Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

16 October 2010

Purdah Di Facebook




oleh : hafizquran

Saya melewati satu perbincangan - semoga Allah memberkati perbincangan ilmiah tersebut - di mana maudhu'nya adalah tentang fenomena muslimat yang berpurdah atau berniqab tetapi aktif bermain facebook serta aktif pula meletakkan gambar mereka di facebook. Justeru ada beberapa perkara yang saya rasa perlu diperhatikan dan difahami sebagai asas, sebelum perkara tersebut dibincangkan dengan lebih jauh.

Dalam masa yang sama, saya tidak menganggap perbincangan tersebut sebagai sengaja menimbulkan isu, sebaliknya lebih kepada konsep memberi peringatan. Firman Allah ta'ala ; " dan berilah kamu peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu ada manfaatnya bagi orang-orang mukmin. " InsyaAllah.


A - Hukum Berfacebook

Perlu difahami terlebih dahulu, bahawa internet atau jaringan sosial yang wujud di dalamnya, serta isu2 yang berkaitan dengannya, adalah merupakan isu bersifat kontemporari, di mana tidak pernah wujud mana2 nas baik dari Al-Quran mahupun Hadith yang menerangkan secara khusus tentang perkara tersebut.

Pun begitu kita sedia maklum bahawa masadirul ahkam ( sumber perundangan ) yang diterima dan diiktiraf di dalam Islam selain daripada Al-Quran dan As Sunnah adalah Ijma' ( atau ijtihad ) dan juga kias. Maka banyak hukum hakam berkaitan dengan isu kontemporari seperti ini adalah lahir dari perbincangan para ulamak secara khusus. Namun demikian, nas2 yang bersifat umum tentang isu2 sebegini sebenarnya terdapat begitu banyak di dalam Al-Quran dan Hadith Nabawiah.

Secara umumnya, hukum berfacebook adalah suatu keharusan semata-mata.

Tiada larangan bersifat khusus

Begitu juga, tidak ada sebarang larangan khusus dari mana2 nas Al-Quran atau Hadith atau Ijma' atau Kias yang menegah seseorang individu itu untuk menyertai laman sosial seperti facebook. Justeru kita tinggalkan perbincangan tersebut dan mengambil satu kesepakatan ringkas bahawa ; sesiapa sahaja boleh berfacebook dan sesiapa sahaja boleh untuk tidak berfacebook tidak kira siapa sekalipun. Noktah.


B - Muslimat berfacebook

Di dalam banyak2 fokus perbincangan berkaitan facebook, isu yang sering menjadi tumpuan adalah persoalan tentang muslimah yang aktif bermain facebook ( atau juga jaringan sosial yang lain ). Isu ini seringkali timbul disebabkan beberapa faktor , antaranya kerana :


  1. Membuka ruang fitnah 
  2. Menjadi salah satu punca penggalakan gejala sosial
  3. Fenomena mendedah aurat
  4. Memudahkan 'akses' kepada mukaddimah zina
  5. Merosakkan institusi kekeluargaan , antaranya berasbabkan kecurangan
  6. Dan lain-lain

Justeru saya seringkali nyatakan, bahawa muslimat adalah kaum yang sangat dijaga oleh Islam dengan pelbagai peraturan dan undang2 ketat dengan tujuan tidak lain dan tidak bukan untuk kemaslahatan ummah seluruhnya. Zaman sekarang, perkara tersebut menjadi semakin mencabar lantaran banyaknya ruang2 kerosakan yang mudah untuk menimpa muslimat kita , samada disebabkan kecuaian mereka atau kejahatan pihak2 yang lain.

