Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

16 January 2011

PEDULISME : Anak Muda Harus Bermentaliti Pemimpin, Bukan Pak Turut!

Saya sangat jarang menyalin artikel secara copy paste di blog saya, tetapi hari ini saya menemukan satu tulisan yang cukup baik untuk dikongsi. Moga menjadi pencerahan kepada golongan muda yang masih berada di 'zon selesa'. 



" Pedulisme " jamin masa depan gemilang ( sumber )


Gelombang kebangkitan golongan muda terhadap perkembangan negara dalam arena ekonomi, politik dan sosial mula tercetus semasa era reformasi pada tahun 1998. 


Bermula era reformasi ini, masyarakat khususnya golongan anak muda mula celik dan sensitif dengan permasalahan dan isu-isu yang berlaku dalam negara.

Anak muda mula peduli dengan permasalahan negara dan mula merasakan mereka juga bertanggungjawab dan berperanan dalam memastikan kestabilan negara agar ianya terus dipertahankan. 

Kebangkitan kuasa anak muda ini seterusnya diterjemahkan dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12) pada tahun 2008 yang lalu.


Berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan terhadap keputusan PRU 12 yang lalu, ia telah menunjukkan bahawa faktor kemenangan dan kekalahan sesebuah parti politik itu bergantung kepada golongan anak muda.

Melihatkan fakta ini, saya merasakan betapa besarnya peranan dan kuasa anak muda dalam menentukan masa depan negara. Jika dilihat dalam perspektif yang positif, saya merasakan ia merupakan langkahan dan ayunan yang baik yang dicetuskan oleh golongan muda dalam memastikan kelangsungan prestasi negara berada dalam pada tahap yang stabil.

Bahang Pilihanraya Umum ke-13 kian hangat terasa dan sentiasa berlegar diminda dan menjadi bualan masyarakat dasawarsa ini. Bagi golongan mahasiswa, mereka bukan sahaja perlu berdepan dengan pilihanraya umum tetapi mereka juga bakal menghadapi cabaran pilihanraya kampus tidak lama lagi.

Kedua-dua pihanraya ini merupakan agenda penting dalam kamus seorang mahasiswa kerana agenda ini bakal menentukan wajah kepimpinan negara mahupun di peringkat kampus. Pilihanraya merupakan suatu acara penting dalam memanifestasikan sistem demokrasi di Malaysia.

Sistem demokrasi melalui pilihanraya ini merupakan satu wasilah kepada masyarakat untuk memilih pemimpin yang bakal menerajui negara pada masa depan. Justeru, keterlibatan golongan masyarakat khususnya anak muda bakal memberi impak besar terhadap masa depan Malaysia. Ini kerana, lakaran masa depan negara berada di tangan generasi muda hari ini.
Kesedaran politik berkait rapat dengan persoalan sejauh mana masyarakat peka dan sensitif dengan isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka.

Tahap kepekaan masyarakat ini sangat penting dalam mengukur keberkesanan dan kepedulian mereka terhadap isu yang berlaku termasuklah isu kepimpinan, penyelewengan, masalah serta hal berkaitan dengan masa depan negara.

Berdasarkan penyelidikan dan pemerhatian terhadap fenomena anak muda zaman ini, saya sedikit terkilan melihatkan tahap kesedaran dan kepekaan anak muda tentang isu-isu dan perkara yang berlaku di sekeliling mereka berada ditahap yang rendah.

Untuk jangka masa panjang, saya melihat hal ini akan membawa keburukan kepada negara. Sebagai seorang mahasiswa, saya merasakan keadaan ini tidak harus dipanjangkan kerana ianya merupakan budaya yang tidak sihat dalam usaha menjulang nama negara dipersada antarabangsa.

Polemik anak muda hari ini yang hanya menerima segala benda yang berlaku dalam masyarakat dilihat sebagai budaya yang kurang bijak. Menerima secara membuta tuli terhadap segala yang berlaku dalam masyarakat tanpa menilai samada ianya adalah positif atau negatif haruslah segera dihapuskan.


Jika terlalu terbuka dalam menerima sesuatu isu, saya bimbang sekiranya isu rasuah, pembunuhan, rogol, keruntuhan akhlak dan kepincangan dalam masyarakat dilihat sebagai fenomena dan budaya biasa dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Masyarakat seolah-olah sudah tidak merasa pelik dengan perkara-perkara seperti ini
Berbalik kepada persoalan sejauh mana kepekaan dan kesedaran anak muda Malaysia terhadap politik dan isu-isu yang berlaku dalam masyarakat mencerminkan tahap kepintaran masyarakat itu sendiri.

Saya cuba membawa isu ini dari sudut yang positif, jika anak muda Malaysia peka dan sensitif terhadap isu-isu yang berlaku, saya percaya, kita dapat menerajui negara dengan cemerlang pada masa akan datang.

Pendedahan dan kepekaan anak muda terhadap isu-isu berkaitan kenegaraan, politik, ekonomi dan sosial dilihat sebagai salah satu nilai tambah kepada negara pada masa depan. Daripada sudut strateginya, saya melihat perkara ini adalah salah satu langkah kearah membentuk pemimpin dan generasi yang bermentaliti dan berkualiti dalam mentadbir dunia.

Maka, jika itu yang berlaku, saya bersetuju dengan slogan yang mengatakan kuasa anak muda bisa mengubah dan menggegarkan dunia termasuklah kepada dunia Islam.

Prestasi pencapaian Malaysia dalam aspek politik, ekonomi, teknologi dan sosial wajar dipuji. Namun, disebalik prestasi dan realiti ini, saya melihat sesuatu yang mustahak perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

Jika dilihat dan dicermati sebaiknya, jenayah bunuh, rasuah, rompak, rogol masih lagi menjadi isu yang besar dalam masyarakat Malaysia hari ini. Keadaan ini harus diubah dan dipulihkan dengan segera melalui peranan anak muda. Justeru, melahirkan dan membangunkan anak muda yang peka dan sensitif terhadap keadaan-keadaan ini adalah sangat mustahak.

Sebagai anak muda khususnya golongan mahasiswa, peranan yang perlu dimainkan mereka pada saat ini bukan sekadar duduk dan mendengar sahaja pemerintah berbicara. Tetapi, mereka perlu merasakan dan menyedari kepentingan sikap prihatin terhadap keadaaan Malaysia.

Anak muda perlu berjuang dan bercita-cita untuk memberi kesan yang besar terhadap transfomasi Malaysia agar ianya menjadi lebih baik dan bermartabat.


Penulis adalah presiden majlis Perwakilan Pelajar 2009/2010, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

2 comments:

$hakirShafiee™ January 17, 2011 at 7:11 AM  

pencerahan yg sangt cerah.. :)

hafizquran January 18, 2011 at 4:17 AM  

ket : cerah xpe, jangan smpai silau..hehe

Archive Blog