Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

14 February 2011

Cerpen : Sebuah Untaian Kasih




Oleh : Fiq Ahmad

Petang tersebut agak sejuk. Azmir, Fadlin dan Sanusi sedang asyik berborak sambil makan nasi maqlubah di Restoran Dhoi'ah. Masing2 turut memesan secawan teh sebagai pelengkap santapan mereka petang itu. Suhu yang sejuk memang membuatkan mereka cepat lapar.

'' alamak..ada mesej pulak...''

Suara kartun Upin Ipin yang dijadikan Message Ringtone telefon bimbit Azmir membuatkan perbualan mereka terhenti seketika. Masing2 hanya memerhati telatah Azmir yang terkocoh2 menyeluk poket mengambil telefon bimbitnya. Teks mesej dibaca dan kemudiannya tersenyum. Mesej tersebut lantas ditunjukkan kepada dua sahabatnya.

Salam. Jumaat mlm nnti kita ada Pintar tau. Temanya adlh aku cinta Rasulullah. Semua org blh tunjukkan kreativiti msg2 utk mgambarkn tema tersebut..acara mkn2 pun ada :) jumpa di sana ye. p/s : tolong forward pada adikbradik yg lain.


" Macam2 la abang Iz ni.." Komen Fadlin bersahaja sebaik meneliti mesej tersebut.

Abang Iz adalah panggilan dalam usrah kepada naqib mereka, Hizburrahman.

" Bab2 kreatif ni yang aku lemah...hmm..tapi tak pe..jumaat lambat lagi..sempat lagi nak carik idea.." Balas Azmir sambil tersengih. Sanusi hanya mendengar celoteh dua sahabatnya tanpa menyampuk. Dalam kepalanya ligat mencari idea untuk memeriahkan usrah mereka hari jumaat akan datang.


******************


" aku lemah betul la dengan kedai macam ni..servis macam siput bhai..nasib baik ayam dia sedap.."

Nazar bagai hilang sabar setelah hampir setengah jam mereka 'tersadai' di Restoran Dale' Karshak. Tiga lagi rakannya iaitu Muaz, Zul dan Faisal juga bagai sudah panas punggung. Mujurlah bayaran sudah dibuat, kalau tidak mungkin mereka akan angkat kaki sahaja dari kedai tersebut.

" masa kitorang tahun satu dulu tak ada kedai macam ni kat Irbid..ni baru je bukak.." Zul menjeling Faisal, mahu mengubah topik perbualan. Dalam kumpulan mereka berempat, hanya Faisal pelajar tahun satu. Mereka yang lain kesemuanya berada di tahun tiga, kecuali Nazar pelajar tahun akhir.

" aku tau..tapi kedai2 lain punya ayam goreng takleh blah doh..sini je best.." Faisal sendiri menyukai kedai makan tersebut. Kalau bukan kerana servis yang lambat, mahu sahaja dia lepak hari2 di kedai tersebut.

Trrr! Trrr!

Telefon bimbit Faisal yang diletakkan di atas meja bergetar menandakan ada mesej masuk. Laju sahaja tangan Faisal mencapai telefon bimbitnya.

" ha...tak habis2 ngan awek..." Nazar sengaja membuat provokasi sambil menjeling. Berusaha meredakan hatinya yang panas.

Faisal tidak menyahut. Matanya masih melekat pada skrin telefon bimbitnya. Mesej dari naqib usrahnya. Di Irbid, usrah dinamakan dengan PINTAR.

" Pintar..." Komen Faisal sepatah.

" Sape ko nye naqib? " Tanya Zul acuh tak acuh.

" Abang Iz...Hizburrahman.."

Zul tidak membalas. Kebetulan waktu itu pesanan mereka sudah sampai. Dia terus meratah ayam goreng dan kentang yang terhidang di depan mata. Faisal pula seperti memikirkan sesuatu. Dalam hatinya berkira2 mahu pergi atau tidak. Sudah banyak kali dia ponteng usrah dengan pelbagai alasan.

" retorik je tu semua..ko naik tahun  nanti tak ada dah benda2 tu..ko tahun satu tak payah nak semangat lebih2..rilek2 sudah..."

Kata2 yang keluar dari mulut Zul membuatkan Faisal rasa tercabar. Terasa dia seperti budak hingusan pula kerana terikat dengan usrah. Tanpa memberi ruang Faisal menjawab, Zul terus menyambung.

