Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

22 July 2009

ST 10 : Beberapa Pakej Tahfiz Masakini


بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh : hafizquran

Institusi Tahfiz dilihat kian rancak menampakkan perkembangan yang memberangsangkan, samada dari sudut pembangunan material atau pengeluaran produk2 tahfiz setiap tahun . Sudah pasti era tahfiz sekarang tidak lagi sama dengan era tahfiz zaman 90-an. Sedikit sebanyak ia mengalami perubahan.

Apabila pembangunan kian rancak, sudah pasti saingan juga sengit. Terutamanya sekolah2 tahfiz yang berlabel swasta, bukan di bawah kerajaan. Antara prinsip swasta adalah Ikut Suka Mudir. Ada yuran, ada guru , ada pelajar maka sekolah boleh beroperasi. Secara kasarnya begitulah.

Kali ini saya menyentuh secara ringkas mengenai 3 pakej tahfiz Al-Quran yang banyak dipraktikkan di masa kini. Dalam ketiga2 pakej, ada pakej yang benar2 bermutu, ada pakej yang dilihat banyak kelemahan dan menambah kemudharatan. Apatah lagi jika ia dieksploitasi hanya untuk kepentingan pihak tertentu.


Pertama :

Pakej Tahfiz sepenuh masa. Sistem pengajian yang digunakan adalah melalui tahap pra tahfiz, iqra' seterusnya menghafaz Al-Quran. Jadual harian dipadatkan 90 % kepada tahfiz Al-Quran sahaja.


Contoh jadual :

Sebelum dan selepas subuh : Tahfiz Al-Quran

7.30 pagi - 10.30 pagi : Tahfiz Al-Quran

10.30 pagi - 12.00 tengahari : Kelas Madah ( fardhu 'ain )

2.30 petang - 4.30 petang : Tahfiz Al-Quran

7.30 malam - 9.00 malam : Tahfiz Al-Quran

Selepas Isyak : Tahfiz Al-Quran

Pakej ini berupaya melahirkan huffaz dalam jangkamasa 2 atau 3 tahun . Elemen2 lain seperti disiplin, ketekunan, konsisten dan sebagainya perlu dititikberatkan. Target yang boleh dicapai adalah seminima 10 juzuk setahun.



Kedua :

Pakej Tahfiz + Akademik. Para pelajar didedahkan untuk memberi fokus kepada dua benda dalam satu masa. Pertama tentang hafazan merangkumi tasmi' dan i'adah , keduanya tentang matapelajaran akademik merangkumi subjek2 teras seperti bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain2.


Contoh Jadual :

Sebelum dan selepas subuh : Tahfiz Al-Quran

7.30 pagi - 9.30 pagi : Tahfiz Al-Quran

10.00 - 12.30 tengahari : Kelas Akademik

2.30 petang - 4.30 petang : Kelas Akademik

Selepas Maghrib : Tahfiz Al-Quran

Selepas Isyak : Kelas tambahan / Akademik

Pakej ini berupaya melahirkan huffaz dalam tempoh masa yang lebih lama , contohnya 5 tahun. Tidak termasuk di sini adalah kiranya pelajar 'dipaksa ikut sistem'. Itu tidak dinafikan boleh melahirkan huffaz, tetapi huffaz yang hanya khatam hafaz tapi tidak ingat hafazan. Faktor tumpu dua benda menyebabkan tidak ramai yang mampu mengikuti sistem ini dengan baik. Dalam 10 orang, mungkin hanya seorang atau dua yang benar2 berjaya. Target yang boleh dicapai adalah seminima 5 juzuk setahun.



Ketiga :

Pakej Tahfiz + Pondok. Mungkin pakej ini agak janggal di pendengaran sebahagian daripada kita. Tidak banyak sekolah tahfiz yang menggunakan pakej ini. Para pelajar diberi penekanan kepada pengajian kitab2 turath disamping menghafaz Al-Quran. Penekanan adalah lebih kepada ilmu2 Nahu, Soraf, Tasawwuf, Fiqh, Tauhid, Tafsir dan sebagainya.


Contoh jadual :

Selepas subuh : Pengajian Kitab ( Pondok )

7.00 pagi - 9.00 pagi : Pengajian Kitab ( Pondok )

9.30 pagi - 12.30 tengahari : Pengajian Kitab ( Pondok )

2.30 petang - 4.30 petang : Kelas Tahfiz Al-Quran

Selepas Maghrib : Kelas Tahfiz Al-Quran

Selepas Isyak : Pengajian Kitab ( Pondok )

Pakej ini berupaya melahirkan huffaz dalam jangkamasa 7-8 tahun. Melalui pakej ini, pelajar mungkin dapat menguasai ilmu2 kitab turath tetapi dalam masa yang sama kurang mampu mengingati hafazan Al-Quran dengan baik. Faktor tumpu dua benda dalam satu masa turut menjadi faktor utama. Setakat ini ia dilihat masih di peringkat eksperimen. Target yang boleh dicapai adalah seminima 3 juzuk setahun.




