Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

25 December 2009

DARA : satu titik mula atau noktah penghujung?

Oleh : hafizquran

Entry kali ini mungkin agak sensitif, tapi saya mahu menulis jua. Sekurang2nya untuk santapan mereka2 yang sudi klik untuk masuk ke sini. Sekadar sebuah coretan yang lebih berkisar kepada realiti sebuah kehidupan. Lalu saya menulis tentang 'dara'. Rata2 orang tahu, apa itu dara. Ia membawa maksud suatu mahkota yang dimiliki oleh gadis yang masih suci, yang dipanggil anak dara. Sekadar definisi ringkas.

MINDSET

Sudah menjadi lumrah setiap manusia inginkan sesuatu yang suci dan bersih. Kalau diberi pilihan antara gula2 yang sudah dibuka pembalutnya dengan gula2 yang masih berbalut, sudah pasti yang kedua akan jadi pilihan. Itu fitrah manusia, yang suci dan inginkan kesucian.

Demikian juga dengan isu dara. Perkara ini telah menjadi 'isu senyap' disebabkan meningkatnya fenomena 'hilang dara' di kalangan gadis2 di Malaysia. Buktinya anda boleh rujuk sendiri kepada fakta2 dan kes2 yang sedemikian banyak dilaporkan, bermula dari isu sumbang mahram, wabak zina, rogol, skandal dan pelacuran. Kesemua itu membawa kepada tajuk 'hilang dara' atau 'tiada dara' yang melanda generasi mudi negara kita.

ZAMAN DAH BERUBAH

Bak kata iklan tv, zaman dah berubah, dunia dah maju. Begitu juga agaknya dengan isu dara ini. Kalau dahulu, dara adalah sesuatu yang amat berharga dan dititikberatkan bagi mereka yang ingin berkahwin. Bahkan saya pernah terbaca tentang satu amalan buruk masyarakat tidak bertamadun , yang melakukan upacara 'tebuk dara' bagi gadis sunti yang ingin berkahwin. Upacara itu pula disaksikan oleh sekalian masyarakat , sehingga mengalirnya darah bukan melalui persetubuhan yang dibenarkan syarak antara suami dan isteri, tetapi melalui tusukan yang lebih bersifat penganiayaan ke atas gadis2 sunti.

Itu masyakarat tidak bertamadun, terlalu menitikberatkan isu dara sehingga melampau batas2 kemanusiaan. Adakah boleh kita katakan masyarakat kita pula terlebih tamadun? kerana tidak lagi menitikberatkan isu dara tersebut. Bahkan para teruna yang ingin berkahwin akan berfikir sejuta kali, adakah perempuan yang bakal dikahwini itu masih dara ataupun tidak. Kes2 kehilangan dara di kebanyakan Universiti bukan lagi kes yang asing di pendengaran kita. Lihat sahaja tentang kes pelacuran melibatkan mahasiswi di ipta/s tempatan yang sanggup menggadaikan diri untuk hidup senang dan menampung kos pengajian. Bagi mereka, dara bukan lagi keutamaan yang perlu dijaga.

FLASHBACK

Saya ke belakang sedikit dari perbincangan di atas. Apa punca terjadi fenomena 'hilang dara' tersebut? Sebenarnya mereka2 yang terlibat dalam permasalahan ini terutamanya para gadis sunti, kebanyakan dari mereka telah menempuh satu pengalaman pahit dalam hidup masing2. Bila kita rujuk kembali kepada beberapa kajian yang dibuat terhadap golongan bermasalah ini, kita akan dapati mereka menjadi 'mangsa keadaan'. Saya tidak katakan kesemua, tetapi boleh dikatakan kebanyakannya begitu.

Ada di kalangan mereka menjadi mangsa sumbang mahram ketika kecil. Ada yang menjadi mangsa cabul ayah sendiri. Ada yang menjadi mangsa rogol. Ada yang diperdaya dan diperkosa. Paling banyak adalah yang terjebak dalam cinta nafsu yang menghanyutkan mereka ke lembah yang hina dina.

