Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

17 October 2010

Muslimat Lembik Dan Manja


                                   "erti kekuatan" 

oleh : hafizquran

Dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda mengenai perihal ummat Islam di akhir zaman, yang mana bilangan mereka ramai tetapi disifatkan seperti buih2 di lautan. Lalu Nabi s.a.w menyatakan bahawa yang demikian itu disebabkan mereka ditimpa sejenis penyakit bernama " al-wahn " . Para sahabat bertanya tentang apakah itu al-wahn, dan Nabi s.a.w menjawab ; hubbud dunya wa karaahiatul maut ( cintakan dunia dan takutkan kematian ).

Cintakan dunia dalam hadith di atas bermaksud, terlalu meletakkan dunia dan segala perhiasannya di dalam hati sehingga mengesampingkan akhirat. Bahkan sehingga membelakangkan Allah dan RasulNya. Manakala takutkan mati dalam hadith di atas bukan bermakna ketakutan yang membawa mereka kepada amal ubudiyyah tetapi sejenis kebencian yang mana jika diberi pilihan, mereka pasti akan memilih untuk hidup selama2nya.

Antara perkara penting yang dinyatakan dalam hadith di atas adalah perihal kekuatan ummat Islam yakni kekuatan muslimin dan muslimatnya di akhir zaman. Muslimin mahupun muslimat adalah dua kumpulan yang sepertinya sama2 menyumbang kepada kelemahan ummat Islam di akhir zaman, sehingga disifatkan bahawa, walaupun bilangan mereka ramai, tetapi ramainya mereka tidak memberi apa2 manfaat. Justeru, sangat penting kepada kita - yang sebenarnya telah berada di era akhir zaman - untuk meneliti dan mengenalpasti apakah punca kelemahan ummat akhir zaman , ataupun saya perincikan lagi, apakah punca kelemahan muslimin dan muslimat di akhir zaman, sehingga mereka tidak mampu berdiri segagah ummat di zaman kegemilangan Islam. Saya fokuskan kali ini adalah tentang muslimat.


Pertama : Fenomena Muslimat Akhir Zaman

Saya suka highlightkan perkataan muslimat berbanding perkataan wanita atau perempuan atau hawa, kerana perkataan muslimat itu mencakupi penakrifan yang mendalam maksudnya. Muslimat adalah takrifan bagi kaum wanita/perempuan/hawa yang agama mereka adalah Islam. Di mana cara hidup mereka perlu mengikut Islam, cara pemakaian mereka perlu berlandaskan Islam dan corak pemikiran mereka juga wajib didasarkan kepada Islam. Saya ingin mengajak kita ke situ, kerana muslimat di akhir zaman tidak lagi begitu.

Mereka adalah kaum wanita yang dimuliakan Allah dengan agama Islam. Bahkan syariat begitu konsisten menjaga mereka sejak dari dahulu sehingga sekarang. Mereka diberikan kemuliaan oleh Allah dengan penjagaan yang tersendiri sehingga sesetengah keistimewaan yang ada pada mereka tidak diberikan kepada kaum muslimin. Malangnya, segala kemuliaan, keistimewaan dan kelebihan yang diberikan Islam kepada mereka , bagaikan sekadar diletakkan di bawah kasut tumit tinggi yang mereka pakai setiap hari. Seakannya begitu.

Fenomena berpakaian seperti telanjang, pergaulan bebas, gemarkan hiburan dan keseronokan, berpakaian seperti lelaki, gemarkan cara hidup barat  dan sebagainya banyak didominasi oleh kaum muslimat akhir zaman. Sesungguhnya mereka telah menggadaikan kemuliaan seorang muslimah yang tidak ada pada seorang wanita kristian, buddha mahupun atheis. Mengapa keadaan ini berlaku dan terus berlaku?


Kedua : Muslimat Turut Diekploitasi

Perbuatan mengeksploitasi kaum wanita bukan perkara baru, tetapi apa yang ingin disentuh adalah tentang wanita muslimah yang turut sama dijadikan bahan eksploitasi tangan2 laknat yang ingin menghancurkan Islam. Para wanita dijadikan objek untuk menarik perhatian awam, contohnya, iklan tayar kereta tetapi gambar wanita seksi lebih mendominasi iklan, walhal tidak ada kena mengena atau sebarang perkaitan. Itu wanita yang mungkin tidak beragama. Tetapi bagaimana kalau muslimah juga begitu?

