Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

26 October 2010

Saya Setuju Dengan Ulama' Muda


gambar hiasan : fitnah pada agama
(sumber detikdaily )



oleh : hafizquran

Susulan dari isu IFF yang hangat diperbincangkan samada di media elektronik mahupun media cetak, muncul pula suatu video yang memaparkan sedutan ucapan Fathul Bari dalam perhimpunan agong UMNO baru2 ini, di mana beliau dilihat mempertahankan Datin Rosmah Mansor berhubung penganjuran Islamic Fashion Festival tersebut. Dalam masa yang sama, beliau melontarkan satu cadangan supaya diwujudkan 'jawatankuasa ulamak' dari UMNO sendiri untuk ''menangani atau menjawab isu2 yang dibangkitkan oleh pembangkang''. Susulan dari itu juga , beliau ( Fathul Bari ) menerima kecaman dan kritikan yang begitu hebat terutama di dada2 website atau blog dan tidak kurang juga di dalam facebook. Noktah.

[minta maaf. saya dah jadi macam pembaca berita ]


Sekali lagi, gelaran ''ulamak'' menjadi titik sasaran pelbagai kecaman dan cemuhan masyarakat. Sekali lagi juga, ''ulamak'' menjadi fitnah kepada ummat. Benar, ''ulamak'' di bahagikan oleh Al-Imam Al Ghazali kepada dua, yakni ulamak dunia ( ulama' su' ) dan ulamak akhirat. Dan yang dicemuh atau dikeji itu adalah ulamak 'cari makan' atau ulamak yang mendambakan habuan dunia sehingga sanggup menyembunyikan kebenaran.

Namun demikian, kehinaan yang terpalit pada gelaran ''ulamak'' sebenarnya membawa kepada kesan sampingan yang besar. Antaranya adalah kekeliruan masyarakat serta berkurangnya rasa hormat dari ummat kepada golongan ulamak. Ini kerana tidak ramai dari golongan awam yang mengetahui perbezaan antara ulamak yang tidak layak dipanggil ulamak serta ulamak yang sebenar2nya ulamak; sepertimana diiktiraf oleh Allah dalam firmanNya :

" sesungguhnya golongan yang paling takut ( hati mereka ) kepada Allah adalah golongan ulamak ''

Perkataan ''ulamak'' disebut oleh Allah ta'ala dalam beberapa ayat di dalam Al-Quran , di mana Allah mengangkat darjat para ulamak tersebut.  Secara uruf ( kebiasaan ) dalam masyarakat pula, gelaran ''ulamak'' menduduki tempat yang tinggi dalam penilaian mereka. Sehingga terlalu janggal jika dikatakan 'seorang ulamak telah memberi rasuah' atau 'seorang ulamak telah ditangkap berkhalwat' dan sebagainya. Ini kerana bagi mereka, ''ulamak'' adalah golongan yang paling mulia, pemimpin kepada masyarakat serta pewaris para nabi dalam menyampaikan dakwah mereka.

Sabda Nabi s.a.w : " dan sesungguhnya ulamak itu adalah pewaris pada nabi...''

Jarang kedapatan dalam masyarakat tindakan mencemuh dan mencela para ulamak melainkan pada masyarakat yang jahil dan jauh dari Islam sahaja. Oleh yang demikian, fenomena menjadikan status ''ulamak'' sebagai sasaran serangan saraf adalah sesuatu yang amat membimbangkan. Gelaran ''ulamak'' yang asalnya relevan dan mulia pada masyarakat seolahnya kian terhakis sedikit demi sedikit disebabkan tangan2 yang tidak amanah serta tidak bertanggungjawab.


Ulamak VS Ulamak

Dalam perbincangan di atas, kita akan menemui titik percanggahan antara dua golongan yang sama2 digelar ulamak. Pertama ulamak yang benar2 jujur serta amanah dengan ilmu mereka dan menyampaikan kebenaran. Kedua ulamak yang berdusta dengan kata2 mereka dan berusaha menyembunyikan kebenaran demi kepentingan mereka sendiri. Titik percanggahan ini perlu dileraikan segera, supaya ummat tidak terus terkeliru di antara dua golongan, yang mana perlu diikut dan yang mana perlu dijauhi.

Di dalam Al-Quran , Allah turut melakarkan kisah seorang pemuda yang diberikan ilmu oleh Allah ta'ala sendiri. Dia merupakan seorang ulamak, namun disesatkan oleh Allah ta'ala disebabkan dia menyimpang dari kebenaran dan mengikut hawa nafsu. Firman Allah :

" dan bacakan kepada mereka suatu kisah , tentang seorang lelaki yang Kami ajarkan kepadanya ayat2 Kami, ( sehinggalah apabila dia menjadi seorang yang alim ) maka kemudian dia menyimpang dari kebenaran tersebut, lalu syaitan mengikutnya...''

Hebatnya mereka yang bergelar ulamak dunia ini, sehingga syaitan menuruti mereka, bukan mereka yang menuruti syaitan. Disambung lagi oleh Allah dalam ayat seterusnya :

" Sekiranya Kami kehendaki , nescaya akan kami angkat ( darjatnya ) dengan keilmuannya, akan tetapi dia seakan mahu hidup selamanya di dunia dan berterusan mengikut hawa nafsunya sendiri.."

Sesungguhnya , kita tidak hairan dengan golongan yang bergelar ulamak tetapi menyimpang dari kebenaran atau agama Islam itu sendiri demi meraih sokongan masyarakat atau mendapatkan habuan dunia, kerana kisah2 ini telah lama diceritakan oleh Allah ta'ala di dalam Al-Quran

Akan tetapi, apa yang menjadi kebimbangan kepada kita adalah , bagaimana apabila masyarakat tidak lagi mahu mempercayai ulamak , disebabkan membiaknya golongan2 yang berdusta atas nama ''ulamak''? Bagaimana jika masyarakat mula menjauhi majlis2 ulamak, menjauhi masjid2 dan surau2, bahkan membangkang nasihat2 atau teguran2 ulamak dalam bab2 agama- lantaran tidak lagi wujud kepercayaan dan rasa hormat mereka kepada para ulamak..?