PUNCA

Di sinilah timbulnya sejenis 'dendam' yang semakin membuatkan mereka hanyut. Mereka merasakan hidup mereka musnah. Masa depan mereka hancur. Dunia gelap gelita. Mereka merasakan diri mereka kotor setiap masa dan bermacam2 lagi perasaan dan tekanan perasaan yang menimpa diri mereka. Semuanya berpunca daripada kekecewaan yang tinggi apabila mahkota yang dimiliki tegadai sebelum tiba masanya.

Apa yang menyedihkan adalah apabila sebahagian mereka terus terjun ke kancah penzinaan selepas mahkota mereka diragut tanpa rela. Akibat merasakan 'sudah tiada apa yang ingin dijaga' , maka mereka menggadaikan tubuh badan mereka sebagai santapan lelaki2 berhidung belang. Tidak dinafikan kajian seksologi mengatakan bahawa, mereka yang pernah menjadi mangsa rogol atau cabul, yang kemudian hilang dara, akan ditimpa sejenis 'ketagihan' terhadap aktiviti seks , dan inilah yang akan semakin membuatkan mereka hanyut kecuali sekiranya mereka berkahwin.

Pun begitu, kita tidak ingin melihat mereka yang sudah terjebak terus hanyut, tanpa diberikan kekuatan dan semangat untuk mereka kembali menghargai diri mereka. Saya tidak mencadangkan golongan yang bersifat 'dewa suci' untuk membaca artikel saya kali ini.

FAKTA

Bagi mereka yang mengambil kos perubatan, pasti akan mengetahui fakta tentang selaput dara. Secara normalnya, gadis sunti mempunyai selaput dara. BAGAIMANAPUN, ada juga sebilangan dari mereka yang sejak lahir tiada selaput dara. JUSTERU, isu samada masih ada selaput dara atau tidak, atau dengan bahasa kasarnya 'ada darah malam pertama' atau tidak, sebenarnya bukanlah isu utama dalam sesebuah perkahwinan.

Sedarkah kita betapa banyak perkahwinan yang telah rosak akibat pemahaman yang salah tentang isu tersebut? Sehinggakan si suami bersumpah untuk menceraikan si isteri kiranya tiada darah di cadar pada malam pertama. Hinggakan pernah terjadi kes amukan di sebuah perkampungan pada malam pertama perkahwinan, sehingga berlaku pembunuhan dan sebagainya. Semuanya angkara kejahilan manusia yang ketaksuban terhadap perkara yang tidak sepatutnya.

Samada si isteri dara atau tidak, persoalan tersebut jangan cuba dijadikan isu utama sesebuah perkahwinan, kerana mafsadahnya lebih besar. Katakan takdirnya si isteri memang dilahirkan tanpa dara, kemudian pada malam pertamanya si suami tidak berpuas hati kerana kejahilan si suami tentang hakikat dara, maka , kalau tidak terjadi pertengkaran sekalipun, si suami tetap akan menyimpan sangsi dan syak wasangka yang tinggi terhadap isteri, yang akan memberikan akibat yang sangat buruk pada masa depan sesebuah perkahwinan.

Kalau hendak dihukum sedemikian , maka bagaimana pula si isteri mahu mengetahui tentang 'keterunaan' si suami? Bukankah itu sangat tidak adil? Justeru, fokuslah kepada perkara yang lebih besar dan lebih penting. Permulaan pembinaan rumahtangga adalah untuk mencari keredhaan Allah, sama2 berlaku jujur dan berlapang dada. Masih banyak rintangan yang perlu ditempuhi , yang memerlukan ikatan yang kuat antara suami dan isteri. Apa yang penting kedua2 mereka telah memulakan langkah yang baru , dengan dunia baru yang bernama dunia perkahwinan.

BUKAN NOKTAH PENGHUJUNG

Para gadis yang kehilangan dara sebelum tiba masanya, bukan lah golongan yang perlu ditohmah, dikeji, dihina dan dipandang sebelah mata. Sebaliknya mereka adalah golongan yang perlu didampingi. Perlu diteliti kembali latarbelakang permasalahan mereka. Bukan semua mereka yang dianggap 'tidak suci ' ini mahukan takdir sedemikan. Tiada siapa yang cuba menyelami perasaan dan tekanan yang mereka alami, sebaliknya sangat ramai yang menambah tekanan terhadap mereka. Tidak hairanlah mereka yang terjebak terus terjebak dan makin hanyut.

