Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

10 March 2010

" Halimah Jongang The Series " - Wajarkah Mengutuk Ciptaan Tuhan?




oleh : hafizquran


Firman Allah ta'ala :

" sesungguhnya telah Kami jadikan insaan ( manusia ) dengan sebaik2 kejadian.." at-tin : 4


Manusia diciptakan oleh Allah dengan keistimewaannya yang tersendiri, sehingga menjadikan manusia itu semulia2 makhluk di kalangan makhluk2 yang lain. Nabi Muhammad selaku kekasih Allah sendiri pun dijadikan dari kalangan manusia, bukan Jin atau Malaikat. Kemuliaan dan kesempurnaan manusia ini telah lama mengundang kedengkian dan hasad dari Iblis dan Syaitan yang menganggap mereka lebih mulia dan agung.

Meskipun kemuliaan dan kesempurnaan manusia itu bukanlah satu nilaian zahiriah semata2, namun sebagai bukti dan tanda betapa bersyukurnya kita atas kurniaan Allah itu, maka wajib kita mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kita kepada Maha Pencipta , siang dan malam. Kesyukuran yang bukan sahaja wajar dilafazkan di mulut, bahkan dibuktikan dengan penyerahan jiwa dan raga demi melaksanakan ketaatan kepada-Nya yang tidak berbelah bagi.

Hal ini sudah semestinya bertentangan dengan sebarang sifat mengutuk, mencerca mahupun mengeji ciptaan Allah. Seekor monyet meskipun diciptakan dengan rupa yang agak hodoh di mata kasar, namun haiwan tersebut tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, sehingga menjadikannya unik di mata manusia. Alangkah haiwan pun tidak bisa kita kutuk dan hina, inikan pula manusia dari keturunan yang sama.


HALIMAH JONGANG THE SERIES

Episod ini bukan baru, bahkan telah lama. Cerita tentang " halimah jongang " ini sudah terbit dalam bentuk filem sebelum ini . Cuma sekarang ' diperkasakan ' lagi sehingga dibuat episod2 dalam Astro. Jalan ceritanya bukan sahaj menjadi buah mulut dan usikan manusia nakal, bahkan lagu " halimah jongang " juga sudah menjadi nyanyian ' ratib ' di mulut anak2 kita. Murid saya sendiri bukan sekali dua menyanyikan lagu tersebut di hadapan saya. Ada ketikanya, mereka saling mengusik di antara mereka yang kebetulannya " jongang ".

Terbaru, muncul pula cerita " fatimah juling " di kaca TV. Mungkin tempias dari sambutan 'luar biasa' penonton kepada cerita " halimah jongang ". Tidak mustahil selepas ini timbul pula cerita " Aminah Sengau ", "gayah bantut " dan sebagainya.


MENGUTUK CIPTAAN ALLAH

Saya rasa tidak keterlaluan kiranya mereka2 yang membikin cerita seumpama ini dilabel sebagai ' mengutuk ' ciptaan Allah. Ya, mereka itu mungkin dilahirkan sebagai tidak sesempurna mereka2 yang lain, tetapi bukan untuk dikutuk.

Ketidaksempurnaan seperti pendek, jongang, sengau dan sebagainya merupakan satu ujian kepada empunya diri juga kepada yang melihat. Allah mahu melihat samada empunya diri boleh bersabar dengan ujian tersebut, ataupun tidak. Manakala yang melihat pula, adakah terbit rasa bersyukur lantaran diri kita tidak seperti mereka, gigi kita cantik , susuk kita sasa, gaya kita menawan- adakah kita menyedari kesemua nikmat itu datang dari Allah dan boleh ditarik pada bila2 masa sahaja?

Bagaimana kita mahu bersyukur , sedangkan ketidaksempurnaan orang lain menjadi bahan ejekan dan kejian kita? Bahkan kita " mempromosi " pula di dalam bentuk filem ?


TALIAN DOSA

Orang yang membikin idea sehingga terhasilnya cerita2 seperti ini ibarat memulakan satu talian dosa. Apa jua alasan - samada untuk kesedaran mahupun menceritakan realiti - hakikatnya matlamat tetap tidak menghalalkan cara. Apa maknanya " menceritakan realiti " kalau bentuk cerita pun diolah dengan begitu menarik, siap disertakan lagu dan sebagainya? Isu ' kutukan ' lebih jelas berbanding isu kesedaran yang kononnya cuba dibawa. Berapa ramai penonton yang insaf berbanding mereka yang mendapat idea pula untuk menghina mengeji sesama kawan dan saudara?

Bagaimana pula dengan anak2 kita yang belum matang, adakah mereka mendapat moral of the story dengan tepat? Jangan hanya berlepas tangan dengan menulis  di akhir cerita : 'Kisah ini adalah iktibar dan pengajaran'. Hakikatnya berpunca dari mereka, timbulnya pelbagai penghinaan sesama manusia, kutukan dan kejian, menjaharkan keaiban sesama saudara dan pelbagai dosa lain, yang menjadi rantai dosa sampai kepada pembikin atau pemula cerita tersebut.


FILEM KITA KETANDUSAN IDEA

Semakin lama kita semakin sedar akan perkara tersebut, bahawa filem2 dan cerita yang dihasilkan oleh 'orang kita' sangat rendah taraf dan moral. Keadaan ini menjadi lebih hodoh apabila melihat kepada jalan penceritaan dan 'maksud yang tidak kesampaian'. Hendak menyuruh orang jangan menagih dadah, tetapi seolah mengiklankan cara menagih dadah. Akhirnya yang tidak tahu menjadi tahu. Hendak melarang muda mudi merempit, tetapi seolah mempromosikan ' gaya rempit terbaru '  atau ' gaya hidup mat rempit sebenar ' , akhirnya yang tidak tahu merempit semakin galak hendak merempit- sehingga mat rempit menjadi trend masakini yang membanggakan mereka. Lihatlah sendiri, berapa ramai muda mudi kita yang bangga digelar " mat rempit " dan   " minah rempit " ?

Berhentilah dari membikin filem2 yang mencemar budaya dan akhlak seperti ini. Lunas2 agama tidak pernah mengajar kita menggalakkan budaya menghina dan mengeji sesama manusia, apatah lagi melibatkan ciptaan Tuhan. Jangan bikin mindset yang salah kepada masyarakat dan generasi, bahawa kecantikan adalah satu2nya asbab untuk kita menjadi mulia. Masyarakat akan rosak binasa dan punah jahanam seandainya semua orang terutama para wanita berlumba2 mengejar kecantikan demi mencapai kemuliaan dalam masyarakat.

Dalam isu ini, akhirnya yang jongang di alam realiti tetap dikutuk dan dikeji, tetapi yang jongang di dalam TV dapat hidup aman tenteram kerana cuma melakonkan tanpa sedikit pun menjiwai perasaan mereka2 yang berada di dunia sebenar.


Sekian.

0 comments:

Archive Blog