" ko tengok kitorang..steady je..janji pointer jaga..bab2 lain sori der..ni ko tengok si Nazar..pintar tu ape pun dia tak tau..."

Nazar berhenti meratah ayam, kemudian buat muka serius. " ha'ah la..Pintar tu ape ye kawan2..? "

Nada sinis Nazar disambut dengan gelak ketawa mereka bertiga. Dan Faisal hanya mampu mengukir senyum kelat.


******************


Jumaat malam.

Mereka seusrah berkumpul di rumah Sanusi. Sanusi sendiri menawarkan rumahnya untuk dijadikan tempat usrah mereka malam tersebut, tambahan pula rumahnya mempunyai ruang tamu yang agak luas. Setelah solat maghrib berjemaah, mereka berkumpul dalam satu bulatan.

Seperti kebiasaannya , suasana usrah mereka meriah dengan gelak dan ketawa. Masing2 bukan jenis pendiam. Ada sahaja cerita yang dikongsikan.

Azmir memakai jubah putih pada malam tersebut. Fadlin pula memakai baju melayu tetapi menyelitkan sebatang kayu sugi di dalam kocek bajunya. Sanusi kelihatan memegang satu buku kecil. Dua lagi sahabat seusrah mereka iaitu Ramadhan dan Aiman hanya berpakaian biasa. Antara mereka berlima, pakaian Azmir paling ketara kerana sebelumnya dia jarang sekali kelihatan memakai jubah putih seperti itu.

Hizburrahman kelihatan ceria melihat komitmen ahli usrahnya. Namun dalam hatinya terdetik rasa gundah. Dari tadi dia mengharapkan kelibat Faisal muncul di antara mereka. Mesej sudah dihantar olehnya sendiri dan dia amat mengharapkan Faisal turut sama pada malam tersebut.

" ok semua..abang Iz rasa kita dah boleh mulakan usrah kita malam ni..cuma..sape tau Faisal kat mana? "

Semua yang lain terdiam. Antara mereka, tiada seorang pun yang rapat dengan Faisal. Azmir lekas2 mendail nombor Faisal dan seketika kemudian dia menggeleng.

" Off..." ucapnya sepatah.

Hizburrahman berusaha menyembunyikan rasa terkilannya. Dia tidak mahu mereka2 di hadapannya yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri merasa sedih pula.

" em..tak apa..mungkin dia ada hal lain..kita.."

Kata2 Hizburrahman terhenti apabila terdengar ketukan di pintu. Seketika wajah Faisal tersembul di hadapan mereka. Masing2 mengukir senyuman lega. Masing2 gembira kerana bilangan mereka cukup pada usrah malam tersebut. Setelah bersalaman , Faisal duduk dengan wajah kosong.

Usrah mereka diteruskan.


******************


Faisal masih gagal melelapkan mata. Perbualan dengan kawan2nya petang tadi masing terngiang2 di telinga. Matanya merenung siling sambil lengan diletakkan ke dahi.

Kata2 mereka sedikit sebanyak berbekas di hati Faisal. Dia mula rasa kurang hormat pada Hizburrahman. Isu pointer akademik yang ditimbulkan oleh Zul benar2 membuatkan Faisal berfikir. Mereka bercerita tentang Hizburrahman yang aktif berpersatuan, tetapi pointer jatuh merudum. Banyak subjek yang terpaksa diulang kerana gagal. Bahkan dalam kelas juga selalu mengantuk dan tiada tumpuan.

Faisal langsung tidak tahu hal tersebut sebelum ini. Baginya, Hizburrahman adalah antara senior yang paling dia hormat seawal minggu orientasi lagi. Hizburrahman tampak matang dan berkaliber. Apabila dia diletakkan sebagai anak usrah Hizburrahman , dia gembira. Dia mahu belajar dari lelaki tersebut. Memang itu antara cita2nya, mahu membina ilmu dan kematangan dalam dirinya.

Tetapi rupanya Hizburrahman tidak sesempurna yang dia sangka. Rupanya dia jenis yang tidak menjaga pointer. Rupanya, aku lebih pandai dari dia. Getus hati Faisal.

Akhirnya dia beroleh idea. Otak geniusnya mula merangka sesuatu. Dia akan hadir pada usrah jumaat nanti.


******************


"Faisal.."

