Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

11 December 2009

Pembiakan anak dara tua di Malaysia

Berita :

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju kadar mas kahwin dinaikkan kerana ialah boleh mengundang kepada ramai gadis menjadi anak dara tua. "Kita tidak bercadang menaikkan kadar mas kahwin di Kelantan dan mahu mengekalkan peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Kota Bharu hari ini ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin di negeri itu daripada RM80 kepada RM300 berkuatkuasa 1 Jan tahun depan. 

Nik Abdul Aziz berkata beliau sudah lama mengamalkan langkah tidak mengambil berat mengenai mas kahwin termasuk yang membabitkan perkahwinan anak-anaknya sendiri. "Saya pun mengenakan tidak lebih RM1,000 bagi mas kahwin (yang termasuk hantaran) setiap anak saya sejak dulu," katanya. Menurutnya langkah mengenakan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi lebih bersifat riak dan menunjuk-nunjuk. Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan tidak menetapkan jumlah tertentu berhubung kadar mas kahwin bagi pasangan yang ingin berumah tangga di negeri itu. BERNAMA 


Ulasan :

Pandangan seorang ulama'  seperti ini seringkali berbeza dengan pengamalan sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Namun , terkandung di dalamnya hikmah kebijaksanaan yang tinggi. Satu contoh pemimpin berjiwa rakyat , mampu menyelami masalah ummah dan menunjuk arah penyelesaian yang terbaik.

Benar. Kebimbangan beliau berasas. Cuma kelihatan isu ini jarang dibincang secara terbuka atau dibawa ke tengah. Apatah lagi apabila jarang2 wujud di kalangan masyarakat yang mahu mempraktikkan hakikat Islam sebenar yang bersifat wasatiah, atau bersederhana.

Perkara tokok tambah yang melampau dan pengagungan terhadap adat turun temurun sebenarnya telah lama mengundang masalah kepada umat Islam di Malaysia. Masalah kepada semua orang , bermula dari pengantin sehinggalah kepada keluarga pengantin.

Mas kahwin hanya RM80. Tapi hantaran sehingga RM 7000. Pada Islam, yang perlu hanya mas kahwin. Tapi pada masyarakat yang terlebih penting adalah hantaran. Persalinan, pelamin, beg, kasut, jam dan pelbagai lagi perkara tokok tambah, ditambah lagi dengan belanja kenduri kahwin yang sangat besar, lalu melambunglah harga dan belanja sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Terlalu jauh masyarakat kita tersasar. Sehingga kini tidak kelihatan usaha bersungguh2 untuk mengubah perkara tersebut. Ada seorang ustaz yang sangat hebat berbicara tentang perkahwinan dan menentang pelbagai perkara yang bertentangan dengan Islam dalam bab perkahwinan, tapi akhirnya bersanding juga pada majlis perkahwinannya sendiri. Saya tidak menyalahkan ustaz tesebut, tetapi amat wajar kita jadikan iktibar.

Mungkin perkara2 itu bukan kehendak beliau, yang punya ilmu dan pegangan agama, tetapi kalah juga akibat pujukan atau desakan keluarga. Biar mati anak, jangan mati adat. Inilah kelemahan umat melayu Islam di Malaysia.

Itu belum lagi masuk bab pembaziran. Saudara pembaca cubalah pergi sendiri ke kebanyakan majlis perkahwinan di Malaysia, dan cuba senaraikan berapa banyak pembaziran yang anda lihat, serta berapa banyak pula perkara asas yang diajarkan oleh Islam berbanding yang ditokok tambah sehingga membeban dan menyusahkan?

Tidak hairanlah kalau situasi ini berterusan , maka orang kita sebenarnya sedang memproses 'pembiakan anak dara tua'. Bukan kerana tiada yang sudi. Tapi kerana tidak berkemampuan memenuhi permintaan keluarga yang sangat tinggi dan membebankan.


Kesimpulan :

Alangkah indah sebuah perkahwinan, andainya benar2 disemaikan nilai taqwa yang tinggi terutama dalam urusan perkahwinan. Hari pertama perkahwinan, sepatutnya adalah langkah pertama anda ke dunia yang baru. Tidakkah anda mahu melangkah dengan penuh keberkatan? Adakah tercapai keberkatan itu andai majlis pertama anda dipenuhi dengan segala macam maksiat , riak, ujub , bangga diri, bermegah2, terdapat unsur2 kelalaian, serta jauh pula dari kehendak Islam yang sebenar?

Susah untuk mengubah mindset masyarakat. Sukar untuk mengubah pegangan masyarakat terhadap adat turun temurun. Tetapi kita perlu terus berusaha dan berdoa. Tidak mustahil, satu masa nanti, generasi kita akan dapat mengamalkan perkahwinan secara bersederhana dan selari dengan ajaran Islam yang sebenar. InsyaAllah.

Sekian.

0 comments:

Archive Blog