Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

18 October 2010

Menginsafi Makna Di Sebalik Lafaz Takbir




oleh : hafizquran

Dengar sahaja perkataan " takbir " maka kita akan terbayang takbir hari raya. Syawal masih baru meninggalkan kita dan tidak lama lagi akan tiba pula bulan haji, di mana sekali lagi perkataan '' takbir '' akan menjadi popular kepada kita. Takbir pada kita hanyalah takbir hari raya. Syahdu dan mengundang sejuta nostalgia.

Mungkin kerana '' takbir '' itu lebih istimewa , lantaran hadirnya cuma dua kali dalam setahun. Tetapi, bagaimana pula dengan '' takbir '' yang kita lafazkan setiap hari?


Takbiratul Ihram

Salah satu daripada rukun solat adalah mengucapkan lafaz '' Allahu Akbar '' semasa mengangkat takbiratul ihram. Perkara yang wajib adalah melafazkan '' Allahu Akbar '' dan tidak boleh diganti dengan lafaz selainnya. Manakala mengangkat tangan ketika melafazkan takbir tersebut adalah sunat. Asasnya adalah wajib diniatkan solat di dalam hati dan diikuti dengan lafaz membesarkan Allah.


Apa makna '' Allahu Akbar ''?

Tahukah kita, dalam dunia hari ini, meskipun lafaz takbiratul ihram bukanlah sesuatu yang janggal pada ummat Islam, namun hanya sedikit sahaja daripada mereka yang mengerti dan menghayati makna di sebalik lafaz takbir tersebut.

'' Allahu Akbar '' adalah gabungan dua perkataan dalam bahasa arab ; yakni " Allah '' dan '' Akbar '' bermaksud : Allah adalah Tuhan Yang Maha Besar. Itu semua orang tahu. Bahkan di skrin televisyen pun, terjemahan tersebut tertera dengan jelas sewaktu azan dikumandangkan. Tapi sayang, selesai azan diikuti dengan sedikit fadhilat solat, tetapi jarang sekali diketengahkan makna di sebalik lafaz '' Allahu Akbar '' tersebut.

Sebab itu masyarakat kita jahil tentang tuntutan '' Allahu Akbar ''.


Makna di sebalik '' Allahu Akbar ''

'' Akbar '' bermaksud '' lebih besar '' atau '' paling besar ''. Dalam kaedah bahasa arab, '' Akbar '' dipanggil isim tafdhil yakni kata nama yang membawa maksud 'lebih' atau 'paling'. Contohnya, perkataan '' aqrab '' bermaksud '' lebih rapat '', sedangkan '' qarib '' pula dalam bahasa arab bermaksud '' dekat ''. Dekat dan lebih dekat sudah tentu adalah dua perkataan yang berbeza.

Demikian juga '' akbar '' ( lebih besar ) berbanding '' kabir '' ( besar ). Itu secara tersurat.

Secara tersiratnya, lafaz '' Allahu Akbar '' membawa pengertian bahawa ; sebaik sahaja kita menghadap Allah dan mahu menunaikan solat, maka hanya Allah sahaja yang paling besar dalam diri kita ketika itu. Otak kita, jiwa kita, hati kita dan segenap anggota kita berdiri tegap membesarkan Allah semata2 di kala itu. Hanya Allah yang Paling Besar, benda2 lain semua kecik belaka. Itu maksudnya.

Kerana itu dinamakan dengan '' takbiratul ihram '' - maksudnya takbir yang menjadikan segala perbuatan halal sebelumnya menjadi haram. Haram dalam ertikata boleh membatalkan solat tersebut. Umpamanya makan, sebelumnya halal, tetapi sewaktu solat tidak boleh seseorang itu mengunyah makanan atau meminum air. Demikian juga dengan pergerakan tubuh badan dan sebagainya.


Khusyuk

Dari sinilah timbulnya pengertian khusyuk. Apabila lafaz '' Allahu Akbar '' dilafazkan dengan penuh penghayatan , maka segala pekerjaan dunia terhenti seketika, segala tumpuan kepada pekerjaan dan permasalahan dunia bagaikan hilang dari pemikiran manusia, maka terhasil lah apa yang dipanggil sebagai ''khusyuk''.

Siti Aishah r.anha meriwayatkan bahawa , ketikamana Nabi s.a.w berdiri hendak menunaikan solat, maka seolah2 Baginda tidak mengenali ahli keluarganya sendiri.

Diceritakan juga di dalam sebuah hadith, ketika Nabi s.a.w melihat seorang lelaki yang sedang solat tetapi bebas bergerak2, maka Nabi s.a.w bersabda ; '' sekiranya khusyuk hati lelaki ini, nescaya seluruh anggota tubuhnya akan turut menjadi khusyuk ( konsisten pada keadaannya ) ".

Khusyuk itu tempatnya di hati. Justeru, apabila hati gagal menghayati makna '' Allahu Akbar '' seterusnya gagal '' membesarkan '' Allah di dalam sanubarinya, maka tubuh badannya akan menzahirkan kecelaruan tersebut. Sebaliknya apabila hati teguh dengan pengertian '' hanya Allah yang dibesarkan '' , maka khusyuklah segenap anggota jasadnya di kala bersolat.


Kelemahan Kita

Apa yang sering terjadi kepada kita adalah , sewaktu mengangkat takbiratul ihram dan menyebut " Allahu Akbar '' , maka mulalah segala perihal dunia memenuhi benak pemikiran kita. Jam yang hilang kerana terlupa letak di mana, tiba2 sahaja teringat dengan mudah di kala bersolat. Penyelesaian kepada masalah2 kerja, ketandusan idea, strategi bisnes, semuanya datang bertimpa2 ketika solat. Akhirnya kita tidak lagi menjiwai '' Allahu Akbar '' sebaliknya segala perihal dunia yang lebih besar dan mendapat tempat di hati kita.

Lalu, bagaimana mungkin solat sebegini dapat mencapai maksud firman Allah ta'ala : " Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perkara keji dan mungkar "'. Adakah setiap orang yang bersolat , maka dia beroleh pencegahan tersebut? Sudah tentu tidak. Segala gejala sosial dan permasalahan ummat hari ini menjadi jawapannya. The action speak lauder than word.

Renungkan. Bagaimana mahu sampai ke situ kalau takbiratul ihram dan lafaz '' Allahu Akbar '' yang menjadi pemula kepada solat pun sudah gagal dihayati?


Muhasabahlah

Lebih daripada itu, bagaimana mungkin seseorang itu untuk '' membesarkan '' Allah di luar solat kalau di dalam solat pun Allah gagal  "dibesarkan"? Bagaimana mungkin lafaz '' Allahu Akbar '' mahu diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian, dalam mu'amalat, dalam pendidikan, dalam perundangan dan sebagainya , jika lafaz '' Allahu Akbar '' ketika solat pun gagal dihayati sedalamnya?

Justeru tidak pelik, jika hari ini lebih ramai manusia ''membesarkan'' manusia yang lain berbanding Allah. Lebih ramai yang bergantung rezeki kepada manusia selain Allah. Lebih ramai yang mendewakan urusan dunia berbanding perintah Allah. Sedangkan hakikatnya, segala urusan dunia dan akhirat adalah bermula dari lafaz '' Allahu Akbar '' sewaktu memulakan solat. Tidak hairanlah Nabi s.a.w. bersabda ;

" Perkara pertama yang akan dihisab pada seorang hamba di hari akhirat adalah SOLAT ''

sekian

0 comments:

Archive Blog