Faisal tersentak apabila bahunya ditepuk. Semua kawan2 usrah memandang kepadanya. Rupanya dia mengelamun waktu Hizburrahman memanggil namanya. Menyedari itu, Hizburrahman segera mengubah topik.

" Ok takpe..seterusnya kita nak tengok masing2 tunjuk kreativiti masing2 ye..supaya kita nampak tema usrah malam ni iaitu 'aku cinta Rasulullah'.." Ujar Hizburrahman sambil tersenyum. " ok..kita mulakan dengan Sanusi.."

Sanusi membetulkan duduk. Buku kecil di tangannya dibelek2. Seketika kemudian dia mula berbicara tentang Rasulullah dan cinta. Erti cinta yang sebenar adalah apabila kita mampu untuk mencintai Allah dan RasulNya lebih dari segala2 yang lain.

" dalam Quran pun Allah sebut kan..orang2 mukmin itu bersangatan cinta mereka pada Allah..hm, bila sebut cinta Allah maka wajib masuk sekali cinta Rasulullah..so kita cuba tengok balik dalam diri kita masing2..kita dah mampu sampai ke tahap tu ke belum.."

" atau awek kita lebih kita sayang berbanding Allah dan RasulNya..yang tu mungkin masing2 kena tanya diri sendiri lah...setakat tu je kot.." Sanusi menghabiskan bicaranya.

Hizburrahman tersenyum mendengar kesimpulan tersebut. Cinta pada manusia memang seringkali membutakan manusia dari cinta Allah dan RasulNya.

" Ok terima kasih..part awek tu yang sensitif kan.." Hizburrahman sempat berseloroh disambut ketawa yang lain. Hanya Faisal yang berwajah serius, hanya memerhati.

Kemudian seorang demi seorang menggambarkan tema pada malam tersebut. Ada yang sempat mengarang pantun dan berkongsi pantun. Ada yang menunjukkan hasil Photoshop yang dibuatnya melalui telefon bimbit. Gambar yang tertulis padanya I Love Rasul. Tiba pula giliran Fadlin.

Dia berdiri sambil tangannya diletakkan dalam kocek baju melayu.

" Kita sekarang dah makin jauh dengan sunnah Nabi..kita cakap kita sayang Nabi tetapi berapa banyak sunnahnya yang kita dah amal? Tengok pakaian kita, adakah kita contohi Nabi? Salah satu sunnah besar Nabi adalah bersugi.." Dia mengeluarkan kayu suginya sambil menunjukkan kepada yang lain.

" dekat Irbid ni kita boleh bilang dengan jari berapa kerat yang pakai kayu sugi..ni sunnah ni..tapi tak ramai yang nak amalkan..kalau macam tu apa makna kita cinta Nabi? Serban ..jubah pun kita tak pakai..."

Fadlin seakan berceramah pula malam itu. Sunnah berbentuk pakaian dan perbuatan disebut satu persatu. Kawan2nya yang lain ada yang mengangguk2 dan ada yang sekadar mendiamkan diri, terpaku melihat kesungguhan Fadlin berceramah.

Akhirnya tiba giliran Faisal. Semua orang memandangnya. Dari tadi tidak ada yang berani menegur Faisal lantaran wajahnya yang terlalu serius malam tersebut. Ramai di antara mereka menyangka yang Faisal tentu tidak akan datang. Hizburrahman menjemput Faisal dengan senyuman.

Awalnya Faisal kelihatan serba salah, namun kemudiannya berbicara dengan tegas.

" Semua orang dah sebut macam2..pasal sirah, pasal pakaian sunnah, sugi la..apa la..tapi kita lupa nak sebut satu perkara lain.."

Semua orang terdiam. Gaya Faisal pada malam itu benar2 ganjil.

" Kita lupa pasal pelajaran..pasal menuntut ilmu..cakap berdegar2 tapi pointer tak ke mana..belajar pun gagal..apa guna macam tu? Nabi tu banyak dalam hadis sebut suruh belajar tau tak..suruh jadi pandai..baru boleh cakap macam2.."

" kalau boleh Nabi nak suruh belajar sampai negeri Cina..kita ni kat Irbid pun dah malas..hebat bab persatuan saja buat apa..pastu bajet orang lain semua jahat..kita saja yang baik..yang warak.."

Azmir tidak senang duduk mendengar suara lantang Faisal. Dia bagai dapat membaca siapa sasaran Faisal. Wajah Hizburrahman berubah, namun dia berusaha untuk kelihatan tenang.

