Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

18 March 2010

Kurangkan Ketawa , Banyakkan Menangis

oleh : hafizquran

Dunia kehidupan akan terasa sunyi sekiranya tidak diisi dengan gelak tawa dan tangis duka. Itulah namanya rencah kehidupan. Ada masanya kita sedih dan ada ketikanya kita ketawa gembira. Putaran harian menjadikan kita begitu.

Namun seringkali juga kita lupa dan perlu diingatkan, bahawa tawa gembira dan tangis duka ada batasnya. Ia mungkin bersifat harus, namun boleh sahaja menjadi haram.Sebagai contoh , tangis duka asalnya satu keharusan. Boleh jadi kita menangis kerana gembira, boleh jadi juga kita menangis kerana sedih. Sedih akibat kehilangan barang atau kegagalan dalam membuat sesuatu perkara.

Tetapi apabila tangis duka itu melampaui batas, maka hukumnya bertukar menjadi haram. Contohnya menangisi sesuatu kematian sehingga tahap meratap dan meraung. Perkara tersebut diumpamakan oleh Nabi s.a.w sebagai 'doa orang jahiliah'.

Demikian juga dengan bergelak ketawa. Di dalam Al-Quran Allah ta'ala berfirman yang bermaksud :

" Maka hendaklah kamu kurangkan ketawa dan banyakkan menangis.."

Di dalam hadith juga banyak diceritakan keburukan akibat banyaknya ketawa, antaranya melekat banyak titik hitam pada hati. Lama kelamaan hati menjadi keras. Gelak ketawa yang dimaksudkan di sini adalah gelak ketawa yang bersifat keterlaluan.

PENILAIAN SEMULA

Pernahkah kita melihat situasi di mana seorang penceramah agama menyampaikan ceramah sehingga hadirin ketawa ibarat 'pecah perut' ? Dengan kata lain sehingga ketawa berdekah2 ? Tentu sekali pernah. Lebih2 lagi sekiranya ceramah agama itu diadakan di luar masjid, umpamanya berbentuk ceramah perdana, forum dan sebagainya. Ilmu agama yang cuba disampaikan , pesanan Al-Quran dan Hadith yang cuba diserapkan , namun sebaliknya yang mereka dapat.

Lebih teruk daripada itu, ramai di kalangan hadirin yang berminat untuk attend ceramah agama sebegini semata2 untuk mendengar lawak jenaka penceramah , lebih2 lagi kiranya penceramah itu seorang yang terkenal. Terkenal bukan kerana keilmuan dan tawadhuknya tetapi kerana pandai mencipta pelbagai lawak yang bisa membuatkan mereka ketawa.

Sudut yang positif mungkin kita boleh katakan , sekurang2nya mereka hadir dan mendapat input yang baik. Tetapi sudut negatif adalah apabila lebih ramai yang pulang membawa 'modal lawak' berbanding membawa balik 'modal agama' untuk disampaikan pula kepada keluarga di rumah. Saya melihat perlunya kita membuat penilaian semula terhadap situasi ini, dengan memberi lebih penekanan kepada pesanan Al-Quran " kurangkan ketawa , banyakkan menangis ". Ingin saya tanyakan di sini, berapa ramai pula yang hadir mendengar ceramah agama sehingga bisa membuatkan mereka menangis?

DUNIA KETAWA

Andai pentas2 agama pun dihiasi dengan gelak ketawa yang berlebihan ( bukan semua ) , maka keadaan di luar sana tentunya lebih teruk dan parah. Lihat sahaja pola kehidupan masyarakat kita, dari yang muda sehingga yang tua, mana lebih banyak antara menangis dan ketawa dalam kehidupan seharian mereka ?

Pelbagai acara dan program diatur untuk membuatkan kita ketawa sepanjang masa, kerana kononnya ketawa itu ubat kepada segala masalah yang melanda. Mereka ambil pesanan doktrinisasi sesat manusia dan mereka terus membelakangkan pesanan Yang Maha Esa. Rancangan untuk memastikan masyarakat hidup dalam gelak ketawa tersusun indah di dalam TV kita , contohnya seperti  program realiti Raja lawak Astro.

Apabila terlalu banyak ketawa dan bersukaria, maka lahirlah masyarakat yang berjiwa keras umpama batu. Keras dan kosong. Melihat kemungkaran di depan mata namun tiada sekelumit rasa di jiwa. Melihat kezaliman berleluasa tanpa sedikit pun hasrat untuk berbuat apa2. Segalanya diletakkan atas slogan " biarkan sahaja, janji aku bahagia ".

KEMBALI

Sudah tiba masanya untuk kita kembali memuhasabah diri kita dan membuat penilaian semula tentang perkara di atas. Ingatlah kembali pesanan Allah Ta'ala supaya kita memperbanyakkan muhasabah dan menangis menghitung dosa. Jika kita terlibat dalam memberi ceramah dan sebagainya, cuba awasi lawak jenaka yang tidak memberi makna apa2. Sekadar menghilangkan jemu dan selingan tidak mengapa. Selebihnya berilah penekanan supaya ilmu agama yang cuba kita sampaikan benar2 meresap ke dalam hati, jiwa dan sanubari para hadirin yang mendengar.

Semoga Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan kita dan membantu kita untuk terus Istiqamah di jalannya. Amin.

Sekian

0 comments:

Archive Blog