ditulis oleh kita melainkan dikiri kanan ada malaikat yang mencatit. INGAT!

Baik, katakan, setelah 3 tahun kes dibicarakan, akhirnya didapati ustaz tersebut sebenarnya tidak bersalah. Ternyata bahawa tuduhan tersebut sangat lemah dan tidak ada bukti. Di kala itu, 3 TAHUN telah berlalu. Namanya telah buruk, imejnya telah tercalar, masyarakat sudah kenyang mengeji dan mencaci. Waktu itu boleh jadi berita dia dibebaskan dari tuduhan tidak keluar pun di muka hadapan Harian Metro!

Lihat, bagaimana FITNAH mendatangkan BALA yang begitu dahsyat berbanding membunuh.

Ingat lagi bagaimana YAB Menteri Besar Kelantan dituduh dengan kes rasuah? Dikeji, dihina, dicaci sebelum dibuktikan bersalah. Akhirnya terbukti tidak bersalah. 


Aku Pejuang Islam

Justeru ingatlah, apabila kita mengaku kita sebagai seorang pejuang Islam, maka jagalah akhlak dalam menulis. Ramai orang ilmunya hebat, tetapi akhlaknya hancur. 

Dalam isu blogger yang saya nyatakan di atas, tidak salah mahu membongkarkan kejahatan seseorang, tetapi biarlah kena dengan salurannya. Jika sudah dibuat aduan pada pihak Pasti tetapi tidak ada tindakan, buatlah laporan polis. Dakwalah dia di mahkamah. Tidak perlu sehingga mahu dibongkarkan kesemuanya dalam blog. Dipaparkan gambar sejelas2nya. 'Dibogelkan' semahunya. Sehingga orang2 yang tidak sepatutnya tahu menjadi tahu.

Ini samalah dengan perangai Uncle Seekers yang membongkarkan pelbagai keaiban mantan permaisuri di dalam blog. Apa yang cuba disampaikan pun tidak tahu, melainkan semata2 untuk mengaibkan orang lain.

INGAT : 1 keaiban orang kita buka, 40 keaiban kita Allah buka hari kiamat kelak!!

Kalau mengaku pejuang Islam , takkan taraf itu perjuangan kita? Inilah yang saya katakan, perangai manusia yang mengaku pejuang Islam tetapi menjadi FITNAH pada perjuangan Islam.


MUHASABAHLAH!

Saya sendiri terkesan dengan apa yang cuba saya sampaikan ini. Saya sedaya upaya mahu perbaiki diri saya kiranya saya ada terlibat dengan perkara2 seperti ini. Sudah tentu, saya mengharap teguran. Bukan mudah mahu menjadi seorang pejuang Islam. Ramai orang, Islamnya hanya untuk diri sendiri, tiada Islah tiada Dakwah.

Tetapi bagi yang melaksanakan Islah dan Dakwah, janganlah jatuhkan martabat diri anda yang hakikatnya telah pun dimuliakan oleh Allah. Semoga kisah2 ini mampu mencetus pengajaran kepada kita semua. Andai kita terlibat, masih sempat untuk berpatah balik. Kembali kepada niat utama kita iaitu mencari keredhaan Allah. Sudah tentu, Allah tidak akan redha kiranya kita berjuang dengan 'membelakangkanNya'.

Sekian.

3 comments:

$hakirShafiee™ February 10, 2011 at 5:20 AM  

muhasabah balik baca en3 ni :) perkongsiaan y menarik ya akhi

hafizquran February 10, 2011 at 5:30 AM  

syukran ket..muhasabah utk ana jugak..~

Ahmad Harith bin Zabidi Azhar February 10, 2011 at 1:12 PM  

Perkongsian yg menarik. Ana tambah sikit pasal video2 yang diupload di Facebook. Yg xpatut tahu pn jadi tahu, spt apa yg berlaku pd Ulama' kita...

Archive Blog