Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

03 October 2010

Alim Tapi Lupa Al-Quran

oleh : hafizquran

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan penuntut ilmu untuk terus berjuang dan bermujahadah tanpa mengenal erti penat atau garis penamat. Tamak haloba dalam menuntut dan menggali khazanah ilmu Allah terutama ilmu syariat adalah amalan yang mulia lagi terpuji. Tidak cukup kelulusan peringkat menengah, disambung lagi ke peringkat diploma, ijazah, phd, master dan sebagainya. Tidak cukup dengan kitab2 kecil, disambung lagi ke kitab2 yang lebih besar dan sebagainya.

Semangat pandang ke depan ini diakui positif, tetapi boleh saja bertukar negatif andai tidak kena pada tempatnya. Pandang ke depan tidak harus ditafsirkan dalam konteks 'tinggalkan buku lama' dan buka 'buku baru'.

Lebih malang lagi kalau prinsip yang terpesong ini menjadi amalan segelintir penghafaz Al-Quran hari ini.

Persoalannya, adakah menghafaz Al-Quran itu sama sahaja dengan menghafaz matan2 atau qawaid bahasa arab sebelum masuk ke dewan imtihan? Sudah tentu tidak. Kadangkala, seorang penghafaz Al-Quran boleh terlupa bahawa dia adalah seorang penanggung kepada Al-Quran. Dia telah berjanji untuk menyimpan Al-Quran itu di dalam dadanya. Dia telah mengikat janji tersebut siang dan malam sebelum khatam hafazannya sebanyak 30 juzuk. Anehnya, dia boleh terlupa akan semua hal tersebut?

Apabila naik ke peringkat seterusnya, Al-Quran sangat jarang dimuraja'ah. Perkataan i'adah bukan lagi menjadi rutin utama dalam kehidupan hariannya. Bahkan jadual yang padat menjadi alasan paling kukuh untuk tidak mengulang Al-Quran.

Percayalah, bukan petua yang menjadi masalahnya. Masalah utamanya adalah diri anda sendiri! Berikanlah seribu satu petua sekalipun, jika 'suis utama' tidak berfungsi, segalanya tetap menjadi sia2 belaka.

Seharusnya, seorang penghafaz Al-Quran itu perlu sedar. Bahawa taklifat itu telah pun terpikul di atas bahunya sehingga hari kiamat. Bukan sahaja kewajipan untuk beramal dengan isi kandungannya, bahkan kewajipan yang sama besar adalah mengingati juzuk2 Al-Quran itu sendiri.

Sampai ke hari kiamat, kesedaran tersebut wajib dikekalkan. Kesedaran yang menjadikan anda berupaya untuk hidup secara luar biasa - yakni berbeza dengan insan di sekeliling anda. Kesedaran yang menjadikan 24 jam anda sentiasa tidak cukup.

Apa akan terjadi kiranya kesedaran tersebut diabaikan?

Kesannya adalah seperti yang dapat anda saksikan pada segelintir huffaz hari ini. Kesukaran bermujahadah sewaktu mahu bergelar 'hafiz Al-Quran' satu masa dahulu bagaikan suatu mimpi ngeri kepada mereka, yang menjadikan mereka bagaikan 'fobia' untuk berada dalam situasi tersebut.

Mereka merasakan tekanan. Mereka merasakan kekangan. Mereka merasa susah dan tidak dapat bersenang lenang. Akhirnya untuk hidup secara istiqamah seperti layaknya hidup seorang huffaz bagaikan suatu perkara yang sangat membebankan kepada mereka.

Mengurangkan Rasa Bersalah?

Ada juga di kalangan mereka yang berpura2 kononnya memberikan sepenuh fokus kepada bidang yang sedang mereka ikuti sekarang, sedangkan hakikatnya mereka mahu 'lari' dari perasaan bersalah kerana melupakan Al-Quran dan melupakan title mereka sebagai penghafaz Al-Quran.

Akhirnya mereka tamat pengajian dan pulang sebagai seorang yang alim, tetapi Al-Quran mereka tersangkut2 dan bocor di sana sini. Dalam keadaan tersebut, mulalah mereka mengelak dari mengakui diri mereka sebagai seorang yang pernah menghafaz Al-Quran bahkan tidak segan silu menggelarkan diri mereka sebagai 'al-hapus' sebagai ganti 'al-hafiz'- walaupun untuk berjenaka.

Kesedaran

Bukanlah tujuan saya menulis untuk sengaja mengkritik, tetapi sangat elok untuk dijadikan iktibar dan pengajaran. Andai kita bukan dari golongan tersebut, sama2lah kita menasihati mereka yang berkemungkinan tidak menyedari akan fenomena tersebut.

Ingatlah bahawa Al-Quran itu amanah. Jangan pandang belakang, jangan pandang kiri kanan, tetapi pandanglah pada diri anda sendiri. Jangan segan, tanyakan diri anda dengan sejujurnya, di manakah kedudukan anda tika ini?

Sekian. Sebuah peringatan khusus untuk tuan kepada jari yang sedang menaip, mata yang sedang melihat dan akal yang sedang berfikir.

1 comments:

zakwan October 6, 2010 at 8:00 AM  

abe..doakn ana istiqamh..ssh jgk ni 'nk mula balik'..sungguh menginsafkn.

Archive Blog