Tubuh badan mereka, wajah mereka dan segala kecantikan mereka dijadikan objek atau bahan tarikan untuk melariskan iklan. Dan mereka pula merelakan ! Sedikit demi sedikit, mereka tidak lagi merasakan bahawa sebenarnya maruah dan kehormatan mereka sedang dicabuli secara halus. Sehingga kita melihat, seolah tidak ada beza lagi antara wanita barat dengan yang bergelar muslimah.


Ketiga : Lembik dan Manja kerana Lemah?

Jika berbicara perihal di atas, skopnya agak luas dan banyak perkara yang boleh dihuraikan. Salah satu yang menarik untuk diperbincangkan adalah, apakah faktor sehingga lahirnya muslimat2 hari ini dari kalangan muslimat2 yang lemah , lembik dan tidak seperti selayaknya gelaran mereka. Atau dengan bahasa mudahnya, mengapa muslimat hari ini begitu lemah, lembik , manja bahkan mengada2?

Sepanjang pemerhatian saya, kerapkali berlaku salahfaham dalam mentafsirkan maksud 'lemah' pada wanita. Ada yang tersalah tafsir lalu mengambil pendirian bahawa tidak ada yang berupaya dilakukan oleh wanita selain daripada memasak, basuh kain dan jaga anak. Ada juga yang terlebih tafsir sehingga melaung2kan slogan "hak sama rata" bahkan sampai melanggar batas2 syara' dan hukum hakam Islam. Padahal, jika difahami dengan baik, kita akan dapati bahawa maksud 'lemah' itu hanyalah pada ertikata lemahnya keupayaan fizikal seseorang wanita - begitu juga dengan kawalan emosi - yang berbeza dengan seorang lelaki.

Tetapi itu bukanlah bermakna kaum wanita itu perlu menjadi lemah dalam bab2 ibadah, bab2 dakwah serta bab2 meninggikan syiar Islam. Bahkan dalam bab mengejar pahala dan melakukan kebaikan, khitab Allah umum kepada semua orang yang beriman. Bukan hanya pada muslimin sahaja. Kerana itu kita melihat, betapa wanita2 muslimah pada zaman kegemilangan Islam adalah mereka2 yang hebat - yang tidak pernah menjadikan isu 'lemah' sebagai alasan - sehingga nama mereka disebut2 sehingga ke hari ini , diabadikan dalam pelbagai lirik nasyid dan sebagainya.

Membuktikan, wanita itu sebenarnya kuat dan bukan lemah. Lebih2 lagi dengan wanita muslimat. Mengapa harus diletakkan alasan 'lemah' sehingga menidakkan ( atau me'mandom'kan ) segala 'kekuatan' yang mereka ada?


Keempat : Hikmah Yang Perlu Difikir Muslimah

Dek kerana terbawa2 dengan doktrinisasi bahawa muslimah adalah lemah, maka mereka terlupa untuk mengkaji tentang hikmah2 yang diciptakan Allah,  yang mana menafikan bahawa mereka adalah kaum yang 'lemah'. Saya bawakan satu contoh ;

Di awal kelahiran lagi, Allah telah menciptakan satu bentuk hikmah yang sering dilupakan oleh manusia ; iaitu kelebihan untuk mengandungkan seorang anak hanyalah pada seorang ibu, bukan ayahnya. Bermakna, tugas yang sedemikian mencabar, Allah berikan kepada seorang wanita. Seorang perempuan. Seorang muslimah. Walhal kita tahu, tugas sedemikian sangat menduga kesabaran. Bukan hanya ketahanan fizikal yang diperlukan, tetapi juga ketahanan emosi. Kalau wanita itu lemah, mengapa tidak Allah jadikan ayah yang mengandung dan ibu boleh bersenang lenang..?

Kemudian, azab bertarung dengan maut di saat melahirkan bayi. Kesakitan yang mampu membersihkan dosa2 mereka. Kesakitan tersebut adalah satu bentuk kesakitan yang tidak mungkin boleh dirasai oleh kaum lelaki. Sangat azab dan seksa. Tetapi kesakitan itu Allah tetapkan hanya untuk wanita, bukan lelaki. Kalau wanita itu lemah, mengapa tidak Allah jadikan si ayah yang merasa sakit atau turut merasai kesakitan yang sama..?

