Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

06 October 2010

Pandai Cakap Arab Tapi Tak Reti Baca Kitab

oleh : hafizquran

Pagi tadi saya menghubungi tuan rumah, meminta supaya dibaiki pemanas air ( untuk bilik mandi ) di rumah saya. Suhu sekarang sudah semakin sejuk, sangat hampir untuk masuk ke musim syita' ( musim sejuk ) , pemanas air di bilik mandi pula tiba2 rosak. Maklum saja, saya menyewa di aparment lama. Halnya kecil sahaja, mahu supaya pemanas air diperbaiki. Namun disebabkan masalah pertuturan ( saya menggunakan bahasa fushah sambil berharap dia juga sedemikian ) dan kelemahan saya memahami bahasa ( loghat / 'ammiah ) tuan rumah , ditambah pula dengan sikap beliau yang 'tidak mesra alam' , perbincangan tersebut menjadi tegang.

Akhirnya - mungkin kerana melempiaskan rasa geram beliau - saya dikatakan tidak faham bahasa arab. Saya menjawab ringkas ; " saya orang baru kat sini.." Sedikit sebanyak memang saya berkecil hati dan agak marah , tetapi hikmahnya , saya mendapat buah fikiran daripada insiden tersebut.

Isunya adalah sikap tuan rumah yang nyata tidak 'meraikan' saya sebagai penyewa di situ. Itu masih boleh diterima. Tetapi yang menjadi permasalahan adalah tuan rumah bertutur dalam bahasa pasar ( 'ammiah ) yang sangat sukar untuk saya fahami. Saya berada di sini belum pun sampai sebulan , bagaimana mungkin saya memahami 'loghat' mereka? Ya, saya pernah berada di Yaman sebelum ini, tetapi pada saya, 'ammiah Yaman tidak seteruk 'ammiah Jordan. Lagipun, 'ammiah kedua2nya tidak sama.

Jadi untuk memujuk hati, saya buat satu kesimpulan mudah. Andaikata tuan rumah tersebut pandai berbahasa malaysia sekalipun dan ditakdirkan dia datang ke malaysia, saya nak bawa dia pergi Kelantan. Nak tengok samada bahasa malaysia itu sama atau tidak dengan 'loghat kelate'.

Bahasa Fushah vs Bahasa Pasar ( 'ammi )

Perlu difahami, bahawa bahasa 'ammiah ini merupakan bahasa percakapan, atau lebih mudah disebut sebagai loghat. Ia bukan suatu perkara yang perlu dibanggakan pun. Tidak releven sama sekali. Bahasa pasar bukan bahasa yang diiktiraf oleh mana2 skema. Sepertimana di Malaysia, loghat2 kelate, kedah atau mana2 negeri sekalipun tidak boleh digunapakai tika menjawab soalan Pemahaman Bahasa Malaysia. Boleh gagal jawabnya.

Berbeza dengan bahasa fushah. Ia bahasa yang diiktiraf dan keagungannya termaktub di dalam Al-Quran yang kita baca. Bahasa Al-Quran adalah bahasa fushah yang maha cantik, tersusun dan sekaligus menjadikannya bahasa yang cukup indah. Firman Allah ta'ala :

" Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran itu dalam bahasa arab mudah2an kamu dapat berfikir "

Mukjizat Al-Quran bukan hanya pada isi kandungannya tetapi juga pada susun kata / gaya bahasa Al-Quran itu sendiri. Kita sedia maklum, bahawa Al-Quran merupakan mukjizat Nabi s.a.w yang paling besar. Mukjizat maknanya perkara yang melemahkan musuh. Kalau di zaman Nabi Musa Allah taala berikan mukjizat tongkat bertukar menjadi ular, kerana musuh2 Nabi Musa pada masa itu menentang utusan Allah dengan sihir. Demikian juga dengan Nabi Muhammad s.a.w. Tika Nabi s.a.w mendepani ummatnya dengan Al-Quran, berapa ramai para penyair pada masa itu yang jatuh terduduk lantaran lemahnya mereka untuk melawan keindahan bahasa Al-Quran? Dan Al-Quran itu fushah, bukan bahasa pasar.