Salah satu medium yang banyak menyumbang kepada kerosakan muslimah adalah jaringan sosial seperti facebook. Mereka mudah 'diakses' oleh lelaki yang rosak hatinya. Mereka mudah menjerumuskan diri mereka ke lembah fitnah tanpa mereka sedari. Mereka mudah diperdaya oleh insan yang tidak amanah, dimonopoli dan sebagainya. Semua kes tersebut , sedar atau tidak , sebenarnya telah pun berlaku dan terus berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Dari situ kita melihat, betapa pentingnya diperkasakan suatu gerakan kesedaran terhadap permasalahan sebegini supaya kita mampu mencegah dan membendung kerosakan tersebut dari terus berlaku.


C - Isu Aurat dan Fitnah

Bila disebut persoalan aurat, maka banyak perkara berkaitan yang perlu dihurai. Tetapi di sini saya tidak berhasrat untuk mengulas secara panjang lebar mengenai aurat. Cukup untuk dinyatakan bahawa aurat bagi wanita adalah selain muka dan tapak tangan. Bermakna muka atau wajah bukanlah merupakan aurat yang wajib ditutup ; mengikut pendapat jumhur ulamak. Noktah.

Pun begitu, adakah mereka yang lengkap berpakaian menutup aurat ( atau berpurdah sekalipun ) tidak berpotensi untuk menjadi fitnah kepada kaum lelaki , khususnya ? Jawapannya adalah bergantung kepada situasi dan keadaan.

Antara yang ditimbulkan adalah fenomena muslimat yang lengkap menutup aurat tetapi masih dilihat menimbulkan fitnah terutama menerusi jaringan sosial seperti facebook. Sebagai contoh ; muslimat yang berpurdah atau berniqab tetapi meletakkan gambar dengan pelbagai posing di facebook, yang menjadi tatapan umum, yang akhirnya dilihat memberi gambaran tidak baik kepada muslimat berpurdah itu sendiri. Berpurdah untuk mengelak fitnah, tetapi dalam masa yang sama membuka ruang fitnah.


D - Kefahaman Tentang Larangan

Ada beberapa perkara yang perlu difahami terlebih dahulu sebelum menyentuh tentang fenomena tersebut. 

Pertama : Adakah seseorang muslimah yang lengkap menutup aurat bahkan berpurdah dibenarkan sebebasnya untuk meletakkan gambar dengan berbagai posing; dengan alasan tidak lagi menimbulkan fitnah kepada yang melihat?

Jawapannya adalah tidak. Bahkan mereka masih mampu menimbulkan fitnah dan menjadi fitnah lebih2 lagi kepada kaum ajnabi yang melihat. Kenapa? Kerana susuk tersebut tetap adalah susuk perempuan, yang mana cukup untuk saya bawakan satu analogi ;  kucing tetap akan mengenal ikan tawar walau ikan tawar itu 'berpurdah' sekalipun. Jelas.

Kedua : Adakah muslimah bertutup litup dan berpurdah pun boleh merangsang syahwat lelaki?

Jawapannya adalah YA. Lelaki adalah kaum yang paling hebat diuji dengan nafsu dan wanita. Lelaki juga berbeza dengan wanita dari sudut ransangan syahwat, di mana seseorang lelaki boleh teransang hanya dengan melihat , berbeza dengan wanita yang lebih memerlukan sentuhan fizikal dan sebagainya.

Kerana itu kita lihat, hikmahnya mengapa Allah syariatkan saf solat berjemaah perempuan di belakang dan lelaki di hadapan. Andaikata lelaki yang berada di belakang , nescaya solat maghrib tidak akan cukup 3 rakaat, bahkan boleh jadi sampai 10 atau 20 rakaat. Boleh bayangkan situasi tersebut? Atau boleh jadi pak imam akan tertukar antara solat subuh dengan solat isyak.

Justeru ulamak menggariskan hukum, bahawa pengharaman memandang bagi lelaki bukan hanya pada wanita ajnabi- kerana dikhuatiri menaikkan syahwat dan sebagainya - tetapi juga kepada apa2 sahaja yang boleh menaikkan syahwat mereka. Contoh ; hukum memandang ibu sendiri adalah harus. Tetapi jika memandang dengan nafsu hukumnya haram. Begitu juga , kalau sekiranya tiang lampu yang dipakaikan skirt pun mampu menaikkan syahwat lelaki, maka hukum memandangnya juga jatuh kepada haram. 

