Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

17 October 2010

Salah Faham Tentang Zina




oleh : hafizquran

Kerapkali kita mendengar orang berbicara tentang solusi terbaik dalam menangani masalah zina. Zina adalah suatu bentuk dosa besar yang sangat dibenci oleh Allah ta'ala. Ini digambarkan dalam firmanNya yang berbunyi ; " Dan janganlah kamu menghampiri zina.." [al isra']. Membawa satu pengertian kepada kita bahawa kalau mendekati pun tak boleh, apatah lagi melakukan perbuatan tersebut.

Tegahan Allah dalam bentuk 'jangan mendekati' juga memberi makna yang sangat mendalam kiranya diperhalusi dengan lebih cermat. Ia membawa kefahaman kepada kita bahawa item2 yang merupakan mukaddimah zina sebenarnya lebih sukar untuk dikenalpasti dan dijauhi berbanding berzina itu sendiri. Berzina dalam takrifan ulamak adalah idkhalus syai' fisy syai' yakni memasukkan sesuatu ke dalam sesuatu - atau seperti dibaca dalam bab penyaksian zina , disebut ''seperti keris masuk ke sarungnya'' - adalah sesuatu yang diketahuin sebagai satu bentuk benda mungkar di dalam masyarakat tetapi perbuatan ringan2 yang merupakan mukaddimah zina sangat jarang dianggap sedemikian. Bahkan mukaddimah zina atau ''ringan2'' dianggap sebagai perkara biasa pula dalam masyarakat.


-->> Nikah Satu Solusi?

Berbekalkan sabda nabi s.a.w yang paling kerap dijadikan hujah , yang berbunyi ; " wahai sekalian pemuda, barangsiapa yang mempunyai kemampuan dari kalangan kamu maka bernikahlah, kerana sesungguhnya nikah itu boleh menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan kamu .." - maka sesetengah dari kita mengambil kesimpulan paling ringkas ; bahawa solusi kepada masalah zina ( termasuk keinginan berzina / tabiat berzina ) adalah bernikah!

Perbahasan tentang hadith di atas dalam bab nikah adalah lebih luas, tetapi apa yang ingin saya sentuh cuma berkenaan sejenis fenomena berbentuk salah faham yang perlu ditangani dalam pemikiran masyarakat kita - tanpa saya menyentuh secara terus kepada penghujahan hadith tersebut beserta perbahasan para ulamak dalam bab nikah. Ringkasnya, apa yang saya ingin highlightkan adalah ; adakah seringkas itu solusi kepada zina? Ini kerana, ada di antara kita yang 'beriman' bahawa apabila dia bernikah, maka dia tidak akan berpotensi untuk terjebak dalam masalah perzinaan secara mutlak!


-->> Sesiapa Jua Berpotensi Berzina

Itu kenyataan yang perlu kita fahami terlebih dahulu, sebelum dibahaskan tajuk ini dengan lebih lanjut. Maksudnya, seorang yang bergelar suami pun boleh dan berpotensi untuk berzina, seorang isteri juga begitu, seorang ayah juga begitu, seorang adik 15 tahun juga begitu, seorang ustazah juga begitu, seorang tok imam juga begitu, bahkan seorang lelaki yang beristeri 4 sekalipun masih berpotensi untuk berzina!

Pun begitu, segala kemungkinan yang saya sebutkan di atas adalah diikat dengan satu sebab ; iaitu apabila segala bentuk mukaddimah zina tidak dijauhi dan segala perbuatan yang menyumbang kepada perbuatan zina tidak dikenalpasti. Kerana itu kata saidina Umar r.a : Mengetahui perkara jahiliah itu perlu bagi tujuan mengelak dari terjatuh ke dalamnya.

