Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

29 March 2010

Hati Seorang Pendidik

oleh : hafizquran

Menghadap kelas yang riuh rendah adalah perkara biasa bagi kebanyakan guru, begitu juga aku. Mendepani dan melayan kerenah murid - apatah lagi di sekolah rendah - juga adalah perkara biasa yang bukan hanya dilalui oleh aku seorang sahaja. Namun tercetus juga di sudut hati, adakah kesemua orang mampu untuk menjadi seorang pendidik yang baik?

Ia bukan hanya soal ketinggian ilmu. Ia bukan hanya soal kehebatan personaliti. Ia juga bukan hanya soal tegas atau lembut.

Aku pernah berdepan dengan pelbagai ragam manusia sepanjang bergelar pendidik. Aku rangkumkan kesemua pengalamanku samada mengajar di sekolah kerajaan, swasta, tahfiz mahupun kelas2 jangka pendek atas nama 'pendidik'. Sepanjang tempoh itu, aku menyimpan kemas beberapa peristiwa yang aku jadikan pengajaran penting dalam meneruskan gerak langkahku sendiri.

Dalam tempoh bergelar pendidik sebelum ini , aku memang pernah bertindak keras. Samada ia arahan dari pihak atasan atau tindakanku sendiri, asasnya aku pernah melakukan hal tersebut. Bukan sekali dua tanganku hinggap keras di belakang atau bahu pelajar. Bukan sekali dua tamparanku singgah di pipi pelajar. Bukan sekali dua aku mengamuk. Dan bukan sekali dua aku menggunakan rotan ke atas pelajar bahkan itulah tindakanku yang paling banyak, lebih2 lagi sewaktu mengajar di sekolah swasta dahulu.

Tidak keterlaluan kalau aku katakan aku pernah digeruni oleh pelajar2ku. Bukan hanya kerana status 'guru disiplin' tetapi kerana ketegasan yang diistilahkan sebagai 'tak kasi can'. Mungkin ia tidak sedahsyat yang disebutkan, tetapi antara perkara paling teruk yang pernah aku lakukan adalah melibas rotan bertalu2 ke atas bahu dan belakang seorang pelajar. Akibat hilang sabar kerana ditipu pelajar tersebut dalam satu kes disiplin, aku bertindak sedemikian di hadapan pelajar2 lain betul2 di kaki lima asrama. Tanpa disengajakan satu libasan rotan tersasar tepat di bawah mata pelajar tersebut. Terbukti libasan itu meninggalkan satu parut hitam di mukanya.

Parut yang turut terkesan lama di hatiku sendiri.

....

" semua..tulis kod ini betul2 sekarang.."

Itu mungkin antara arahan awal yang keluar dari mulutku tika menongkah kebingitan kelas tahun 6. Reaksi mereka masih menghampakan. Aku mengulangi arahan itu sekali lagi dan beberapa pelajar mula memberi respon. Kemudian kebanyakan mereka lekas2 menulis bila melihat aku berdiri dari meja guru. Aku berharap mereka segera menulis kod yang disebutkan di dalam buku pinjaman tersebut, kerana guru kelas bakal dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kesilapan.

" kamu yang kat belakang..buka buku dan tulis sekarang.."

Pelajar tersebut tidak mengendahkan, sebaliknya menconteng Al-Quran yang baru dibaca beramai2 sebentar tadi. Aku merenung dari depan, berharap pelajar tersebut segera memberi respon. Namun hampa. Aku mengulangi kata2 tadi hampir 5 kali dan kemudiannya aku mampir berdiri di hadapan pelajar tersebut. Aku kira, jika seorang guru berdiri dan memberi arahan, apatah lagi di hadapan meja pelajar, maka itu suatu perkara yang memerlukan respon segera dari pelajar terbabit. Malangnya, dia tidak mengendahkan sepatah pun kata2 ku.

Aku merasa seolah2 aku tidak wujud. Aku merasakan seolah aku dipermainkan. Pelajar2 lain mula memandang ke belakang. Pelajar tadi masih begitu, bersikap sambil lewa bahkan membalas tenungan mataku saat suaraku meninggi! Kesabaranku mengecil dan pen di tangannya aku rampas seterusnya aku hempaskan ke lantai. Tindakan refleks yang aku kira paling baik.

Aku kembali ke hadapan dengan mulut yang masih membebel. " kamu buat macam yang bercakap ni bukan guru kamu.. kamu datang sekolah nak belajar ke tak nak..?!! " Itu antara ayat2 yang keluar dari mulutku tika itu. Sebenarnya pelajar tadi sudah mula menduga kesabaranku sejak sekian lama. Bayangkan seorang pelajar agama datang ke sekolah dengan baju selekeh, rambut tidak disikat, pensil dan alat tulis tidak di bawa bahkan buku pun tidak pernah ada dalam beg. Apabila ditegur dia tidak memberi respon bahkan membalas dengan renungan tajam dan mencabar. Aku tidak pernah berkira bahkan memujuk hati sendiri apabila kata2ku langsung tidak diendahkan dan dia terus tidur sehingga tamat waktu persekolahan. Perkara itu berlaku berulang kali dan aku seolah dipijak kepala akibat kerap bersabar.

