Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

24 September 2009

Tahfiz Al-Quran [ siri 13 ]

Oleh : hafizquran

Bismillahirrahmanirrahim

Bulan Ramadhan telah berlalu. Kemeriahan Syawal masih hangat disambut. Segala tawaran yang dijanjikan di bulan Ramadhan telahpun tamat. Tiada talian hayat, tiada masa tambahan. Sesiapa yang berjaya merebut tawaran tersebut, maka ganjaran yang dijanjikan Allah bakal dimiliki. Sebaliknya sesiapa yang hanya membiarkan Ramadhan berlalu tanpa merebut apa2 tawaran, maka kerugian tersebut pasti tidak dapat diganti lagi.

Saya telahpun berada di sini seawal hari raya ke-4 lagi. Memulakan tugas dengan segenggam kekuatan baru. Satu tekad baru. Satu nafas baru. Samada segala yang berada di kalbu bakal terealisasi atau tidak, itu soal kedua. Namun memiliki semangat dan azam sebegini bagiku suatu kepuasan di hati.

Kali ini saya ingin mengajak para huffaz untuk mencipta satu kepuasan dan kebanggan untuk diri anda sendiri. Selama anda menghafaz Al-Quran, apakah bentuk kebanggaan yang telah anda cipta khusus untuk diri anda sendiri?

Saya berikan contoh :

Seorang hafiz Al-Quran baru2 ini telah berjaya mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran pada malam ke-27 Ramadhan dalam solat Tarawih. Itu suatu bentuk kebanggaan. Bukan untuk dibangga2kan kepada orang lain, tetapi hanya suatu kebanggaan dan kepuasan untuk diri sendiri. Salahkah merasa bangga? Tidak salah. Jauh sekali berdosa. Bangga itu ada kaitannya dengan motivasi diri sendiri. Asal sahaja tidak lupa diri atau melupakan konsep "Allah yang megizinkan aku untuk mengingati Al-Quran". Bukan riak, bukan 'ujub.

Saya melihat para huffaz hari ini tidak ghairah mencipta kebanggaan untuk diri mereka sendiri. Meskipun bergelar Al-hafiz, namun mereka lebih gemar berbangga dengan bidang2 lain selain co mereka sendiri. Sebahagian besar huffaz telahpun melenyapkan title al-hafiz dari diri mereka dan membuat 'pembedahan plastik' kepada satu diri yang lain. Segelintir huffaz pula lebih bangga mendabik dada menggelarkan diri mereka 'Al-hapus' , yang merujuk kepada kegagalan dan rendah diri akibat gagal mengingati Al-Quran.

Mengapa sampai begitu sekali wabak dan virus yang melanda diri para huffaz hari ini? Bagi saya, soal lahiriah jatuh nombor dua. Contohnya penampilan, imej, bidang kerja dan sebagainya. Di Pakistan, tukang sapu sampah pun bergelar al-hafiz. Adakah wajib tukang sapu tersebut berjubah dan berserban sepanjang masa? Tidak. Ini bukan soal luaran. Sedihnya itulah yang paling suka ditilik orang. Persepsi ini perlu diubah.

Bagi para huffaz, bagaimanapun imej dan pembawakan anda, soal anda sebagai seorang penghafaz Al-Quran yang menanggung 30 juzuk Al-Quran tetap paling utama. Di mana pun anda berada, di pentas mana pun anda beraksi, ingatan anda terhadap Al-Quran tetap perlu diutamakan. Percayalah kata2 saya, bahawa sejauh mana pun anda cuba 'lari' dari Al-Quran , akhirnya anda akan kembali berlutut kepadanya.

Ayuh para huffaz. Kita cipta kebanggaan buat diri kita sendiri. Jadikan Al-Quran sebagai suatu wadah yang paling menyeronokkan. Ia tidak sukar. Kerana janji Allah termaktub begitu. Apabila jiwa diancam serabut dan gelisah, alunan Al-Quran dari mulut anda mampu menerbitkan ketenangan yang tersendiri. Saya percaya anda telah merasai perkara tersebut.