Mereka perlu disedarkan bahawa, tiada dara bukanlah satu noktah penghujung kepada kehidupan mereka. Masih ada harapan untuk mereka mengecap kebahagiaan, bahkan menerima lelaki yang soleh sebagai suami seterusnya memperoleh zuriat yang baik. Siapa kata itu mustahil bagi mereka?

Jangan salahtafsirkan ayat yang berbunyi :

"perempuan yang baik untuk lelaki yang baik"

Jangan sewenang2 mengatakan bahawa mereka yang 'tidak suci' ini hanya layak untuk lelaki yang juga tidak baik. Kaki perempuan, kaki zina dan sebagainya. Kalau inilah momokan kita kepada mereka, bagaimana mungkin mereka ingin berubah dan mendapat semangat untuk menjadi lebih baik?

Sewajarnya mereka disedarkan, bahawa maksud 'perempuan yang baik' adalah perempuan yang sentiasa mengislahkan dirinya, kiranya bersalah dia bertaubat dan memohon ampun bersungguh2. Mereka yang berada dalam kondisi ini sangat tidak mustahil untuk menerima suami yang soleh sebagai pembimbing mereka. Begitu juga lelaki. Kerana janji ALLAH : yang baik untuk yang baik.

KECUALI

Mereka tidak ingin berubah atau berusaha mengubah hidup mereka. Ingin terus tenggelam dalam budaya zina dan pergaulan bebas, maka dalam keadaan sedemikian, mana mungkin mereka diberi pasangan yang soleh/ solehah..? Itu juga maksud ayat ALLAH : yang jahat untuk yang jahat

KESIMPULAN

Bagi gadis yang selamat berkahwin dengan mempertahankan dara mereka, maka anggaplah itu suatu anugerah dari ALLAH ta'ala. Bagi gadis yang pernah menempuh 'pengalaman pahit' , jangan anggap diri anda hina dan terus menghina diri anda terus menerus. Itu merupakan tanda2 putus asa terhadap rahmat ALLAH, dan itu merupakan satu dosa. Usah menceritakan keaiban yang tejadi ke atas anda, kerana menceritakan keaiban sendiri yang telah ditutup oleh ALLAH adalah satu dosa.

Sabda Nabi s.a.w :
" Barangsiapa yang melakukan dosa di malam hari kemudiannya betaubat, dan Allah menutupi keaibannya itu, namun keesokan pginya dia membuka keaibannya itu kepada orang lain sedangkan Allah telah pun menutupinya, maka perbuatan itu merupakan satu dosa " ( Bukhari Muslim )

Masih mempunyai dara atau tidak, pernah melalui sejarah pahit atau tidak, itu bukan pokok persoalan utama dalam sesebuah perkahwinan. TETAPI yang lebih penting adalah 'siapa mereka' saat diijabkabulkan. Adakah mereka telah benar2 bertaubat. Kemudiannya berikrar melupakan segala sejarah silam, dan memulakan langkah yang baru dengan penuh keberkatan. Maka itulah sebenarnya yang lebih baik dan disukai oleh ALLAH ta'ala.

Yakinlah saudariku, kiranya anda benar2 bertaubat dan berubah, tiada apapun yang menhalang anda untuk mendapat pasangan yang baik dan soleh, meskipun anda sentiasa dibisikkan demikian. Kenali gangguan2 sedemikian sebagai bisikan2 dari syaitan, hapuskan dengan semangat taubat dan azam yang tinggi, serta pandanglah masa depan anda yang lebih cerah dan gemilang.

Ingat, jangan jadikan isu 'dara' sebagai titik noktah kepada kehidupan anda. Yang penting, anda telah berubah dan bertaubat. Bagi lelaki pula, sudikah anda menerima gadis2 sebegini sebagai isteri, demi membimbing mereka supaya tidak lagi hanyut? Tepuk dada, tanyalah Iman anda.

Sekian.

0 comments:

Archive Blog