Kesimpulan :


Penubuhan madrasah2 dan sekolah2 tahfiz pada awalnya adalah bermatlamat untuk melahirkan para huffaz yang mampu menjaga dan menanggung kalam Allah bernama Al-Quran. Ramai huffaz suatu masa dahulu yang lahir dengan potensi yang sungguh menakjubkan. Hafazan Al-Quran mereka lancar dan fasih, kehebatan mereka dalam bidang2 akademik dan ilmu syariat juga membanggakan. Apabila ditanya, terbukti kebanyakan mereka menerima pembelajaran Al-Quran secara total tanpa dilibatkan unsur2 akademik ataupun ilmu syariat yang berlebihan. Tumpuan kepada Al-Quran dapat diberikan secara 'bersih' , dengan hanya ditemani oleh ilmu2 asas yang bersifat fardhu ain. Setelah tamat menghafaz dan mampu mengingati dengan baik, barulah subjek2 yang lainnya disentuh dan didalami. Waktu itu Al-Quran yang dihafaz bagaikan 'sportlight' , menyuluh dan menerangi perjalanan mereka ke hadapan.

Kini, ramai yang berkejar2 menghidupkan pelbagai pakej dan sistem untuk digabungkan dengan tahfiz Al-Quran. Di peringkat swasta, ramai mudir2 yang semakin galak membuat sistem beserta pakej bayaran yang dikenakan. Angkara duit, kepentingan tahfiz seolah dilacurkan secara terhormat. Asalkan pelajarnya ramai, sambutannya menggalakkan, duitnya masuk setiap bulan maka yang lain dikira 'beres'. Lebih menyedihkan bilamana ada sebahagian mudir yang tergamak menjadikan pelajar2nya sebagai bahan eksperimen terhadap pakej2 dan sistem2 baru yang dihasilkan mereka.

Pengalaman saya sendiri melihat bagaimana terdapat beberapa pelajar di sebuah madrasah tahfiz dibuat bagaikan bola. Ditendang ke sistem A , nampak kurang berjaya lalu dicipta pula sistem B. Pelajar tadi ditendang pula ke sistem B. Kemudian sistem C pula dicetuskan. Alangkah jijik tindakan ini, apatah lagi apabila ia berlaku di luar kerelaan pelajar tersebut. Semuanya paksaan atas nama ketaatan. Akhirnya pelajar tersebut gagal dalam cita2nya untuk menghafaz Al-Quran.

Bagi saya, biarlah pakej untuk tahfiz Al-Quran dikhususkan kepada tahfiz Al-Quran sahaja. Bukan senang untuk bergelar Al-Hafiz , apatah lagi yang mampu mengingati Al-Quran. Perlu menerima latihan yang ketat dan perlu memberikan fokus yang maksima. Usahlah diganggu dengan anasir2 yang lain. Tak kan lari gunung dikejar. Kini, banyak sekolah2 tahfiz dilihat seolah hilang kemudi. Hilang niat utama. Pola penghasilan pelajar2 yang tamat menghafaz Al-Quran semakin menurun bahkan menghilang. Apa lebihnya mengejar kuantiti, sedangkan kualiti diabaikan?

Saya tidak bermaksud menolak pakej kedua atau ketiga. Ketiga2 pakej adalah pakej yang baik. Namun hakikatnya pakej pertama tetap merupakan pakej yang terbaik. Pakej kedua dan ketiga mengandungi kelemahan dan kemudharatan sekiranya tidak dijalankan dengan konsisten , ataupun sekiranya 'eksperimen tidak berjaya'.

Mudah2an Allah menetapkan hati para pejuang yang berusaha dengan gigih dan ikhlas untuk melahirkan lebih ramai huffaz yang bersifat 'amilin. Mudah2an Allah menjaga hati2 para pejuang ini daripada ditarik oleh godaan pangkat dan harta mahupun kemasyhuran. Mudah2an para huffaz yang telah lahir dan bakal lahir adalah para huffaz yang benar2 berkualiti dari sudut hafalannya , bukan sekadar menghabiskan sistem atau marhalah semata2.


Wallahua'lam


NOTE : Upgraded On 6 Jun 2011

0 comments:

Archive Blog