Apatah lagi dengan wanita muslimah yang berpurdah. Mereka menjadi igauan bahkan menjadi sejenis 'kegeraman' pula kepada lelaki lantaran mahalnya wajah dan susuk mereka yang tertutup indah. Percayalah yang tarikan mereka sebenarnya adalah berkali ganda lebih hebat bagi lelaki berbanding awek2 yang membawa konsep berpakaian ala kadar yang bersepah di jalanan. 


E - Memahami Setiap Hikmah Dalam Suruhan Dan Larangan

Islam tidak akan meletakkan sebarang suruhan atau larangan melainkan padanya terdapat hikmah yang tersendiri. Kerana itu, memahami tentang hikmah yang terkandung dalam setiap suruhan dan larangan agama adalah sesuatu yang sangat penting. Jika tidak, maka berlakukan gejala atau fenomena tidak cerdik seperti di atas, yang mana sebahagiannya adalah berpunca dari kekurangan ilmu mereka sendiri. 

Antara hikmah Islam mewajibkan muslimah menutup aurat dan menjaga kehormatan adalah supaya mereka kekal pada darjat dan kedudukan yang mulia. Kita melihat bagaimana kaum wanita sebelum kedatangan Islam. Mereka adalah kaum yang dihina. Mereka dianggap sebagai pembawa sial dan sebagainya. Hanya apabila datangnya Islam, maka kedudukan mereka diangkat pada tempat yang selayaknya. Tiada unsur penindasan mahupun diskriminasi yang terkandung dalam syariat Islam ke atas kaum wanita. 

Justeru apabila muslimah telah berada pada tahap tersebut, maka wajiblah bagi mereka untuk menjaga kemuliaan yang Islam telah berikan kepada mereka. Antaranya dengan cara memperkasa gerakan dakwah dan menjaga kaum mereka daripada terjebak dan kembali terjatuh dalam kancah jahiliah, seperti pada zaman sebelum kedatangan Islam. 

Hal ini tidak akan dapat disedari dan disyukuri sekiranya hikmah di sebalik syariat tidak dipelajari dan diperhalusi oleh mereka sendiri.


F -Muslimah perlu bijak mencari peluang ( falsafah air )

Dalam zaman yang serba mencabar sekarang ini, muslimah tidak lagi boleh berjalan melenggang, sebaliknya langkah mereka perlu deras, gagah dan mantap. Tiada istilah siapa lemah dan siapa kuat bila berbicara soal dakwah. Tiada alasan wanita lemah perlu lemah dalam arena dakwah dek kerana hanya lelaki kaum yang hebat dan kuat. Fakta ( atau auta ) yang tidak benar sama sekali.

Zaman ini kita perlu lahirkan lebih ramai srikandi. Kita tidak boleh hanya sekadar berbangga dengan srikandi Islam pada zaman dahulu. Tidak cukup sekadar menyanyi lagu2 nasyid bertemakan sumayyah, siti khadijah, aishah humaira dan sebagainya, sebaliknya kita wajib memperkasa pelbagai usaha bagi melahirkan lebih ramai srikandi pelapis kepada mereka.

Internet memang berupaya menjadi bahan fitnah kepada muslimah. Facebook misalnya, boleh membuka pelbagai ruang kerosakan dan gejala tidak baik sebagaimana contoh atau situasi yang ditimbulkan di atas. Tetapi, adakah disebabkan alasan seperti itu, maka solusinya para muslimah perlu memulaukan internet dan facebook? Sudah tentu tidak sama sekali.