Bererti, wanita bukan semata2 lemah. Bahkan sebenarnya mereka jauh lebih kuat berbanding lelaki.


Kelima : Lemah , Lembik dan Manja Berpunca Dari Kita

Anehnya, dalam peristiwa kelahiran yang tersembunyi hikmah Allah berupa 'kekuatan' yang sedemikian besar, akhirnya apabila membesar mereka dilatih untuk menjadi lemah dan dinafikan segala kekuatan yang mereka ada.

Kekuatan hati terutamanya. Kekuatan rohani mereka. Kekuatan iman yang terpasak dalam dada mereka.

Kesemuanya dinafikan. Dalam erti kata lain, unsur2 memanjakan dengan anak patung, dengan teddy bear, dengan kasih sayang yang melampau2, akhirnya menjadi unsur negatif apabila segala kekuatan dalaman mereka yang sepatutnya dibina- tidak langsung diberi perhatian dan galakan.

Mereka tidak dibentuk dengan cara hidup sebagaimana srikandi zaman silam. Mereka tidak dilatih untuk berjiwa kental dan kuat. Mereka tidak diajar akan makna ketegasan seorang muslimah. Mereka tidak disematkan dengan semangat mencintai Allah dan agamaNya. Mereka tidak ditiupkan dengan roh perjuangan. Segalanya tidak. Segalanya dianggap tidak releven dengan mereka.

Maka lahirlah hari ini, para muslimah yang lembik dan manja. Dalam fikiran mereka cuma ada keluarga dan kasih sayang keluarga, tetapi kasih sayang kepada Allah ta'ala tidak subur dalam diri mereka. Mereka mengutamakan ibu bapa dan keluarga, tetapi melupakan Allah Yang Esa. Sedangkan Allah berfirman : " dan orang-orang yang beriman itu ( sifat mereka ) bersangatan cinta mereka kepada Allah...". Tetapi dalam hati dan sanubari mereka cuma dahagakan belaian, perhatian dan dakapan makhluk. Jiwa mereka terasa tandus tanpa kasih sayang seorang lelaki, tetapi merasa segar walaupun tanpa cinta dari Ilahi.

Akibatnya, muslimah hari ini banyak yang terpedaya dengan cinta. Banyak yang ternoda akibat mempercayai segala kata-kata berselindungkan dusta. Mereka tega hidup bertemankan air mata. Mereka suka melakarkan berpuluh2 bahkan beratus puisi dan sajak tentang 'si dia', yang akhirnya membawa mereka ke lembah durjana. Usahkan hendak memimpin kaum mereka, mereka sendiri pun tumpas tak berdaya dek kerana cinta mengatasi CINTA. Mereka terus menjadi mereka , dan mereka terus diganti dengan mereka2 selepas mereka. Mereka yang sama dan serupa. Mereka yang muslimah hanya pada nama semata-mata.


Kesimpulan

Ayuhlah kita membongkar dan memperkasa kembali segala kekuatan yang ada pada ummat kita, terutama para muslimah. Bukan hanya muslimin yang boleh menyumbang kepada kekuatan Islam,tetapi muslimah juga memainkan peranan yang sama. Janganlah kalian termasuk pula dalam golongan yang menjadi pemula kepada sebuah perbuatan durjana , sebagaimana Allah memulakan ayat berkenaan zina dengan mendahulukan ''penzina perempuan'' berbanding ''penzina lelaki'' - yang mana memberi makna bahawa kaum wanita kebanyakannya adalah pemula kepada perbuatan mungkar seperti zina. Firman Allah ta'ala : " Penzina perempuan dan penzina lelaki, hendaklah kamu sebat tiap seorang dari mereka sebanyak 100 kali sebatan.."

Saya percaya, kiranya semakin ramai yang sedar dan memperkasa kesedaran tersebut, tidak akan lahir lagi di kalangan muslimah kita pada hari ini para muslimah yang lemah, lembik, manja dan mengada2. Tetapi akan semakin ramai lahirnya muslimah yang tegas, kuat dan meletakkan cinta Allah melebihi segala2nya. Semoga setiap hati dari kalangan kita diberikan hidayah dan taufiq oleh Allah Jalla wa 'Azza.

sekian

0 comments:

Archive Blog