Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

09 February 2011

Berapi Di Kampus, Menyepi Di Luar




Semalam tiada artikel tercoret di blog ini.

Hari ini saya menulis tentang fenomena yang sempat saya rasa. Mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian dan masuk ke alam pekerjaan untuk sementara, memang ada pro dan kontra nya. Antara kontra nya tentulah saya akan menjadi lebih lambat dari orang lain.

Tetapi kebaikannya saya sempat mengenal masyarakat berserta ragamnya. Itu cukup mahal untuk usia semuda saya.


Kampus

Kampus adalah satu medan mentarbiah diri, melengkapkan diri dengan segala persediaan yang ada. Di kampus, suasana dan dunianya berbeza dengan dunia luar. Kampus punya aura yang tersendiri. Di kampus kita mungkin ada usrah, ada kawan dan teman yang satu kepala dan ada program2 berkala yang berupaya meningkatkan jatidiri dan pemikiran kita.

Namun apabila keluar dari kampus, semua itu tiada.

Di hadapan kita adalah masyarakat yang sedang menunggu dan menanti kita dengan seribu pengharapan yang ada. Saat itu tugas kita adalah memberi dan tugas masyarakat adalah meminta. Bayangkan kalau kita diminta benda2 yang kita tiada?

Pepatah arab menyebut : فاقر الشئ لا يعطى --> orang yang tiada apa tidak boleh memberi apa2.

Itulah yang kerap kali dirasai oleh mereka2 yang keluar dari alam kampus, terutama pendakwah muda. Soalan2 dari masyarakat jauh lebih susah dari soalan2 di atas kertas periksa. Ini pun ramai yang belum sedar. Bergaul dengan masyarakat juga tidak sama dengan bergaul dengan kawan2 di dalam usrah. Ini pun ramai lagi yang tidak tahu.

Sebab itu ramai yang jenis semangatnya tinggi dan berapi di kampus, tetapi apabila keluar, dia menyepi.

Manakan tidak, kerapkali terasa dengan masyarakat dan tidak mampu untuk menyesuaikan diri di luar. Segala idea dan pembawakan ditolak mentah2 oleh masyarakat, sedangkan di kampus kita adalah ketua, yang disanjung rakan dan digeruni lawan.

Rupanya apabila di luar, kita bukan siapa2. Hanya seorang budak muda yang cetek pengalaman.

Keadaan ini jika dialami oleh seorang pendakwah muda yang jenis suka disanjung, sentiasa merasa betul, menidakkan orang lain, kadang2 akan menjadikannya ditolak oleh masyarakat. Bahkan boleh jadi bergaduh atau berselisih faham.

Contoh, anda mendapat tugasan sebagai seorang imam. Lalu dengan semangat berapi2 anda mahu berkhidmat pada masyarakat. Awalnya mungkin tiada apa2, di mana masyarakat baru hendak 'mengenali' siapa anda. Boleh jadi juga disanjung dan dipuji untuk seketika.

Namun kemudiannya boleh jadi keadaan tersebut berubah. Ia mungkin bermula tikamana anda cuba 'melawan arus' dalam masyarakat. Masakan anda boleh bertahan dengan perkara2 tidak betul yang anda saksikan? Sedang di kampus anda menggerakkan tenaga anak muda dengan jumlah yang begitu besar dan anda seorang ketua!

Segala tindak tanduk anda diperhati dan dinilai setiap masa. Masyarakat yang tidak senang dengan anda , dengki dan hasad dengan pembawakan anda, akan melakukan pelbagai perkara yang belum pernah anda alami atau fikirkan ketika anda di kampus dahulu!

Itulah namanya sepak terajang masyarakat. Itu juga yang menjadikan tidak ramai yang mampu 'berapi' dalam masyarakat, sebaliknya cenderung untuk 'menyepi'.



Jika anda menjadi pegawai, maka pegawailah kerja anda. Tidak boleh lebih dari itu. Jika diberi arahan, tugas anda adalah laksanakan arahan. Jika anda tidak suka, anda tidak boleh melawan.

Boleh jadi awal2nya anda cuba untuk melontarkan idea2 baru, membawa wawasan dan buah fikiran selaku anak muda yang semangatnya berapi dan membara. Tetapi bagaimana agaknya jika dalam sesuatu firma itu hanya anda seorang yang begitu, dan apa yang anda cuba bawa ditolak mentah2, atau anda dianggap sebagai 'mahu merebut kuasa / pengaruh'?

Sukar untuk digambarkan betapa BUASNYA dunia luar dan masyarakatnya untuk seorang anak muda.

Kerana itu sebagai orang yang masih berada di kampus, kita perlu persiapkan minda kita untuk hadapi semua tersebut. Jangan berlebih2an tunjukkan semangat walaupun  kita rasa kita anak muda, atau kita rasa masyarakat mendokong kita. Kerana boleh jadi kita belum diuji dan belum merasa. Boleh jadi sesi 'panas badan' baru sahaja bermula!

Kaya dengan ideologi tidak salah. Mencetus idea2 baru pun tidak salah. Tetapi jangan terlalu ghairah melawan arus dalam masyarakat. Ingat, di sana ada orang2 yang lebih tua dan mereka ada apa yang kita tiada. Iaitu pengalaman. Jika mereka tidak suka kepada anda, seribu satu cara mereka boleh gunakan untuk pastikan anda 'berambus' dari situ.

Dalam medan dakwah sendiri kita boleh lihat perkara tersebut. Bergelar anak muda lepasan kampus yang hebat, memimpin gerakan mahasiswa yang begitu gah, tapi sayangnya, ghairah tidak bertempat sehingga dinilai biadab. Apa untungnya?

Terjun ke dalam masyarakat dengan berharap supaya masyarakat boleh mengikut kata2 anda dengan mudah, semudah anak2 usrah mengikut kata2 anda di kampus, adalah satu dugaan yang silap lagi sesat. Di sana perlu ada tawadhuk, merendah diri, menggunakan pendekatan secara beransur2 dan sebagainya. Semangat berapi sahaja tidak cukup sama sekali.

Saya sempat melihat fenomena tersebut. Meskipun bukan saya sendiri yang alami, tetapi sahabat2 yang lebih dahulu merasai perkara tersebut, menjadi pengajaran yang begitu berharga kepada saya. Saya tidak maksudkan kesemua yang berapi di kampus akan menyepi di luar, tetapi saya katakan bahawa ; jangan pelik jika anda bakal menyaksikan fenomena itu suatu hari nanti.

Justeru, bersedialah dengan sepak terajang masyarakat dan jangan asyik dibuai ideologi anda semata2!


Sekian.

0 comments:

Archive Blog