Muslimah yang hebat adalah mereka yang bijak mencari ruang dan peluang. Saya selalu ingatkan isteri saya tentang falsafah air. Meskipun tersekat dengan pelbagai halangan seperti batu, ranting atau sampah sarap, tetapi air tetap akan mencari ruang - samada luas atau sempit - untuk terus mengalir. Muslimah juga perlu begitu. Jangan kerana pelbagai halangan yang menimbulkan kesusahan, maka diam menjadi kesimpulan akhir kepada mereka.


G- Kita mencorak dakwah

Firman Allah ta'ala : " Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah ( kebijaksaan ) dan peringatan2 yang baik serta berdebatlah dengan mereka dalam keadaan yang paling baik.."

Hikmah ditakrifkan sebagai kebijaksaan, manakala kebijaksaan meliputi takrifan yang cukup luas. Asasnya, kita yang mencorak dakwah itu sekira2 dalam keadaan yang paling bijaksana.

Muslimah berdakwah dengan medium seperti facebook dan blog contohnya, adalah suatu gambaran kebijaksaan. Syaratnya , bebas daripada sebarang unsur yang menimbulkan fitnah atau bertentangan dengan syariat.

Muslimah meletakkan gambar di facebook sekira2 dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah, juga adalah satu bentuk kebijaksaan dalam berdakwah. Ini kerana jaringan seperti facebook memerlukan pengenalan diri untuk berkomunikasi, dan gambar memainkan peranan penting dalam melengkapi proses tersebut.

Bijaksanalah dalam berdakwah. Jadilah seperti prinsip air. Kekangan meletakkan gambar bukan alasan untuk tidak boleh meletakkan gambar langsung. Meletakkan gambar di facebook , hakikatnya tidak langsung menjadi masalah jika dibuat alternatif seperti berikut :

  • Niat yang satu iaitu hanya untuk tujuan dakwah ( berukhwah juga termasuk dalam kata dakwah ). Tidak ada sebarang niat untuk menunjuk2, menarik perhatian kaum adam dan sebagainya. Sudah pasti muslimah sebegini tidak akan meletakkan gambar dalam posisi yang tidak sesuai atau sembrono.
  • Gambar tidak jelas, tidak terlalu dekat atau terlalu menonjol. Muslimah yang memahami bahawa kawalan keselamatan ke atas gambar2 mereka di facebook adalah terlalu tipis akan sentiasa mengambil langkah berjaga2 apabila mengupload sesuatu gambar.
  • Berhati2 apabila menambah bilangan kenalan, yakni hanya diberi akses kepada kawan2 yang diyakini benar2 wujud dan benar2 wanita. Apabila kawalan kita ketat, maka penyamaran oleh lelaki tidak bertanggungjawab akan dapat dielakkan. Sekurang2nya kita berusaha.
  • Tidak meletakkan gambar terlalu banyak. Kembali kepada soal niat meletakkan gambar itu sendiri.
  • Mengambil berat perbuatan tagging gambar yang mendedahkan wajah atau susuk kita dalam keadaan tidak sesuai ditatap umum. Ini mungkin dibuat oleh kenalan kita secara tidak sengaja. Justeru, sebaik disedari, maka perlulah segera dibuang atau ditegur kenalan tersebut.

Itu sebahagian alternatif yang saya kira boleh dilaksanakan supaya isu gambar bukan menjadi halangan kita dalam menyebarkan dakwah. Tidak termasuk dalam bab ini segelintir muslimah yang niat mereka bukan untuk berdakwah atau berukhwah kerana Allah, sebaliknya lebih kepada mengada2, menunjuk2 dan menarik perhatian lelaki. Itu saya akan bicarakan dalam bab yang lain. Di sini, saya fokuskan kepada muslimah , tidak kira berpurdah atau tidak, yang berdiri atas landasan dakwah islamiah semata2.


H -Manfaat lebih besar

Di dalam kaedah usul fiqh disebut " menimbang antara dua kemudharatan dan mengambil mudharat yang lebih ringan ''. Dalam kaedah ini, diharuskan untuk kita mengambil mudharat yang lebih ringan bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar.