Peranan Kita

Mahu atau tidak, tetap menjadi suatu tanggungjawab kepada kita, lebih2 lagi para ilmuan Islam, untuk membersihkan segala tanggapan hina ini daripada terus melekat pada tubuh para ulamak yang mulia lagi suci - semoga Allah meredhai sekalian daripada mereka.Mahu atau tidak, tetap menjadi satu kewajipan kepada kita untuk memastikan masyarakat berpegang teguh dengan ajaran dan kata2 para ulamak yang benar. Mahu atau tidak, kita perlu lakukan kerana kita tidak ingin melihat masyarakat jauh dari Islam dan kita juga enggan melihat masyarakat berpecah belah mengikut haluan para munafiq yang jauh menyimpang dari ajaran Islam.

Justeru, kita perlu berjuang untuk memastikan ''ulamak'' terus kekal relevan dalam hati ummat. Kita perlu terus beriltizam untuk lahir sebagai golongan ulamak yang menepati kehendak syara', bukan menepati kehendak hawa nafsu pemerintah. Kita perlu melahirkan lebih ramai ulamak terutama dari generasi muda bagi menjadi pelapis kepada generasi ulamak yang semakin tua.

Kita risau, andainya isu2 melibatkan kepentingan Islam disalahtafsir dan kian disalaherti apabila terlalu kerap dikembarkan dengan ideologi politik kepartian semata2. Isu Islam adalah isu yang paling utama dan kepentingan Islam adalah keutamaan kepada seluruh daripada kita. Kita mahu supaya isu2 melibatkan agama Islam diperjuangkan dalam ruang lingkup yang lebih besar , melangkaui ruang lingkup politik kepartian semata2.


Fenomena Pelik

Dalam pemerhatian saya, ucapan dari Fathul Bari tersebut sememangnya berlapikkan pelbagai nas2 daripada hadith nabawiyyah bagi 'membenarkan' hujah beliau. Dalam masa yang sama, saya perhatikan sangat sedikit bahkan terlalu sedikit tulisan balas atau hujah balas daripada mana2 ustaz/ ilmuan/ ulamak untuk mematahkan hujah tersebut. Kebanyakan tulisan yang bernada bangkangan - seperti di blog2, facebook dsbg - lebih banyak menggunakan bahasa celaan, menghamburkan kemarahan dan mengkritik dengan kritikan yang jauh dari lunas2 ilmiah.

Saya insaf dengan fenomena tersebut. Berbahaya kalau keadaan tersebut dibiarkan berterusan tanpa ada pencerahan yang menjernihkan hati semua orang yang dambakan kebenaran. Dan tugas berat ini sudah tentunya tergantung di bahu para ulamak. Di manakah jawapan2 atau hujah2 balas berupa penjelasan dari para ulamak yang boleh mendamaikan hati setiap yang membangkang dan memadamkan api kemarahan dalam hati setiap yang berang, sehingga mereka tidak hanya sekadar mencaci maki tanpa kefahaman..?

Sekali lagi saya insaf, dan saya menulis untuk ditujukan sebagai peringatan kepada saya sendiri terutamanya. Amat sukar untuk berhujah dalam hal agama, jika mindset kita telah awal2 lagi meletakkan sempadan kepartian sebagai penghalangnya. Saya tidak menafikan strategi2 politik dalam hal ini, tetapi dalam masa yang sama saya tekankan, bahawa pentingnya diutamakan PENCERAHAN dari lisan ulamak2 yang ikhlas, jujur lagi amanah dalam mendepani hujahan tersebut, supaya masyarakat yang memandang, membaca dan memerhati tidak hanya terkepung dalam konflik spekulasi semata2 , tetapi mereka beroleh kefahaman yang jelas lagi nyata daripada nas2 yang sahih, sorih lagi wadhih.

Sebelum Akhir

Justeru itu saya nyatakan, bahawa saya bersetuju dengan ulamak muda. Jangan terkeliru, kerana saya tidak menambah ''umno'' pada perkataan tersebut. Saya maksudkan adalah golongan pelapis dari kalangan ulamak muda yang mahir lagi alim dalam hukum hakam agama serta berpegang teguh dengan kebenaran serta menyampaikannya secara jujur seperti yang termaktub dalam Al-Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qias. Golongan2 inilah yang perlu diramaikan dan diperkasakan, kerana kejahilan ummah memerlukan penawar yang bukan sedikit.

Kita mahukan supaya lahirnya ulamak2 yang tidak bercakap mengikut hawa nafsu sendiri, tidak berfatwa mengikut selera pemerintah, tidak gentar kepada ancaman, tidak risau pada ugutan, tega menyampaikan kebenaran secara berhadapan, terjun ke dalam medan perjuangan, dan lebih jauh daripada itu, mereka konsisten dalam menjiwai roh perjuangan Nabi s.a.w. , saat Baginda ditawarkan dengan pelbagai habuan dan jawatan , Baginda mengucapkan kata2 keramat :

" Sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini ( Islam ), maka sekali2 tidak akan aku tinggalkan, sehinggalah tertegaknya Islam atau aku mati sebagai syuhada.."

Saya setuju dan saya mendoakan, supaya akan lahir lebih ramai lagi ulamak muda, membasmi kebatilan, menegakkan kebenaran. InsyaAllah.

sekian.

0 comments:

Archive Blog