Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

16 December 2010

Be Strong!




Sehari dua ni bukan kaki tangan sahaja yang bagai nak beku, otak pun macam tumpang sekaki. Entah angin mana yang melanda jiwa. Mujur saja ada teman untuk bermuhasabah. Sekurang2nya tidaklah aku hanyut tanpa arah. Kita ini manusia, kalau tidak pernah merasa jatuh, kita tidak akan kenal erti bangkit.

Arus hidup tidak hanya menjanjikan perkara2 yang manis kepada kita. Ada ketika, hempedu yang terhidang di depan mata. Rencah hidup, kata orang. Diri ini juga tidak terkecuali. Setiap manusia akan diuji. Bezanya adalah manusia yang berjaya menghadapi ujian, ataupun gagal dalam kehidupan.

Positif

Sebagai manusia, kita harus ada minda positif dalam mengharungi kehidupan. Berfikir secara positif, mendepani masalah secara positif, menguruskan tekanan juga secara positif. Tentang ini, Islam sudah sekian lama memberikan jalan keluar yang paling praktikal. Firman Allah : '' ketahuilah bahawasanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang''.

So tindakan positif yang pertama adalah, lari kepada Allah. Bukan lari dari Allah. Tidak kira apa sahaja pergolakan yang anda hadapi, jadilah seorang manusia yang positif. InsyaAllah, positif kita tidak akan tersasar, kerana dasar kita adalah Iman. Positifnya seorang mukmin jauh berbeza dengan positifnya seorang kafir. 

Mengapa? Antara sebabnya adalah , positif seorang mukmin itu bersulam redha dan beroleh pahala. Positif seorang kafir tentu sekali jauh berbeza natijahnya.

Makin Diuji, Makin Kuat

Yes. Manusia yang hebat adalah manusia yang paling banyak dicoba dan diuji. Bahkan Allah ta'ala menggariskan salah satu ciri2 seorang itu diiktiraf sebagai mukmin adalah apabila dia diberikan ujian. Firman Allah ta'ala : " adakah manusia menyangka bahawa mereka hanya akan dibiarkan mengatakan 'kami sudah beriman' sedangkan mereka belum diuji?". Memberi faham kepada kita, bahawa mukmin yang kuat adalah mukmin yang sinonim dengan ujian Allah.

Contoh yang paling tepat adalah Nabi s.a.w sendiri. Kalau hendak ditimbang dengan logik akal, sepatutnya baginda adalah insan yang paling senang lenang diatas muka bumi. Kerana Allah telah mengiktiraf baginda sebagai kekasihNya , seorang yang maksum ( tiada dosa ) dan seorang yang comfirm masuk syurga. Sepatutnya, baginda yang sebegitu istimewa haya perlu goyang kaki sahaja.

Tetapi cuba hayati sirah. Bagaimana baginda adalah seorang manusia yang paling hebat diuji oleh Allah. Baca balik bagaimana kisah baginda dibaling batu di Thaif, antaranya, sehingga hampir2 darah suci baginda membasahi bumi Allah yang kita pijak hari ini. Bandingkan pula dengan kita. Satu jaminan pun tidak ada untuk kita menempah syurga Allah, tetapi adakah kita telah diuji sehingga ke tahap itu?

Tidak. Jauh sama sekali.

Kita hari ini berada dalam comfort zone. Segalanya senang lenang. Kecanggihan yang ada pada zaman menjadikan kita antara orang2 yang jauh dari perjuangan. Usah bicara tentang perjuangan yang besar2, perjuangan menegakkan agama dalam diri sendiri pun kita masih rapuh.Tak perlu cakap banyak, nilai sahaja solat subuh berapa kali kita tegak berapa kali kita tumbang.

Itu hakikatnya di akhir zaman.

Motivate Diri

Dalam pada dibebankan dengan ujian, dalam masa merasa begitu down, tidak ada sumber motivasi yang lebih baik melainkan Allah dan Rasul. Tidak ada manusia yang lain yang lebih gagah dan kuat untuk dijadikan sandaran selain daripada Muhammad s.a.w. Justeru, suatu kredit yang sangat besar pada mereka2 yang menghayati sirah.

Dari situ, kita beroleh semangat. Bahawa manusia yang diuji oleh Allah adalah insan2 yang bertuah. Manusia2 yang beruntung. Tanamkan dalam diri kita, bahawa setiap ujian yang datang adalah bertujuan untuk menumbuhkan semangat dan menguatkan jatidiri dalam diri kita. Ibarat hujan yang turun membasahi bumi, selepasnya tumbuh cendawan dan tumbuhan yang lain. Kita juga begitu. Jadikan ujian ataupun dugaan sebagai  keuntungan kepada kita. Sebagai cambahan semangat dan kekuatan baru kepada kita.

Tukarkan setiap tekanan menjadi positif!

Kita bukan hidup untuk selamanya. Dunia tempat berpijak sementara. Dan begitu ramai orang yang terleka dengan 'kesementaraan' tersebut, sehingga kabur dari hadaf dan matlamat. Mari baca surah Al-mulk ayat kedua. Firman Allah : '' Dia ( Allah ) yang menciptakan mati dan hidup dengan tujuan untuk menguji siapakah di antara kalian orang yang paling baik amalannya "

Yes. Fahami itu. Allah jadikan kita dari tiada kepada ada, dan suatu masa nanti akan kembali tiada , tujuannya adalah untuk menguji kita. Siapa yang paling tinggi taqwanya? Siapa yang paling cemerlang amal ibadahnya? Siapa yang paling positif perjalanannya? Siapa yang paling banyak saham akhiratnya? 