Bagi saya, banyak kebanggaan yang saya cipta untuk diri saya sendiri sebagai seorang penghafaz Al-Quran. Saya tidak mengharapkan pujian dan saya memang tidak suka dipuji atau diampu. Cukuplah apa yang saya lakukan mendamaikan hati saya sendiri dan dalam masa yang sama mampu memberikan sesuatu yang baik kepada orang lain.

Masih kabur? Saya kongsikan sesuatu dengan anda. Ok, sekiranya anda berpeluang menjadi imam atau anda memang seorang imam, tidak kiralah di kampung atau di bandar- cuba persembahkan yang terbaik dalam bacaaan anda. Tidak semestinya anda perlu mahir bertarannum untuk melakukannya. Percayalah kata2 saya, bahawa setiap huffaz mempunyai lagu dan burdah mereka sendiri, dan setiap seorang tidak akan sama dengan yang lain. Ia tercipta hasil latihan anda sewaktu menghabiskan 3-4 tahun menghafaz Al-Quran.

Masalah yang berlaku adalah apabila anda 'malu2' atau 'ala kadar' sewaktu mempersembahkan bacaan anda. Perlu diingat bahawa bacaan yang baik sewaktu solat mampu menarik kekhusyukan para jamaah. Biarlah orang katakan bacaan anda begitu dan begini, asalkan anda sentiasa melakukan yang terbaik sewaktu menjadi imam atau mempersembahkan bacaan. Sekiranya ia dilakukan dengan penuh komitmen, bukankah ianya suatu kebanggaan buat diri anda sendiri?

Kemudian cuba amalkan ini. Sesuatu yang saya suka lakukan adalah membaca Al-Quran di tempat2 dan lokasi yang berbeza. Contohnya dalam kereta, sewaktu di dalam kapal terbang, dalam keretapi, dalam bas, di atas bukit dan sebagainya. Anda seringkali berpeluang melakukannya. Dalam perjalanan ke sesuatu destinasi, atau sewaktu anda menikmati ciptaan Allah di mana2 tempat peranginan.

Cuba baca mana2 ayat atau surah yang anda ingat. Anda tidak perlukan naskhah Al-Quran untuk melakukannya. Alunkan bacaan Al-Quran dari mulut anda sendiri dan biarkan alunan tersebut bergema di tempat2 yang anda kunjungi. Alunan Al-Quran dari mulut anda mungkin bergema di kawasan perbukitan, di sepanjang laluan perjalanan anda ketika bermusafir dan sebagainya. Ia tidak dapat didengar, dilihat jauh sekali untuk dirasai oleh orang lain. Ia cuma boleh dirasai oleh ANDA.

Justeru, anda sebenarnya mempunyai banyak cara untuk mencipta rekod, kebanggaan dan kepuasan untuk diri anda sendiri. Semua ini akhirnya akan mencetuskan satu motivasi untuk anda istiqamah dengan hafazan Al-Quran anda. Apabila anda berjaya melakukannya sekali, anda akan cuba untuk melakukannya untuk kali kedua dan begitulah seterusnya. InsyaAllah satu masa nanti, ia akan menjadi tabiat yang baik di dalam diri anda. Di situ, anda akan semakin yakin dengan diri anda sebagai seorang al-hafiz yang mengingati Al-Quran.

Sekadar motivasi bersama. Tidak mengapa kiranya tidak difahami oleh orang kebanyakan, tetapi alangkah sedih kiranya seorang penghafaz Al-Quran gagal memahami dan merasai perkara tersebut. Ayuh..cipta kebanggaan dengan apa yang kita ada!

Wallahua'lam.

2 comments:

Anonymous September 24, 2009 at 10:03 PM  

Tahniah,teruskan....

Anonymous October 29, 2009 at 4:51 PM  

salam.. satu motivasi untuk kani. tidak salah berkongsi. bagi saya ia mampu memberikan dorongan bagi sesiapa sahaja yangg berminat dengan bidang al-quran

Archive Blog