Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

05 May 2010

Monolog

Oleh : hafizquran

Dalam hidup ini kita akan sentiasa diuji. Kalau hidup kita sedang lenang dan sentiasa bahagia, ia bukan hidup namanya. Itu keseronokan, bukan kehidupan. Kita akan ' hidup ' apabila kita diuji, sebaliknya kita ' mati ' andaikata kita tidak pernah berhadapan dengan apa2 ujian atau cubaan.

Ujian datang untuk mematangkan kita. Orang yang tahan diuji akan menjadi semakin matang. Matang mengenal erti hidup. Matang mengenal selok belok dalam perjuangan. Orang yang tidak sanggup diuji pula selamanya akan berada di takuk lama. Tidak matang dan tidak mengenal langsung makna perjuangan.

Aku diuji dan aku tidak wajar mengeluh. Ini bukan kali pertama aku menghadapi ujian sebegini. Bagaikan Allah sengaja menemukan aku dengan kehidupan yang getir dan sukar supaya aku cepat matang dan cepat faham. Mungkin juga supaya aku tidak lupa tujuan.

Ya, tujuan. Kembali kepada soal niat. Aku harus kembali pada permulaan. Membaiki dan menampal mana2 bahagian yang sudah rosak. Menyebut perjuangan tidak semudah mempraktikkannya. Bahkan sesiapa yang berkenalan dengan perjuangan pasti berharap supaya dapat menghindarinya. Tidak berjuang dan hidup dengan senang lenang.

Aku tidak begitu. Aku yakin aku tidak begitu. Kalau tidak , kenapa aku diberikan ujian sebegini? Sudah pasti Allah menguji kepada mereka yang selayaknya. Pasti DIA tahu kemampuan aku. Pasti dan pasti DIA Maha Tahu.

Aku lelaki berprinsip. Aku bangga kerana aku punya prinsip. Aku bukan lalang, ditiup ke kanan aku ke kanan, ditiup ke kiri aku ke kiri. Aku juga bukan ' mineral water ' , putih tidak hitam pun tidak. Aku tidak menganggap ' neutral ' sebagai satu prinsip. Tidak. Bahkan orang yang berpegang dengan prinsip ' neutral sebenarnya adalah orang yang mengelak dari terlibat dengan perjuangan.

Apabila kita berprinsip dan kita pula berjuang, sudah pasti kita akan berhadapan dengan segala macam kesukaran. Kesemua perkara itu datang kerana kita tidak duduk senang lenang, goyang kaki, makan minum dan berulang alik ke tandas. Tidak. Ia datang kerana siapa kita dan apa yang kita lakukan.

Perlukah bersedih apabila kita terjatuh tika diuji? Patutkah mengalah apabila kita gagal akibat mempertahankan prinsip? Wajarkah berasa kecewa apabila disingkirkan kerana mempertahankan maruah diri? Jawapannya TIDAK. Tidak sama sekali.

Kita diuji sedemikian rupa kerana kita adalah orang yang kuat. Usahlah melihat kepada rakan2 sekeliling yang bersenang lenang dan tidak diuji serupa kita. Pandanglah kepada mereka2 yang lebih kuat, lebih hebat dan lebih berjaya. Sedarlah bahawa mereka semua telah melalui keperitan dan kesusahan yang lebih dahsyat. Kemudian barulah mereka berada di tahap sekarang.

Cuba bertanya kepada mereka, adakah mereka punyai prinsip atau tidak. Tanyakan mereka apakah mereka berjuang atau tidak. Pasti mereka akan menjawab YA.

Orang yang hebat diuji supaya mereka sedar bahawa mereka hebat. Orang yang berprinsip dan ada pendirian diuji supaya mereka benar2 mempertahankan prinsip dan memperjuangkan pendirian mereka. Aku juga begitu. Dan aku amat bersyukur kerana Allah jadikan aku daripada golongan itu.

Bukan dari golongan yang ' enggan terlibat ', ' neutral ', ' tidak berpihak ', ' tidak kisah ', ikut saja ' dan yang sewaktu dengannya. Hakikatnya orang yang berminda ' kuli batak ' tidak akan sama dengan orang yang berminda ' tauke '.

Seorang yang berminda ' tauke ' tidak akan sanggup menjilat kaki dan melutut kepada orang sambil mencampakkan prinsip ke tepi. Itu minda ' kuli '. Betapa ramai orang yang berminda ' kuli ' dalam dunia hari ini. Hari ini kuli, esok kuli, puluhan tahun akan datang pun tetap kuli. Kuli yang tidak memahami apa2. Sekadar mengikut percaturan tuannya demi memastikan periuk nasinya terjaga. Tidak kisah soal prinsip, tidak kisah soal perjuangan. Janji kenyang.

Sebaliknya seorang yang berminda ' tauke ' meskipun pernah berada di bawah , namun satu hari nanti dia pasti berada di atas. Dia belajar dari pengalaman dan berjuang dengan prinsip yang dibawa. Keutuhan pendiriannya akan membawa dia ke atas. Di waktu itu seorang kuli masih seorang kuli dan dia pula bergelar tauke.

Ia bukan soal bisnes, material atau keduniaan. Tidak. Ia perumpamaan mindset orang sekarang. Tidak berani untuk memilih pendirian semata2 takut kehilangan sumber pendapatan, contohnya. Bukan sahaja takut menyuarakan pendirian, bahkan takut untuk berpendirian. Sanggup pula mengamalkan sikap ' berkecuali ' dan ' neutral ' demi kesenangan diri sendiri!

Kenapa? Takut. Itulah jawapannya. Orang penakut tidak akan menjadi kawan kepada kejayaan. Kalau takut dilambung ombak , usah berumah di tepi pantai. Orang yang berani berdepan dengan risiko dan ketakutan adalah orang yang berjaya.

Mereka adalah orang2 yang berjiwa besar. Biar miskin, biar kerdil, biar lemah dimata orang namun jiwa mereka besar. Cita2 mereka besar. Prinsip mereka kukuh dan pendirian mereka utuh. Merekalah yang dilahirkan sebagai pemimpin, sebagai pencorak, sebagai barisan hadapan, sebagai ' tauke ' dan sebagai ketua.

Apa yang berlaku sehingga ke hari ini adalah lembaran pelajaran untuk ku amati dengan cermat. Pelajaran yang tidak akan kutemui dalam mana2 kitab dan mana2 bilik kuliah. Itulah pengalaman- guru yang tidak ternilai harganya. Dan pelajaran ini akan kujadikan panduan. Aku akan terus bertapak esok, lusa dan seterusnya.

Yang pasti, aku lelaki berprinsip. Aku lelaki yang punya hemah dan pendirian. Aku berfikir untuk memotong bukit dengan kudratku, saat orang lain berkecuali dan menganggap ianya sia2. Aku berfikir untuk menjadi pencorak generasi akan datang, bukan semata2 mengikut corakan sedia ada- apatah lagi yang diasaskan oleh monyet yang mendapat bunga. Oleh orang yang bukan ahlinya. Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahli, maka nantikanlah saat kerosakannya.

Punah. Jahanam. Hancur.

Ia menyedarkan aku tentang tugas. Tentang tanggungjawab. Ia menghidupkan nadi perjuangan untuk berdenyut kian rancak. Ia merentap semangatku untuk kekal kuat dan tabah. Aku akan buktikan apa yang aku cakap. Aku akan buktikan apa yang aku tulis.

Aku akan buktikan suatu hari nanti.

InsyaAllah.

Kuala Lumpur
02.00 a.m

0 comments:

Archive Blog