" cinta Nabi bukan kira solat jemaah saja..bukan kira pandai bagi tazkirah saja..belajar pun kena la rajin..kalau asyik mengantuk dalam kelas macam mana nak kata cinta Nabi?! "

" Eh Faisal..aku rasa kau tak patut cakap macam tu..just straight to the point la..tajuk kita malam ni nak berkongsi.." Azmir hilang sabar.

" kenapa? apa salah ke aku cakap camtu? benda betul. aku tak cakap kat sape2..tapi kalau terkena aku nak buat macam mana..tapi sori la..kalau setakat macam tu memang aku tak heran la! "

" Faisal! hormat sikit kat abang Iz..ni bukan tempat kau nak main hentam2..! " Suara Azmir meninggi.

Keadaan tiba2 menjadi tegang. Masing2 kelihatan berang dengan tindakan Faisal yang terang2 mengaibkan naqib mereka. Sedangkan selama ini mereka begitu menghormati lelaki yang mereka anggap seperti abang sendiri itu.

" Sudah...sudah..."

Teguran Hizburrahman membuatkan pertelingkahan mereka terhenti. Masing2 memandang wajah Hizburrahman. Telinganya kelihatan merah namun riak wajahnya masih menggambarkan ketenangan.

" Abang Iz ucap terima kasih pada korang semua..sanggup datang malam ni..sanggup kongsi ilmu korang dengan abang Iz.."

" Abang Iz terima apa saja yang korang cakap..memang itu salah abang Iz pun..tak mampu nak jadi contoh yang baik untuk korang..belajar pun..tak pandai..."

Kata2 lembut Hizburrahman mengundang rasa sayu di hati mereka.

" Betul..abang Iz tak marah Faisal atau sape2..bahkan abang Iz syukur kerana malam ni abang Iz ditegur.."

" cuma..abang Iz nak sebut satu perkara tentang tema kita malam ni..iaitu kasih sayang. Kita senang untuk ungkapkan kasih sayang pada Rasulullah..tapi kita sangat susah untuk praktikkan kasih sayang sebagaimana Rasulullah.."

" Abang Iz tergambar betapa kasihnya Rasulullah pada sahabat2 baginda..seolah tergambar suasana duduknya Rasulullah dengan para sahabat, ada salah ditegur..dinasihati..bahkan dengan orang yang didakwah pun Rasulullah masih menunjukkan rasa kasih sayang baginda.."

" Dilempar dengan batu ..sampai berlumuran darah..baginda masih mampu mendepani dengan kasih sayang..masih mampu berdoa kepada Allah supaya memberi hidayah pada kaumnya..itu semua..kerana rasa kasih dan sayang...."

" itu mungkin antara perkara yang kita selalu lupa..dalam perhubungan dengan manusia, sudah tentu akan bertemu lebih dan kurang..tanpa kasih sayang..yang lebih takkan mampu menampung yang kurang...dan..abang Iz akui kekurangan tersebut ada pada abang ...."

Kata2nya terhenti. Seketika dia memandang adik2 usrahnya satu persatu. Ada sesuatu yang hendak diluahkan sebelum dia mengundur diri.

" abang Iz tak kisah kalau korang nak hentam abang Iz..betul..tapi tolonglah..satu je abang Iz minta..jangan korang gaduh macam tadi depan abang Iz lagi..sebab ...abang akan rasa sedih.."

Mereka semua terdiam apabila Hizburrahman meminta diri. Faisal yang tadinya bermuka tegang, kelihatan membisu seribu bahasa. Sangkanya, Hizburrahman akan memarahinya. Rupanya sangkaannya meleset.


******************


Sudah seminggu insiden tersebut berlalu. Seminggu juga Faisal tidak bertemu kelibat Hizburrahman. Rata2 yang ditanya tidak mengetahui ke mana lelaki tersebut pergi. Di masjid juga tidak kelihatan.

Faisal termenung di meja studinya.Ingatannya mengimbau perbualan dengan Azmir empat hari lepas.

" aku minta maaf pasal malam hari tu..aku tak ada niat nak gaduh ke ape..cuma, mungkin kau perlu tahu sesuatu pasal abang Iz.."