Tidakkah kita merasa yang diri kita juga termasuk dalam khitab ayat tersebut? Hey! Allah sedang berbicara tentang kita!

Hidup - Mati - Hidup

Kita lahir sebagai hero. Sebagai seorang juara. Jejaknya kaki kita di atas bumi ini adalah bukti bahawa kita telah mencipta kecemerlangan pertama! Dari beribu2 benih yang bertarung di sana, kita yang terpilih untuk berjaya. Kita harus ingat dan jangan sesekali lupa, bahawa kita memang ditakdirkan untuk hidup sebagai juara.

Bermakna, kita berhak untuk jadi yang terbaik dalam segala hal. Kita berhak untuk menjadi manusia yang paling power. Allah bekalkan kita dengan bakat yang berbeza2. Tanda kita mahu menjadi juara, adalah ketikamana kita mahu mengasah bakat2 tersebut dalam diri kita. Memanfaatkan semaksima mungkin segala kebolehan dan kelebihan yang kita ada, serta berusaha semaksima mungkin memperbaiki segala kelemahan yang kita ada. 

Hasilnya? Kita adalah salah seorang daripada manusia yang bergelar juara.

Ya. Semua perkara di atas jangan kita lupa. Buatlah bekal dalam menempuh hari esok dan lusa. Kita tak tahu ajal dan kiamat datang bila. Tetapi kita tahu bahawa kita wajib mengambil segala kesempatan yang ada. Jadi ayuh berjanji pada diri sendiri. Berjanji untuk menjadi manusia yang kuat, gagah, teguh dan positif sentiasa.

Kerana apa? Kerna itu adalah prasyarat WAJIB untuk bergelar juara. Kita tidak mahu menjadi juara hanya di dunia, tetapi juga di akhirat sana. Tempat yang lebih kekal, lebih lama dan memang selama2nya.

Jangan Terpegun, Jangan Tertoleh2 Ke Belakang

Dalam hidup, kita  bukan saja tidak boleh pandang ke belakang, bahkan terpegun ( statik ) juga sangat merugikan buat kita. Apa yang harus kita fikir dan usahakan adalah untuk hari esok. Mukmin yang positif adalah mukmin yang mampu menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini. Bermakna, makin hari makin baik. Makin hari makin sayang. Sayang pada diri sendiri. Sebab itu mahu jadi yang terbaik.

Mukmin yang tegak tidak akan goyang. Dari matanya terpancar roh perjuangan. Pandangannya jauh ke hadapan seiring tindakannya yang teguh di atas tujuan. Mukmin yang kuat adalah mukmin yang mampu merubah masa hadapan. Yes, dia menjadi agen perubah, bukan sekadar penerus apa yang sedia ada.

Pasanglah angan2. Ia tidak menjadi kesalahan selama mana mampu membangkitkan semangat dan motivasi diri yang positif. Sebab itu kita diajar dari kecil untuk mempunyai cita2. Kita harus ada visi dan misi dalam hidup. Kita wajib ada target. Apa yang hendak dicapai hari ini dan apa yang perlu digenggam hari esok.

berJiwa Besar

Kita wajib menjadi manusia berjiwa besar. Sekali sekali berlagu sentimental tidak salah, jangan setiap masa sudah! Biar tubuh kecil, jiwa kena besar. Kita jangan berhenti untuk percaya pada diri sendiri. Ada perkara, orang tidak yakin dengan kita. Orang perlekeh kebolehan kita. Tetapi kita adalah diri kita. Ingat, jangan berhenti percaya pada diri sendiri dan beralih mempercayai orang!

Percaya dan katakan bahawa anda boleh. Anda mampu. Siapa mereka untuk menidakkan kebolehan dan kemampuan anda? Belajarlah dari rencah orang tua, bahawa orang2 sekeliling kita terkadang lebih banyak memundurkan dari memajukan diri kita. Kenapa? Sebab dalam dunia hari ini, manusia2 berPhD @ penyakit hasad dengki terlalu ramai mengelilingi kita. 

Ketika kita jatuh, mereka tidak menarik kita bangun. Dan ketika kita sedang naik, mereka berharap2 supaya kita turun atau jatuh. Tidak kiralah mereka kawan atau lawan. Ambil mereka berpada2, jangan sampai kerana mereka , kita hilang siapa kita. ( terkecuali : sahabat ).

Jadi, jangan jemu memberi harapan dan kepercayaan pada diri sendiri.

Berilah harapan2 yang positif, angan2 yang positif2, impian2 yang positif, supaya segalanya itu akan membangkitkan tindakan2 yang positif, gerak kerja2 yang positif serta potensi perjuangan yang sangat positif!

Percayalah, saat bermulanya kejatuhan diri anda adalah ketikamana ada mula hilang kepercayaan pada diri sendiri. Dan saat bermulanya kegemilangan dalam hidup anda, adalah ketikamana anda konsisten mempercayai diri anda. Hiduplah sebagai seorang manusia yang berjiwa besar dan teguh berprinsip. Tidak syak lagi, anda adalah juara dalam dunia hari ini!

Sekali sekali disuap kepahitan , semakin tinggi nilai kemanisan. Be strong..!

sekian.

Archive Blog