Contoh mudah. Seorang yang sudah berkahwin - dan menganggap dirinya bebas dari potensi terjebak dalam zina - lalu dengan mudah menumpangkan anak dara atau kenalan di tempat kerja dalam perjalanan pulang ke rumah. Ditambah pula, dengan murah hati menadah telinga mendengar luahan2 rasa kenalan wanita dan bertindak pula sebagai 'kaunselor' sukarela dengan memanggil mereka2 itu menceritakan masalah secara personal kepada mereka. Boleh jadi niatnya benar, tetapi kerana unsur2 mukaddimah zina tidak dikenalpasti dengan baik ( dijahili ) sekaligus tidak dapat dijauhi , maka saya nyatakan orang2 sebegini pun berpotensi untuk terjebak ke lembah zina.

Walaupun, dia sudah berkahwin. Walaupun di awal perkahwinan dia berniat dengan menikah itu untuk menjauhkan daripada zina. Tetapi terbukti, bahawa jahil adalah musuh utama manusia, selain nafsu dan syaitan.


-->> Memahami Bahaya Zina

Sebelum bicara pasal pernikahan - tidak kiralah tujuan nikah untuk menjauhi zina atau selainnya - maka terlebih dahulu perlu difahami mengapa zina itu berbahaya. Jika tidak, boleh jadi suatu masa nanti seseorang yang sudah bernikah pun boleh tiba2 berminat untuk mendekati zina!

Zina ditegah dalam Islam lantaran kesan atau mudharatnya yang tersangat besar. Ia tidak hanya menimpa individu yang berzina , seperti dijangkiti sifilis, aids dan sebagainya, tetapi juga menimpa orang lain yang tidak berdosa. Lahir daripada perbuatan zina adalah bayi2 yang tidak sah taraf mereka- atau dinamakan anak haram - sedangkan yang haram adalah orang yang berzina bukan bayi tersebut. Maka membesarlah bayi tersebut dalam keadaan dihina dan dikeji walaupun dia tidak bersalah apa2. Akibatnya juga, berlaku kerosakan yang besar dalam keturunan. Anak yang lahir tidak dapat di'bin' atau di'binti'kan kepada bapanya yang sah. Berlakulah perpecahan dalam keluarga dan keturunan tersebut pula akan ditimpa kehinaan yang berpanjangan.

Sedangkan Islam itu datang antaranya untuk menjaga keturunan manusia, dengan cara menghalalkan nikah supaya lahir daripadanya zuriat2 yang soleh solehah , yang akhirnya dapat meneruskan cita2 Islam.

Justeru kita melihat, betapa besar mudharat2 yang timbul akibat daripada dua makhluk Allah yang berzina. Kerana itu perlu kita sematkan dalam minda kita dan ingatkan kepada generasi kita, bahawa zina itu berbahaya. Umpama bahayanya racun serangga yang dicampurkan dalam jus oren, yang mana kita sama sekali tidak akan meminum jus tersebut, maka demikian jugalah dengan zina. Kita tidak akan dikira sebagai memahami erti 'bahaya' kalau kita dengan sukacitanya meneguk jus oren tersebuh padahal kita mengetahui tentang racun di dalamnya.


-->> Memahami Bahaya Mukaddimah Zina

Proses di atas sebenarnya tidak lengkap tanpa kita turut memahami tentang bahayanya mukaddimah zina. Susah juga apabila begitu ramai di kalangan kita hari ini yang menganggap ; hanya 'berat2' yang berdosa dan dianggap bahaya ( kerana kesan2nya etc ) tetapi yang 'ringan2' tidak jadi masalah. Kerana itu kita melihat, adik2 kita di bangku sekolah rendah pun sudah pandai apa itu 'ringan2' bahkan cemerlang dalam 'praktikal' mereka berkenaan bab tersebut! MasyaAllah.

Analoginya begini.

Kalau jus oren yang bercampur dengan racun dianggap berbahaya dan tidak akan diminum,maka perkara yang turut sama perlu dianggap berbahaya adalah ; perbuatan mencampurkan jus oren yang suci dengan racun serangga. Kenapa? Kerana disebabkan perbuatan tersebutlah maka berlakunya kematian pada orang yang minum jus oren. Walhal kalau kita mengerti, kita akan menyepak terajang makhluk2 yang tergamak dengan sengaja mencampurkan racun ke dalam minuman kita.