Apa yang diberitahu Azmir benar2 membuatkan Faisal tersentak. Selama ini dia tidak pernah tahu yang Hizburrahman ada sakit. Sakit yang selalu membuatkan dirinya lemah dan lesu. Sakit yang selalu membuatkannya mengerang berhari2 sehingga tidak makan dan minum. Namun dia berusaha menyembunyikan kesakitannya apabila di depan orang. Dia menggagahkan diri melaksanakan segala amanah yang diberikan padanya. Apabila diserang rasa sakit yang bersangatan, dia akan berkurung di dalam bilik kerana enggan wajah pucatnya dilihat oleh orang lain.

" tak ramai yang tahu pasal ni Sal..aku tau pun dari housemate dia..kalau depan kita, dia memang takkan tunjuk..."

Berhari2 Faisal dihantui rasa bersalah. Bersalah kerana hanya mengharap untuk menerima, tanpa pernah berfikir untuk memberi.

Perlahan2 satu potret yang terselit di dalam bukunya ditarik. Potret itu diambil waktu usrah pertama mereka. Kesemua menunjukkan isyarat 'peace' dengan wajah yang ceria. Lama matanya terpaku di situ. Kemudian tangannya mencapai pen dan menulis sesuatu di belakang potret tersebut.


******************


" Kami datang ni nak ziarah ..."

Ramadhan buat rupa tak bersalah, sambil menunjukkan gaya yang melucukan. Mereka berenam berjaya masuk ke bilik Hizburrahman atas pertolongan housemate nya. Kalau diketahui, pasti Hizburrahman akan melarang.

Hizburrahman berusaha untuk senyum dan menyambut mereka. Mereka semua begitu sedih melihat keadaan naqib mereka yang terbaring lemah. Wajahnya sedikit pucat. Namun Hizburrahman berusaha menyembunyikan kesakitan yang dirasainya.

" susah2 je korang datang..abang Iz minta maaf...bukan sengaja tak nak contact korang..."

" dah la abang Iz..asyik abang Iz je jaga kami..lepas ni kita sama2..kami pun akan jaga abang Iz jugak..cakap je nak makan apa, saya boleh tolong masak..jangan mintak hati nyamuk sudah.." Fadlin cuba berseloroh untuk menceriakan suasana.

Namun kesedihan mereka tidak padam. Terutama Faisal. Rasa bersalah bertalu2 menyerang hatinya. Namun perkataan maaf bagai tersekat di kerongkong. Puas dipaksa, ia enggan untuk keluar. Akhirnya Azmir yang mewakili mereka meminta maaf.

Mereka berborak seketika sebelum masing2 meminta diri untuk pulang. Lagipun mereka mahu memberi ruang kepada naqib mereka untuk berehat. Mereka bersalam2 dan berpelukan. Faisal orang terakhir yang bersalam dengan Hizburrahman, namun lidahnya bagai kelu untuk berbicara.

Sebelum melangkah keluar, Faisal menyeluk poketnya dan mengeluarkan sekeping foto. Foto tersebut diselitkan di bawah bantal Hizburrahman dan lekas2 dia melangkah keluar.


******************


Hizburrahman bersandar di birai katil. Dirinya seperti mendapat sedikit kekuatan apabila dikunjungi adik2 usrahnya sebentar tadi. Kekuatan untuk melawan rasa sakit yang menyerang. Dia teringat tindakan Faisal yang menyelit sesuatu di bawah bantalnya. Segera tangannya meraba di bawah bantal dan menemui sekeping foto.

Ia mengingatkan kepada memori lebih 5 bulan yang lalu. Foto tersebut dibelek2 dan ternyata ada tulisan di belakang foto tersebut.

'' kali ini, ia mengajar saya sesuatu yang begitu besar. ukhwah rupanya sesuatu yang sangat indah. saya minta maaf atas kebiadapan saya tempoh hari. tapi baik juga, kalau tidak,saya tidak akan merasai kemanisan kasih sayang seperti hari ini..thanks abang Iz..
~ aku cinta Rasulullah, aku cinta Usrah ~ "


Serta merta mata Hizburrahman berkaca.




-TAMAT-



Nota : Cerpen ini didedikasi khas untuk PINTAR PERMAI sempena Maulidur Rasul. 

1 comments:

SeRiKaNDi_uMaR93 February 20, 2011 at 7:25 PM  

subhanallah..suka sangat, inilah dikatakan ikatan ukhwah bertunjangkan aqidah...

Archive Blog