Contohnya dalam situasi di mana terdapat keperluan untuk kita meletakkan gambar kita di facebook, bagi tujuan dakwah terutamanya,  yang tidak bercanggah dengan syariat, dan gambar tersebut telah pun kita pastikan dalam keadaan bebas dari anasir fitnah, tetapi masih terdapat kerisauan kiranya ditatap oleh lelaki yang rosak hatinya, dieksploitasi dan selainnya. Maka kita melihat itu sebagai satu bentuk kemudharatan , yang mana lebih selamat jika kita tidak meletakkan gambar langsung.

Tetapi dalam masa yang sama, kita merasakan betapa perlunya kita meletakkan gambar kita supaya kenalan dapat mengecam diri kita, tidak dituduh menyamar, tidak diragui, atau dalam situasi di mana kita sedang melakukan proses dakwah fardiah dan pentingnya untuk mad'u kita itu mengenali kita  (atau sebaliknya mad'u tersebut tidak akan mempercayai kita ) dan sebagainya , maka itu juga merupakan satu bentuk kemudharatan. Bahkan mudharat tersebut adalah kepada proses dakwah, bukan diri kita semata2.

Justeru, antara dua kemudharatan di atas, yang lebih ringan adalah kita letakkan juga sekeping atau dua keping gambar kita yang tidak jelas, sekadar gambar kecil, sekadar boleh dikenali dan meyakinkan mad'u kita; berbanding mudharat yang lebih besar adalah kerja2 dakwah kita akan terganggu dan tergendala. Keadaan tersebut adalah diharuskan. Lalu kita berlindung dari Allah sekiranya gambar sebegitupun masih mampu menarik perhatian atau menimbulkan ransangan kaum lelaki. Saya kira, itu sangat jarang berlaku.

Tetapi perlu diingat, hukum di atas tidak mewakili kesemua keadaan. Contohnya, mudharatnya adalah lebih besar berbanding mudharat tergendala dakwah sekiranya kita sengaja meletakkan gambar yang begitu jelas, posing yang bermacam2, memberi gambaran susuk tubuh kita, menunjukkan betapa manisnya senyuman kita, mendedahkan gambaran keseronokan kita sedang bergelak tawa, serta aksi2 yang lain yang saya sifatkan lebih sudu dari kuah, maka mudharat sebegini adalah lebih besar untuk kita hindari. Tidak kiralah kita muslimah yang sudah lengkap menutup aurat , berpurdah dan sebagainya.


Kesimpulan

Alangkah malang kalau muslimah berpurdah pun masih terjebak dan menyokong kewujudan ruang2 fitnah dan lebih malang lagi jika keadaan tersebut berlaku disebabkan kejahilan mereka sendiri. Justeru saya mengharapkan agar artikel ini mampu membangkitkan kesedaran kepada para muslimah khususnya yang mana akan berlaku proses perubahan bagi membendung permasalan seperti dibincangkan di atas.Kalian yang telah lengkap menutup aurat, bertudung labuh dan berpurdah umpamanya, lebih2 lagi perlu faham dengan jelas isu2 sebegini dan kalianlah yang sepatutnya lebih ghairah menyebar dan mengingatkan perkara2 sebegini kepada kaum kalian.

Saya sendiri mengharapkan kewujudan lebih ramai muslimah berpurdah yang aktif dalam 'mengambil kesempatan' dakwah dengan wasilah facebook serta begitu konsisten menjaga perkara2 yang saya nyatakan di atas. Dari sudut yang lain, alangkah hairan melihat golongan yang tidak senang duduk melihat muslimah berpurdah yang aktif berfacebook, sedangkan muslimah yang tidak cukup kain dan terdedah di sana sini serta masih tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak pula diberi keutamaan untuk disedarkan. Pun begitu, saya bersangka baik bahawa peringatan itu bersifat sejagat, bukan hanya pada pihak2 tertentu sahaja.

