Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

03 November 2009

Sabar dan Strategi : 2 elemen yang perlu dikembarkan

Bismillahirrahmanirrahim

  • " Dan bersabarlah maka sesungguhnya Allah tidak akan sesekali mensia2kan ganjaran mereka yang melakukan kebaikan "
  • " Maka bersabarlah kamu sebagaimana kesabaran para Ulul Azmi dari kalangan rasul2.. "
  • " Dan bersabarlah , dan kesabaran kamu tidak lain hanya kerana Allah.."
  • " Dan bersabarlah sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang2 yang sabar.."
Demikian sedutan beberapa potongan ayat Al-Quran yang berkaitan dengan sifat sabar. Umum mengetahui dan mengakui, bahawa sifat sabar adalah satu sifat yang mulia serta dituntut di dalam Islam. Tiada seorang pun yang dapat menafikan kebaikan dari sifat sabar melainkan hanya natijah kebaikan semata2.

Sebagai salah seorang yang mengaku Muslim, kita memang sewajibnya mengamalkan sifat sabar serta menerapkan sifat tersebut dalam diri kita. Idola kita sudah tentulah Nabi s.a.w. Namun di sana terdapat beberapa point tentang 'sabar' yang perlu kita fahami. Mengamalkan atau mempraktikan sesuatu secara membabi buta - apatah lagi berhujah ke atasnya - tanpa memahami dan mendalami perkara tersebut adalah satu bentuk kejahilan yang menyedihkan.

Saya tidak menafikan bahawa sifat sabar itu mulia dan dituntut. Cuma persoalannya adalah bagaimana cara kita bersabar? Adakah sifat sabar itu mendorong kita menjadi seorang yang pasif? Andainya begitu , maka adakah Islam mengajar umatnya supaya menjadi pasif dan lembab? Jawapannya tidak. Hanya mereka yang gagal memahami erti 'sabar' sahaja yang akan terbelenggu dengan kefahaman sedemikian.

Imam Syafi'e rahimahullah pernah berkata tentang seseorang berkaitan sifat marah. Katanya, jika seseorang itu diasak untuk marah , tetapi dia tidak marah , maka dia adalah seumpama seekor keldai. Cuba fahami. Kata2 ini terbit disebabkan fitrahnya manusia itu mempunyai sifat marah. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai sifat ini samalah seperti seekor keldai. Tidak tahu dan tidak pernah tahu untuk marah.

Seseorang itu tidak boleh dinafikan hak untuk marah atas alasan sabar. Dia berhak untuk marah , lantaran itu adalah fitrahnya. Cuma , yang perlu difahami adalah , bagaimana untuk membendung daripada menunaikan kemarahan tersebut. Merasa marah dan menunaikan kemarahan adalah dua perkara yang berbeza. Seseorang yang tidak merasa marah diumpamakan sebagai keldai , manakala mereka yang menunaikan kemarahan pula dicela oleh Islam. Sebagai contoh pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya. Semuanya adalah akibat dari menunaikan kemarahan - dan ia dicela oleh Islam.

Kembali kepada sifat sabar. Sifat sabar menegah seseorang itu daripada menunaikan kemarahan. Tetapi dalam masa yang sama , sifat sabar tidak sesekali menegah seseorang itu daripada merasa marah. Seseorang yang dibaling selipar ke mukanya sewaktu dalam perjalanan ke masjid sudah pasti akan merasa marah. Tetapi sifat sabar menentukan samada seseorang itu bertindakbalas atau memaafkan.

Di sini kita perlu fahami bahawa sifat sabar yang dianjurkan oleh Islam bukanlah untuk menjadikan umat Islam lemah dan ditindas. Bukan untuk melahirkan generasi Islam yang dungu dan lembab. Kerana itu umat Islam dianjurkan supaya berstrategi dalam sesuatu tindakan. Di sinilah letaknya kehebatan seseorang Muslim. Pada sifat sabarnya yang dikembarkan dengan kehebatan berstrategi. Contoh :

Sirah menceritakan bagaimana seorang Badwi yang kencing di dalam Masjid sewaktu Nabi dan para sahabat berada di dalam masjid tersebut. Saidina Umar pantas menghunus pedang, tetapi Nabi s.a.w menghalang sebaliknya bersikap lemah lembut terhadap Badwi tersebut sehinggakan Nabi sendiri mencuci kotoran najis yang dibuat oleh si Badwi. Di sini terserlah kesabaran dan strategi Nabi s.a.w - apabila tindakan lembut tersebut mampu meruntun jiwa si Badwi memeluk Islam. Nabi bukan memperlihatkan kesabarannya untuk dipijak kepala oleh musuh Islam seperti si Badwi tadi.

Manakala tindakan Saidina Umar pula bukanlah bermaksud beliau seorang yang tidak tahu bersabar. Sebaliknya mungkin - sekiranya si Badwi benar2 dipancung - adalah strategi membendung tindakan kurang ajar kuffar ke atas orang Islam terutamanya Nabi sa.w. Wallahua'lam.


Sabar Tanpa Strategi Tidak Relevan

Andaikata terjadi sesuatu perkara , apatah lagi melibatkan maruah dan diri kita, maka seringkali kita disuruh supaya bersabar. Tetapi seringkali juga sifat sabar itu menjadikan kita terus dianiaya dan dipijak kepala. Ya, bersabar itu tidak salah. Tetapi hanya bersabar tanpa sebarang strategi dan usaha adalah satu perkara yang sangat tidak relevan.

Kita boleh diasuh dan dididik untuk bersabar. Untuk membendung dan mengawal sifat marah. Tetapi kita sesekali tidak boleh dihalang dari berstrategi dan mengambil tindakan munasabah. Yakni tindakan yang tidak bercanggah dengan nas2 syara'.

Contoh :

Seseorang memaki saya di khalayak ramai hanya kerana saya tidak berkopiah, maka saya merasa marah. Tetapi saya tidak menunaikan kemarahan saya dengan membalas makian tersebut, sebaliknya saya mencabar untuk berdebat secara ilmiah. Sabar ada, Strategi juga ada. Justeru saya tidak dungu kerana bersabar, dan dia tidak sewenang2 dapat memijak kepala orang yang bersabar.

Seseorang memfitnah saya dengan tuduhan rasuah. Maka saya merasa marah. Tetapi saya tidak pergi untuk memukulnya. Sebaliknya saya memfailkan saman dan mencabar tuduhan tersebut untuk dibuktikan di Mahkamah. Maka kesabaran saya adalah berstrategi.

Seseorang memburuk2kan nama saya dan mengaitkan saya dengan pelbagai tuduhan. Maka saya merasa marah kerana dizalimi sedemikian. Tetapi saya tidak mengamuk atau melatah. Saya juga tidak agresif dengan membuat tuduhan2 ke atasnya pula. Sebaliknya saya bersabar dan berusaha memberi penjelasan apabila diminta. Tidak dilupakan munajat kepada Allah Yang Esa. Maka saya menjadi orang yang bijak dalam bersabar kerana disertai dengan strategi, usaha dan tindakan.

Demikianlah contoh bagaimana mempraktikkan sabar dengan disertai strategi. Fahamilah bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya menjadi pasif. Jauh sekali untuk ditindas lantaran mengamalkan sifat yang dituntut dalam Islam. Cuma yang menjadi permasalahan adalah umat Islam sendiri yang gagal memahami dan menghayati Islam, sehingga menjadi asbab menyusahkan diri sendiri - bahkan turut sama menyusahkan orang lain.

Wallahua'lam

by ; hafizquran

0 comments:

Archive Blog