Begitu juga dengan hadith2 Nabi s.a.w. Tidak pernah suatu hadith pun diriwayatkan dengan bahasa pasar atau loghat mana2 kabilah arab. Sebaliknya ia diriwayatkan dari lisan arab yang fasih lagi wadhih ( jelas ).

Jadi apa yang hendak dibanggakan sangat dengan loghat pasar sesuatu kaum? Alangkah rugi seorang penuntut ilmu yang 'ajam ( bukan arab ) yang datang ke tanah arab kemudian balik dengan bangganya kerana pandai bercakap arab 'ammi yakni bahasa pasar. Kalau balik dari Yaman, dia pandai bercakap arab 'ammiah Yaman. Kalau balik dari Jordan, dia fasih bercakap 'ammiah Jordan. TETAPI apabila disuruh bercakap dalam bahasa arab fushah, atau membaca kitab2 turath, atau kitab2 berbahasa arab yang lain, lidahnya kelu dan tergagap2 meletak baris pada setiap kalimah. Apa ertinya?

Bahasa arab adalah bahasa yang kaya. Orang arab pun tidak pandai bahasa arab. Itu bukan perkara pelik. Tuan rumah saya itu pun boleh jadi tidak pandai pun bahasa arab. Sama juga dengan kita di Malaysia. Adakah semua calon yang menduduki SPM mendapat A1 dalam subjek Bahasa Malaysia? Tidak sama sekali. Bahkan yang dapat 9E pun ada. Jadi pelikkah kalau kita katakan orang malaysia tidak pandai bahasa Malaysia?

Sama juga dengan bahasa arab- lebih2 lagi tidak pelik. Bahasa 'ammiah sebagai contoh, sangat jauh 'menyeleweng' dari bahasa fushah yang sebenar. Contoh ; kalimah haza disebut hay. Kalimah limaza disebut laisy. Kalimah ma za disebut esy. Pendek kata, bahasa pasar bukanlah bahasa yang didasarkan kepada mana2 kaedah bahasa arab, samada kaedah nahu , soraf dan lain2.

Saya buat kesimpulan mudah seperti berikut :

1 - Pandai berbahasa 'ammi tidak menjadi masalah, bahkan mahu bercakap bahasa 'ammi juga tidak menjadi masalah. Ia juga dilihat sebagai sesuatu yang perlu pada beberapa keadaan, sebagai contoh ketika bermu'amalah ( berurusan ) dengan orang arab, ketika kuliah ( kalau pensyarah menggunakan bahasa 'ammiah ) dan lain2.

2 - Apa yang menjadi MASALAH adalah apabila terlalu 'beriltizam' dengan bahasa 'ammi sehingga tidak tahu asal usulnya dalam bahasa fushah. Juga kalau terlalu pandai bercakap 'ammi tetapi tidak pandai bercakap fushah- khususnya pelajar bidang agama.

3 - HAKIKATNYA , beriltizam dengan bahasa fushah ( lebih2 lagi bahasa Al-Quran ) lebih banyak kebaikan daripada membiasakan diri dengan bahasa2 pasar. Ini kerana, hendak baca kitab, perlu pandai qawaid, perlu arif dengan gaya bahasa arab yang mana semuanya adalah secara fushah. Suatu hari nanti, kalau pulang ke Malaysia, bahasa 'ammiah boleh tinggal dekat mathar, naik kapal terbang bawak bahasa fushah sahaja. Di Malaysia, 'ammi itu apa gunanya?

4 - Apa yang PENTING , pelajarilah kaedah bahasa arab sehingga benar2 faham dan mahir. Keperluannya terlampau banyak. Alangkah malang kalau kita tergolong dalam golongan yang pandai cakap arab, tetapi tak reti nak i'rab kitab- terutama pelajar agama.

Justeru ambillah pengajaran dari coretan ringkas ini. Pengalaman saya yang amat dangkal memerlukan kepada teguran dan tunjuk ajar yang membina dari mereka yang lebih arif. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahNya kepada kita semua. Wallahua'alam.

0 comments:

Archive Blog