Pun begitu aku masih waras. Pen yang aku campak tadi aku ambil semula dan letakkan di atas meja pelajar tersebut. " tak pelah..tak nak buat juga tak pelah..ustaz malas dah nak cakap apa2..suka hati kamulah ". Nadaku mengendur. Tika aku kembali duduk di meja guru, aku mendengar pelajar tadi mengomel sambil menangis. Mulanya perlahan, kemudian bertukar keras dan kuat.

Tanpa disangka dia menendang meja dihadapannya. Berterabur segala buku termasuklah Al-Quran. Kerusinya turut dicampak. Aku agak terkejut namun bersikap tenang. " baguslah tu..macam tu sikap kamu depan guru..? " Aku cuma melihat dari depan. Dia betul2 agresif. Tidak cukup dengan kata2 kasar yang dilontar kepadaku, dia bertindak menendang tong sampah di belakang kelas berkali2 sehingga bertaburan sekalian isi tong sampah tersebut.

Pelajar lain menambah keributan suasana namun aku masih tenang. Sangat tenang. Apabila melihat aku tidak melawan, bahkan cuma duduk di meja guru, dia semakin naik kepala. Setelah puas mengamuk dan menendang benda di hadapannya, dia mengambil beg dan keluar. Satu isyarat lucah di tayang di hadapanku juga di hadapan pelajar2 yang lain.

Aku tahu yang aku sedikit menggigil ketika itu. Menggigil kerana menahan sejenis desakan yang tidak baik. Perasaan yang menjadikan pelajar 12 tahun di hadapanku tadi sangat kecil dan makin mengecil. Namun aku bersyukur. Aku tidak menurut suara tersebut. Tika keadaan beransur reda, aku memaklumkan kejadikan kepada penolong kanan dan guru disiplin. Kebetulan pula pelajar tadi kembali ke sekolah bersama bapanya.

Aku dimaklumkan bahawa pelajar tadi memang seringkali mencetus masalah disiplin bahkan bapanya pula memberi 'akses' kepadaku untuk memukul atau mengenakan apa2 tindakan ke atas anaknya, namun aku hanya membalas dengan senyuman. 'Tidak mengapalah pak cik, saya bersyukur kerana saya tidak mengangkat tangan saya tadi dan insyaAllah saya tidak akan mengangkat tangan saya ke atas pelajar2 untuk kesekian kalinya.'

Di bilik guru , rakan2 sekerja kehairanan memandangku. " ustaz tengok saja? ". Mereka mengatakan bahawa pelajar tadi sangat melampau dan tindakanku yang hanya bersabar saat pelajar tersebut mengamuk adalah suatu perkara yang 'pelik'. Dari mereka aku mendapat tahu bahawa pelajar tadi pernah ditampar tika mengamuk oleh seorang ustaz. Dalam senyuman aku berseloroh " mungkin dia tengok ana tak melawan jadi dia seronok mengamuk.."

Walaupun selepas itu pelajar tersebut diheret ke bilik kaunseling dan kemudiannya datang meminta maaf, namun aku sebenarnya tidak ambil kisah. Insiden yang berlaku di hadapan aku sendiri seolah memberi jawapan kepada pelbagai kes saman oleh ibu bapa, guru diseret ke mahkamah, diberhentikan dan sebagainya. Hakikatnya masyarakat tetap memandang guru adalah pesalah dan pelajar 'always right'.

Di mana pula mereka2 yang ingin memberi sedikit ruang keadilan kepada hati seorang pendidik. Demikian banyak kebaikan dan ilmu yang dicurahkan, demikian besar kesabaran yang dipertaruhkan, namun akhirnya hanya nista dan kejian yang diterima. Ayuhlah sama berfikir, generasi perlu dididik dan dibentuk, namun dalam masa yang sama mengapa kita perlu 'bersorak' untuk menghukum para pendidik? Fikirkan.

Sekian.

2 comments:

asaltanah March 30, 2010 at 6:04 AM  

Salam ust..
Mencabar nak berdepan dgn budak-budak zaman skrg..Tak pasti dkt mana bezanya budak zaman dulu dan skrg, mungkin persekitaran dh berbeza agaknya.

Anyway, ana cuma nak menambah sedikit insight. Alhamdulillah tindakan ustaz menekan butang 'pause' ketika anak tersebut mengamuk adalah tindakan yang bijak.
Mungkin lps ni ust boleh cuba dekati anak tersebut dan selami hatinya. Mungkin ada sebab kenapa dia bertindak demikian. Kadang-kadang masalah famili etc boleh menyebabkan anak2 bertindak agresif utk mencari perhatian.

Mendidik dari hati=)

Selami hati anak-anak kecil itu, kadanag2 banyak pula yg kita boleh belajar dari mereka

Wallahu a'lam

khadijah April 2, 2010 at 4:27 PM  

erm, itulah..diluah mati mak, di telan mati bapak.. merotan untuk mendidik takde masalah bagi kanak-kanak. tapi bila dah meningkat dewasa, "brsahabat" itu lebih aula.. walau apepun, jadilah murabbi bukan sekadar mudarris.. laulal murabbi ma ariftu rabbi

Archive Blog