Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

30 January 2011

Isu Cikgu Shida : Muhasabah Buat Pendidik



[ catatan lewat malam ]

Saya kurang pasti sejauh mana masyarakat menyedari atau mengetahui tentang isu ini. Saya sendiri pun baru tahu. Itu pun selepas terjumpa klip seorang wanita bertudung, berbaju kurung tetapi menyanyi lagu Shakira "Waka waka" dengan penuh gaya. Awalnya saya menyangka itu suatu lawak jenaka atau seorang wanita yang kurang siuman. Hakikatnya, itulah sangkaan pertama saya.

Beberapa ketika, selepas melayari beberapa portal, web dan menilai beberapa pendapat sedia ada, barulah saya ketahui isu sebenar.

Beliau seorang guru muzik. Idea membuat video tersebut timbul dari beliau sendiri. Boleh baca di sini tentang latar belakang beliau.

Isu ini menjadi isu, apabila tindakan beliau dilihat dan dinilai oleh banyak pihak. Lalu mengundang pelbagai respon positif mahupun negatif. Itu pun anda boleh baca sendiri di blog beliau pada link tadi.


Guru Mengajar Atau Mendidik?

Saya tidak mahu terlalu memfokuskan kepada isu cikgu di atas. Pada saya, ia cuma salah satu dari simptom permasalahan sedia ada. Pokok pangkalnya adalah, sistem pendidikan itu sendiri mempunyai banyak kelompongan yang perlu diperbaiki.

Jika tidak, guru atau cikgu yang telah ditauliahkan, hanya akan menjalankan tugas mereka sebagai seorang pengajar. Mengajar adalah satu proses di mana anda memberikan sesuatu maklumat kepada seseorang yang lain. Itu namanya mengajar.

Dalam dunia hari ini, sesiapa sahaja boleh mengajar. Seorang yang mengajar ilmu sesat pun boleh dipanggil cikgu, tetapi cikgu ilmu sesat. Cikgu yang mengajar muzik pula dipanggil cikgu muzik. Manakala cikgu yang mengajar pendidikan seks pula akan dipanggil cikgu..?


Tetapi berbeza dengan mendidik.

Seorang pendidik, dalam proses menyampaikan maklumat kepada pelajar, dia membentuk akhlak dan moral pelajar tersebut. Dia menumpukan supaya pelajar menerima ilmunya dari HATI KE HATI. Bukan hanya dari otak ke otak.

Ramai cikgu berjaya mengajar muridnya sehingga mendapat keputusan cemerlang, tetapi akhirnya murid tersebut bertindak biadab dengan beliau sendiri. Mengapa ini berlaku?

Antara sebab utama adalah kegagalan seorang guru itu sendiri menjadi murabbi kepada anak muridnya. Didikan akhlak tidak diutamakan. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda :

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan AKHLAK yang mulia

Praktik utama dalam mendidik akhlak pula adalah peribadi dan penampilan guru itu sendiri. Guru wajib menjadi contoh kepada anak murid,kerana setiap masa dan ketika, anak murid terdorong untuk mencontohi guru mereka.


Cikgu Muslim Guru Muslimah

Dalam pendidikan, penekanan harus diberi kepada usaha melahirkan guru yang muslim dan cikgu yang muslimah. Ini bagi guru2 yang beragama Islam. Di sinilah kita melihat institusi pendidikan di negara kita sangat lemah. Fokus kepada mempertingkatkan jatidiri sebagai muslim sangat lemah.

Sejauh mana kita menekankan kepada penerapan nilai2 Islam dalam diri para pendidik?

Kegagalan ini akhirnya menjadikan guru yang mengajar muzik, maka bidangnya hanya muzik. Pakaiannya, cara befikirnya, moral dan akhlaknya juga biarlah ke arah muzik. Manakala yang mengajar agama pula biarlah bersopan santun dan berakhlak mulia. Siapa yang mengajar kita akan PEMISAHAN sebegini..?

