Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

30 December 2009

Nostalgia [ 1 ]

Aku ditakdirkan memasuki sekolah tahfiz seawal usia 13 tahun. Seingat aku, di kalangan kawan sekolah rendah, hanya aku seorang yang memilih untuk ke sekolah tahfiz. Rata2 yang lain masuk ke sekolah berasrama penuh ataupun ke sekolah menengah biasa. Mulanya aku memohon kemasukan ke MTAQ Pulai Chondong- kerna itu juga harapan ibu dan ayahku- namun setelah gagal, aku dimasukkan ke MTDQ Pasir Mas.

Aku juga ditakdirkan melalui zaman remaja atau alam sekolah menengah dalam situasi yang berbeza dengan rakan2ku yang lain. Di sekolah tahfiz, aku dididik dengan pelbagai disiplin yang ketat. Aku tidak punya masalah besar terhadap peraturan ketat seperti larangan keluar bandar, bermain bola sepak, mendengar radio atau menonton televisyen. Semuanya kerana dari kecil aku didisiplinkan sedemikian di rumah. Kami adik beradik menganggap rumah sebagai penjara, kami terkongkong dan kami membesar dengan cara demikian. Justeru, peraturan begitu di madrasah tidaklah berat untuk aku patuhi. Selebihnya, peraturan dengan rutin harian yang ketat, daripada bangun subuh, solat jemaah,  masuk kelas dan sebagainya.

Di MTDQ tersebut ( selepas ini disebut sebagai madrasah ) , aku didedahkan dengan disiplin pemakaian yang agak ketat. Tidak boleh berseluar melainkan jika memakai jubah. Kalau berbaju melayu, perlu memakai kain pelikat. Begitu juga dengan serban. Serban adalah wajib di madrasah. Sekiranya didapati tidak berserban ketika solat jemaah atau sewaktu sesi pembelajaran, maka pelajar tersebut akan dirotan. Apatah lagi kalau kesalahan tersebut didapati oleh mudir, sudah pasti jumlah rotan lebih berganda dan lebih kuat.

SERBAN

Mula2 berserban aku kelihatan sangat aneh dan melucukan. Masih aku ingat bagaimana aku meminta pertolongan kawan2 untuk melilit serban. Minggu2 awal sangat menyukarkan, apatah lagi apabila aku terpaksa melilit sendiri serban tersebut. Bila berjalan ke masjid waktu malam, dan melihat bayang2 sendiri di atas jalan, aku merasa lucu sendirian. Sungguh aneh melihat bayang2 kepalaku yang bersaiz besar daripada biasa.

Lama kelamaan, aku sudah biasa melilit serban. Apa lagi bila sudah bertahun2 lamanya. Bila bergelar pelajar senior, gaya berserban juga mula berubah. Tidak lagi dengan lilitan yang kemas, tetapi lebih kepada 'serabut tapi cantik'. Orang panggil gaya serban sebegitu sebagai 'style pondok'. Aku sangat suka dengan gaya serban pondok. Aku suka melihat pelajar pondok lubuk tapah berserban. Imej itu seolah melambangkan keilmuan yang tinggi dan hebat.

Aku mula membiasakan diri dengan gaya serban tersebut. Kadang2 lilitan yang aku buat cantik dan sayang untuk dibuka, kadang2 lilitannya tak menjadi. Namun kesan semua itu bukan hanya setakat luaran. Aku suka gaya serban sebegitu lebih dari gaya serban hafiz. Serban hafiz biasanya dililit kemas, kadang2 tiada ekor. Sangat berbeza dengan serban pndok yang nampak agak serabut.

Sebenarnya, di sebalik semua itu, aku punya cita2 dan keazaman yang besar. Aku mahu jadi seorang alim, dengan ilmu pondok sebagai dasar. Aku percaya dengan 'punca' dan 'asas' ilmu adalah di pondok. Meskipun aku tidak berpeluang belajar secara total di pondok2 seperti pondok lubuh tapah, sekurang2nya aku belajar kitab di madrasah adalah secara sistem pondok. Aku memahami Nahu, Soraf, Feqah, Tauhid dan sebagainya dengan cara demikian.

Bila teringat tentang serban, aku akan teringat kepada kata2 mama ( mak ) aku beberapa tahun lepas, sewaktu aku masih di madrasah. " mama nak sangat tengok anak mama ni jadi ulamak ". Seingat aku, waktu itu aku berserban dengan gaya pondok, dan mama bertanya tentang gaya serban yang aku pakai. Kata mama, cantik.

Janji aku dalam hati, aku mesti tunaikan harapan mama. Harapan mama adalah harapan aku. Aku faham maksud harapan mama itu, bukan " ulamak " dengan Ijazah atau Phd yang mama maksudkan. Tetapi penerus kepada generasi ulamak seperti tok2 guru pondok yang semakin ramai meninggalkan kita. Harapan dan cita2 aku sama dengan mama, tetapi agak berbeza dengan ayahku. Biarlah.

Oh ya, untuk apa aku menulis tentang semua ni? Jawabnya, dah namanya nostalgia. Aku sengaja mahu bernostalgia dengan siri2 kenangan dan memori yang manis di ingatanku. Di sebalik nostalgia, aku harap boleh mengingatkan aku tentang janji2 dan harapan yang belum tertunai. InsyaAllah.

Sekian.

02:36 am
Kuala Lumpur.

0 comments:

Archive Blog