Justeru, saya menyanjung segala bentuk usaha dakwah bagi kebaikan ummah sejagat. Didoakan semoga segala usaha itu diberkati dan diberi inayah oleh Allah ta'ala. Amin.

sekian.


nota : kerangka perbincangan ini adalah bagaimana untuk kita semua, termasuk saya , mengubah yang tidak baik menjadi baik dan mengubah yang baik menjadi lebih baik, membuka sudut pandang yang lebih luas kepada bab fadhail a'mal  serta bukan untuk menghukum secara qat'ie kepada mana2 pihak melainkan hanya sebagai nasihat, teguran dan berkongsi peringatan.

10 comments:

Insyirah October 16, 2010 at 12:26 PM  

Salam'alaika.

Alhamdulillah, teguran yang baik. Islam ad-dinnun nasihah. Ana kepilkan di dalam facebook, buat tatapan sahabat muslimat umumnya dan khusus kepada yang berniqab. Jazakallah

زهرة حلوة October 16, 2010 at 2:29 PM  

Bismillah.
Salamu'alaykum ustaz,
jazakallah atas perkongsian yang bermanfaat..

saya akui memang benar apa yang ustaz kupaskn,
seorang wanita itu tetap akan dn boleh mngundang fitnah mlalui gmbar..
dan bagi pandangan saya, jika tidak meletakkan gambar sekalipun tetap perjalanan dakwah boleh diteruskan..
jika, ada sahabiah yg nak melihat,
itu antara muslimah itu dan sahabiahnya sndiri..
tanpa prlu meletakkan terus gmbrnya di laman sebegini.

hm..apa2 pun perkongsian yang mntap, dan diharapkan mmpu mnyuntik kesedaran buat semua muslimah yang dikasihi Allah...insyaAllah..

barakallahu fik~

SeRiKaNDi_uMaR93 October 16, 2010 at 9:17 PM  

syukran 'ala kulli hal

SeRiKaNDi_uMaR93 October 16, 2010 at 9:23 PM  

http://syaeirah.blogspot.com/2010/05/berpurdah-tapi-tayang-gambar-sunnah.html

sedikit perkongsian bersama
moga mendapat manfaat!

hafizquran October 16, 2010 at 10:08 PM  

wslm wbt

insyirah : faddhal..semoga dapat sama beroleh manfaat. Al dall 'ala khair kafailihi -hadith. insyaAllah

zahrah : sebaik2nya begitulah.sadduz zara'i- menutup ruang2 fitnah

srikandi : sama2 dan terima kasih atas perkongsian link tsebut.

~anis~ October 17, 2010 at 11:08 AM  

Assalamu'alaikum wbt

smg akhi sentiasa dlm rahmat & lindungan Allah swt..

ana telah copy & paste artikel anta beserta link blog anta ke blog ana sbg perkongsian. smg anta halalkan ana menyambung da'wah bil kalam ini utk saham akhirat bersama. jazakAllahu khairanil jaza'

hafizquran October 17, 2010 at 3:35 PM  

wslm wbt

anis :silakan.

Anonymous October 18, 2010 at 11:31 AM  

ustaz,, nk share jgak bole? nk post kt fb,, boleh di sampaikan kat sahabat laen,, boleah ye ustaz?

hafizquran October 18, 2010 at 4:09 PM  

anon : silakan

dan dibenarkan kepada sesiapa shj utk sbarkan, dn diletakkan link ini sbg rujukan. t.k

Anonymous October 29, 2010 at 2:21 AM  

salam,terima kasih atas peringatan yang mantop.Berbalik kpd isi kndgn blog ustz,insyaallah sumenye akan selamat jika kaum wanita kte hari ini tetap berpegang teguh dgn al-quran n sunnah."Don't judge the book by it's cover"..Smmgnya kte mmg suka utk menegur org,,tapi sejauh mana pengaplikasian kte dalam kehidupan...sama2 kte renungkan..syukran

Archive Blog