Fahami ini ; bahawa kiranya meminum air yang dicampur racun itu adalah berbahaya, maka perbuatan mencampurkan racun ke dalam air juga adalah bahaya. Begitu juga dalam bab zina. Jika berzina itu suatu perbuatan yang haram, maka segala bentuk perbuatan yang menyumbang atau membawa kepada zina, juga turut sama dihukum sebagai haram. Jelas.

Jadi, mengapa hanya zina yang dijauhi tetapi mukaddimah kepada zina tidak ditakuti?


-->> Wanita Adalah Fitnah

Sesungguhnya tidak ada pengecualian tentang fitnah wanita terhadap kaum lelaki. Tidak dikatakan bahawa seorang anak murid perempuan berumur 17 tahun tidak bisa menjadi fitnah kepada ustaz yang mengajarnya. Tidak dikatakan seorang muslimat yang telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak tidak menjadi fitnah kepada rakan2 lelaki di tempat kerjanya. Beratus2 situasi yang lain- saya tegaskan- wanita tetap adalah fitnah.

Apa makna fitnah? Saya jelaskan, bahawa pengertiannya adalah wanita merupakan kaum yang berpotensi menghantar lelaki ke lembah maksiat, mampu menjerumuskan lelaki ke lembah perzinaan dan mampu menghilangkan kemuliaan daripada seorang lelaki yang soleh.

Ertinya, apabila kita memandang mereka, kita berpotensi untuk terjerumus kepada penzinaan. Apabila kita bergaul dengan mereka, kita lebih2 lagi berpotensi untuk tergadai keimanan. Apabila kita merapati mereka, kita lebih2 lagi berpotensi 'menganjurkan' pesta kepada para syaitan. Jelasnya, lawan kepada fitnah ini adalah dengan cara kita menjauhi mereka, menidakkan kehadiran mereka, membuang mereka dari dalam otak dan hati kita, serta seboleh2nya cuba 'membenci' potensi fitnah yang dimiliki mereka.


-->> Perlukah Sampai Begitu Sekali?

Di dalam kitab fathul qarib disebut ; bahawa diharuskan seorang lelaki itu untuk memandang kepada seorang perempuan ajnabi dalam 7 keadaan. Antaranya adalah untuk tujuan perubatan, berjual beli dan berurusan yang bersifat dharuri yakni wajib / keperluan. Bermakna, selain daripada 7 keadaan tersebut, tidak diharuskan untuk seorang lelaki memandang seorang wanita yang bukan mahramnya, bahkan ulamak menjatuhkan hukum sebagai haram pada pandangan tersebut.

Ini berdasarkan perintah Allah di dalam Al-Quran, surah An Nur : " dan katakanlah kepada kaum lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka..". Diikuti secara khusus dalam ayat berikutnya ; " dan katakanlah ( juga ) kepada kaum perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka ..". Dalam dua ayat ini, Allah ta'ala mentaukidkan ( menegaskan ) secara khusus akan suruhan menundukkan pandangan kepada lelaki dan wanita, sedangkan dalam kebanyakan ayat yang lain, banyak disebutkan suruhan untuk lelaki sahaja dan dikiaskan sebagai turut mewakili suruhan kepada kaum wanita.

Bermakna, isu wajib menjaga pandangan itu isu yang besar dalam Al Quran. Sebab apa? Walhal sekadar tengok, apa masalah nya? Bukan berzina pun. Perhatikan, analogi air beracun yang saya sebutkan di atas berlaku dengan jelas. Betapa Allah ta'ala mencegah perbuatan2 yang boleh membawa kepada zina, meskipun perbuatan2 tersebut jarang disedari oleh manusia.


-->> Zina mata, zina hati, zina telinga, zina kaki, tangan dan selainnya

Daripada ayat di atas, timbul takrifan berkenaan zina pada anggota yang lain ; selain daripada zina dalam ertikata yang hakiki. Takrifan ini dibuat bagi membentuk kesedaran kepada umat Islam supaya mereka memahami, bahawa pengharaman zina turut meliputi pengharaman melihat, mendengar, menyentuh, memerhati dan perbuatan2 selainnya, yang mana perlu turut sama dijauhi dan dibenci.