Akhirnya apabila timbul isu2 seperti Cikgu Shida di atas, maka kita kelam kabut. Barulah jabatan pendidikan mahu ambil berat. Menyuruh supaya dihentikan, mengkritik dan sebagainya. Cikgu pula terpinga2 lalu bertanya ; di mana silap saya? saya hanya meningkatkan kreativiti saya sebagai cikgu muzik??

Tidak akan berjaya usaha menyekat sebegitu, melainkan sebelumnya harus dididik dan diacu dengan ajaran Islam yang syumul. Kembali lah kepada Islam yang sebenar. Manusia dibentuk dengan hati, bukan dengan kekerasan, paksaan atau sekatan.

Dalam isu ini contohnya, semua orang pening kepala. Bagi yang mendewakan muzik, maka sokongan diberikan tidak berbelah bagi. Bagi yang anti muzik dan berjiwa melayu pula, marah dan mengkritik bahkan sebahagiannya menghina. Tidak menjaga adat melayu katanya.

Sedarlah.

Kita berhadapan dengan isu yang lebih besar. Kalau memberi komen berlebihan dalam isu cikgu Shidah ini pun, anda akan di'cop' sebagai dengki, busuk hati dan sebagainya. Niat memberi teguran kepada beliau memang bagus, tetapi tanpa kefahaman Islam, beliau tidak akan menerima.

Sehingga tidak mustahil, dari seorang cikgu, beliau bakal bergelar orang seni yang glamour suatu hari nanti.

Kita bukan hendak menumpukan sangat kepada beliau. Tetapi kepada institusi di negara kita sendiri yang kian parah. Terutamanya institusi pendidikan. Anda buatlah kajian, sejauh mana penerapan dan penekanan terhadap ajaran Islam diberikan kepada para guru. Sejauh mana usaha untuk meningkatkan jatidiri para guru supaya bergelar pendidik..?

Jauh sama sekali. Apabila guru dan cikgu gagal menjadi pendidik, gagal menjadi contoh kepada para murid, maka generasi yang bakal lahir di masa hadapan adalah generasi yang bagaimana? Tepuk dada dan tanya iman kita.

Justeru , kepada para pengajar, berusahalah untuk menjadi pendidik. Tanggungjawab anda bukan hanya menjadikan budak cerdik dan cemerlang, tetapi supaya dia menjadi seorang yang berakhlak dan beradab. Kita sudah letih membaca pelbagai cerita buruk mengenai institusi pendidikan di negara kita. Murid terlibat dengan seks, guru terlibat dengan skandal, ustazah terlibat dengan khalwat dan sejuta cerita yang lain. Harian Metro antara tabloid orang melayu yang tidak jemu menjadi pelapor setia pada perkara ini.

Hendak menyelesaikan isu yang ranting, pokoknya perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika tidak, di masa akan datang, jangan hairan pula jika institusi pendidikan tidak lagi dilihat bersih dan bermaruah. Akan datang ; Pendidikan Seks pula. Sejauh mana kita peka?


Sekian.

2 comments:

Tuan Penasihat January 30, 2011 at 6:28 AM  

sekarang ni ada orang dah tak pikir yang pelajaran itu penting. kita banyak di sogokkan dengan kolej dan universiti cara glamour oleh media. hingga budak sekarang hanyut dalam fantasia. buat apa belajar, belajar nyanyi sudahlah. gerenti boleh sampai puncak. mungkin cikgu pun ada fikir nak jadi tenaga pengajar glamour gak kot. sori kalau komen tak berapa nak tepat. just bagi pendapat sahaja.

hafizquran January 30, 2011 at 6:34 AM  

Tuan Penasihat :

setuju dgn anda. budaya berhibur semakin kuat ditanam dalam masyarakat hari ini. berhibur , menjadi orang seni xsalah, tapi kita risau apabila lahirnya hiburan yg salah, hedonisme dan lahirnya orang seni yg tidak berilmu.

Archive Blog