Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

10 October 2010

Bangsa Yang Dimuliakan Allah

oleh : hafizquran

Firman Allah ta'ala :

" Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal " [ al-hujurat : 13 ]

Dalam memahami dan menghayati firman Allah di atas, suatu perkara yang turut sama harus kita fikirkan adalah setiap manusia itu diciptakan oleh Allah dengan fitrah yang tersendiri. Antara fitrah manusia adalah perasaan untuk menjadi yang terbaik. Perasaan ini wujud dalam diri setiap manusia, samada ia dizahirkan ataupun tidak.

Terkadang dalam mengejar perasaan tadi, timbul berbagai2 fitnah dan kerosakan. Antaranya mucul penindasan, penipuan dan sebagainya demi mencapai cita2 menjadi yang terbaik di antara manusia. Tindakan sedemikian timbul disebabkan kefahaman manusia itu sendiri, bahawa apabila mereka menjadi nombor satu, maka mereka akan beroleh kemuliaan.

Lumrah manusia inginkan penghormatan dan disanjung. Sesuatu bangsa juga begitu. Mereka ingin menjadi bangsa yang terbaik dan menidakkan bangsa yang lain. Mereka menindas dan mengusir bangsa yang berbeza dengan mereka. Mereka mencipta propaganda dan mencetus provokasi demi mencapai cita2 jahat mereka.

Sedangkan hakikat sebenar Allah menjadikan manusia sebagai berbeza2 dan berbagai bangsa bukanlah untuk tujuan sedemikian. Sebaliknya syahid dalam ayat tersebut adalah untuk saling mengenal, meraikan dan mengambil iktibar sesama manusia. Kemudian diikuti dengan satu kesimpulan bahawa orang yang paling mulia atau bangsa yang paling hebat adalah mereka yang paling tinggi takwanya kepada Allah.

Bangsa Arab

Cuba kita ambil contoh dari masyarakat arab. Mereka adalah bangsa yang dimuliakan oleh Allah. Ini kerana para nabi diutuskan dari kalangan mereka bahkan nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w adalah dari bangsa arab. Al-Quran pula diturunkan oleh Allah dalam bahasa arab. Cukup banyak kelebihan mereka jika dibandingkan dengan umat2 yang lain.

Jika difikirkan secara logik, sudah pasti mereka bangsa arab adalah bangsa yang paling islamik dan paling kuat mengamalkan Islam. Tetapi hakikat atau realitinya tidak sedemikian. Pergilah ke negara arab dan kita akan mendapati bahawa bangsa bukanlah suatu perkara yang menjadi nombor satu dalam syiar Islam.

Bangsa arab bukan bangsa Islam. Seorang arab tidak semestinya seorang muslim. Bahkan ramai di antara mereka yang beragama Kristian, Majusi , Atheis dan sebagainya. Sedangkan mereka lebih faham Al-Quran dan lebih mengerti maksud hadith berbanding bangsa yang lain.

Terbukti bahawa tiada satu bangsa pun yang didiskriminasikan oleh Allah di atas muka bumi ini. Begitu juga , secara tidak langsung membawa kefahaman kepada kita, bahawa bangsa bukanlah perjuangan nombor satu manusia di atas muka bumi ini.

Takwa Nombor Satu

Dalam ayat di atas, selepas Allah ta'ala menceritakan tentang manusia yang pelbagai kaum, bangsa , jantina dan sebagainya, Allah datangkan dengan satu statement bahawa orang yang paling mulia adalah yang paling bertakwa.

Sepatutnya, manusia yang fitrahnya ingin menjadi nombor satu dan menjadi yang terbaik akan mengejar syarat tersebut, supaya melayakkan mereka menjadi best of the best di kalangan manusia. Tidak kiralah mereka lelaki atau perempuan, arab atau 'ajam, mereka akan berusaha sedaya upaya memenuhi syarat " yang paling bertakwa " sebagaimana yang termaktub dalam firman Allah tersebut.

Tetapi menyedihkan kerana apa yang berlaku tidak sedemikian. Manusia membelakangkan erti takwa dan memperjuangkan bangsa. Mereka ingin menjadi bangsa yang paling mulia, tetapi mereka adalah bangsa yang paling rakus, bangsa yang tidak beragama, bangsa yang rasuah, bangsa yang mengamalkan riba, bangsa yang memisahkan agama dengan kehidupan dan sebagainya. Dalam keadaan tersebut, bagaimana mungkin mereka akan menjadi mulia dan dimuliakan oleh Allah..?

Melayu

Bangsa melayu cukup gah dengan nama 'melayu'. " Takkan melayu hilang di dunia " adalah kata2 keramat buat mereka. Saya melayu dan saya bersyukur menjadi melayu. Tetapi saya tidak bangga lahir sebagai melayu. Sebelum bercerita perihal bangga, elok kita tanyakan diri kita dahulu, mengapa harus kita 'bangga' menjadi melayu?Adakah kerana melayu adalah bangsa yang paling kuat berpegang kepada Islam? Adakah bangsa melayu adalah bangsa yang paling beriltizam dengan cara hidup Islam? Saya tidak merasakan demikian.

Melayu hari ini adalah bangsa yang tidak solat. Bangsa yang banyak murtad. Bangsa yang kuat berzina. Bangsa yang kemaruk hiburan. Bangsa yang banyak menyanjung khurafat dan cerita hantu. Bangsa yang gemarkan cara hidup barat. Jadi saya tidak menjumpai satu sebab pun untuk berbangga menjadi melayu.

Begitu juga saya tidak akan menerima kalau seorang arab mengaku bangga menjadi arab kerana nabi diutus dari kalangan mereka dan Al-Quran itu atas lidah mereka- sedangkan mereka dan orang eropah tidak jauh bezanya.

Bangsa dan Kewajipan

Namun begitu, adalah sesuatu yang malang jika saya tidak bersyukur dengan bangsa saya sendiri. Jadi sebagai tanda bersyukur, maka menjadi kewajipan ke atas saya dan melayu2 yang lain untuk memartabatkan melayu di persada dunia- bukan dengan keris dan lembing- tetapi dengan membawa bangsa melayu balik kepada pengertian takwa itu sendiri.

Takwa adalah prasyarat mencapai kemuliaan. Justeru, takwa tidak akan diperolehi dengan hanya menulis Islam di atas kad pengenalan. Sebaliknya perlu dihayati dan beriltizam sepenuhnya dengan cara hidup Islam dari segala aspek ; ibadah, sosial , mu'amalah , perundangan, politik dan lain2. Tanpa suntikan takwa dalam elemen2 tadi, maka hinalah bangsa itu di sisi Allah dan hinalah bangsa itu di sisi manusia.

Kesimpulannya, usahlah hanya berbangga jadi arab tetapi berusahalah menjadikan arab sebagai bangsa yang dimuliakan Allah. Begitu juga, usahlah terlalu bangga menjadi melayu, tetapi berusahalah semaksima mungkin supaya melayu menjadi satu bangsa yang dimuliakan Allah.

sekian.

0 comments:

Archive Blog