Umumnya, manusia jarang mengambil berat berkenaan zina anggota lain ( atau lebih mudah disebut mukaddimah zina ) lalu mereka tidak berhati2 sehingga terjebak melakukan perbuatan2 tersebut. Perbuatan bergurau sesama lelaki dan wanita, mengambil berat yang berlebihan, memuja seseorang yang menjadi idaman di dalam hati, semuanya adalah bentuk2 penzinaan yang walaupun pada hakikatnya turut diharamkan oleh Islam,tetapi banyak dilakukan oleh manusia2 yang beriman.

Contoh situasi :

beep..beep ( sms )


" salam ustzh, fail minit mesyuarat semalam dah siap ke? ana nak pakai. syukran." . Dengan penuh berhati2 dan penuh keimanan, mesej di hantar.


5 minit kemudian dibalas.


" wslm ustaz. ana minta maaf banyak2. ana terlelap tadi, kepala ana pening dari siang tadi. Alhamdulillah, fail tu da siap. pendrive ana dah letak kat bawah. ustaz boleh ambik sekarang. afwan ustaz. "


Sepatutnya berakhir, tetapi tidak. 


" syukran kathir ustzh. teruk ke pening kepala tu? mungkin sebab dah nak dekat exam. ustzh jgn pressure sgt. jgn lupa makan ubat.."


Pening 'ustazah' bagai sembuh ketika itu juga! Malamnya, ketika lengan melintang di dahi, mata menatap siling sambil hati terbang mencari taman. Senyum meleret hingga ke pagi. Esoknya ;


" salam ustaz. Alhamdulillah, ana dah ok. Syukran kathir sebab ambil berat pasal ana semalam.."

Mesej sebegitu kandungannya sikit sahaja. Sekadar diselit2 tetapi penuh bermakna, dan terus dibalas dan dibalas.

Itulah namanya mukaddimah zina. Bukan berzina, hanya mencetus mukaddimah sahaja. Tetapi impak dosanya tetap sama. Jadi, awasi dan berhati2. Saya hanya membawa satu contoh situasi yang terlintas di fikiran, tanpa mewakili mana2 kejadian atau melibatkan mana2 orang.


-->> Anda Bijak Jauhi Zina

Ya, saya suka moto tersebut. Moto yang perlu disebar dan dipromosikan. Dalam masa yang sama, jangan lupa memberi ilmu kepada masyarakat tentang mukaddimah zina. Kelak hanya zina yang 'berat' dianggap dosa, tetapi zina yang 'ringan2' dianggap boleh2 saja.

Peringatan sebegini saya abadikan khas buat diri saya sendiri. Alangkah benar, bahawa jika seseorang itu tidak tegas menjauhi zina, tidak tegas menundukkan pandangan, tidak tegas melawan fitnah wanita, tidak tegas menutup segala ruang2 fitnah kaum wanita, maka biarpun dia bujang atau suami orang, kemungkaran bernama zina tetap akan berlaku.

Juga suka untuk saya nyatakan; bahawa nikah bukan tiket untuk anda merasa aman dari fitnah wanita!


Kesimpulan

Amalan tegur menegur dan ingat mengingatkan- terutama dalam isu2 besar sebegini - perlulah diperkasakan dalam kehidupan kita seharian. Boleh jadi kita terlepas pandang, dan sedikit demi sedikit terjebak ke dalam mukaddimah zina, maka dengan hadirnya peringatan daripada mereka2 di sekeliling kita, InsyaAllah kita masih mampu menarik sebelah kaki kita yang sudah menginjak neraka. Demikian juga , ingatan2 sebegini saya kira amat bermanfaat apabila disuburkan sesama kita.

Tika saya ingat,saya menegur. Tika saya lupa, saya pula ditegur. Alangkah indah ukhwah Islamiah kurniaanMu Ya Allah.

sekian.


nota : akhir2 ini entri saya kelihatan seperti agak panjang. sedang cuba untuk meringkaskan entri2 selepas ini. InsyaAllah.

0 comments:

Archive Blog