Assalamualaikum!Saya dah pindah blog.

Anda akan dibawa ke blog baru saya dalam masa 6 saat,atau anda boleh terus ke
http://myilham.com/blog
jemput datang ye^^.

13 February 2009

GAZA : di mana kita?


Malam ini saya dijemput untuk memberikan satu ceramah berkenaan isu Palestin di salah satu fakulti di UKM. Awalnya saya cuba menolak pelawaan sahabat tersebut memandangkan saya merasakan bahawa saya bukanlah orang yang layak untuk mengupas tajuk berkenaan. Namun akhirnya saya bersetuju juga atas dasar ta’awun dalam perjuangan.

Kami solat maghrib bersama dan kemudiannya saya dibawa ke sebuah bilik kuliah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ( FSSK ). Ceramah ini katanya merupakan program berkala atau dinamakan ‘katibah’ , merupakan anjuran ISIUKM.

Disebabkan pada malam ini banyak program bertembung, maka saya tidaklah merasa hairan sebaik melangkah masuk dan melihat keadaan bilik masih kosong. Namun 15 minit kemudian barulah bilik mulai dipenuhi terutamanya dari kalangan muslimat. Awalnya saya menjangkakan untuk membatalkan sahaja sekiranya tiada yang datang.

Alhamdulillah saya dapat menyampaikan sedikit ulasan dan pandangan berkenaan isu Palestin dan Gaza dengan baik. Berdasarkan sedikit fakta yang dihafal juga berdasarkan pemerhatian, saya cuba membawa pendengar yang terdiri dari mahasiswa dan mahasiswi supaya lebih serius dan konsisten dalam memikirkan dan menangani isu saudara seagama kita di sana.

Sebenarnya inilah ceramah sulung yang saya sampaikan semenjak 3 bulan yang lepas. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sedikit perasaan kurang yakin untuk berdepan dengan hadirin memandangkan saya sudah sekian lama tidak berbuat demikian. Tapi berkat doa dan sedikit keyakinan, saya cuba untuk menunaikannya sebaik mungkin. Saya tahu, bukan senang untuk berhadapan dengan pendengar yang kesemuanya adalah golongan intelek, terpelajar dan berkepimpinan.


Pandangan penceramah


Saya kurang pasti apakah masalah saya ini juga dirasai oleh kebanyakan ustaz2 dan penceramah di luar sana. Namun berdasarkan sedikit pengalaman saya memberikan ceramah , meskipun apa namanya , baik tazkirah ataupun kuliah , saya dapati keadaan hadirin banyak mempengaruhi penyampaian seseorang penceramah.

Jika hadirin menumpukan sepenuh perhatian, insyaAllah kuliah atau ceramah itu akan dapat disampaikan dengan baik sekaligus menghilangkan rasa kurang yakin yang masih bersisa di hati. Alhamdulillah tadi saya berhadapan dengan hadirin yang baik dan memberikan perhatian dengan sebaiknya. Justeru penyampaian saya juga tidak terganggu. Tapi sekiranya keadaan hadirin itu resah gelisah, tidak senang duduk, keluar masuk ataupun mengalihkan tumpuan terhadap sesuatu perkara yang lain, maka percayalah penyampaian seseorang penceramah itu juga akan terganggu. Dalam keadaan ini, kiranya dia adalah penceramah amatur ataupun kurang membuat persediaan, maka natijah yang kurang baik akan dapat dilihat oleh hadirin.

Teringat sewaktu menemani seorang sahabat ke pentas ceramah Palestin bersama beberapa pemimpin PAS dan NGO di Bangi baru2 ini. Nasibnya kurang baik apabila sampai giliran dia berceramah, seorang datuk tua membuat gangguan sekaligus mengalihkan tumpuan hadirin untuk bergelak ketawa dan sebagainya. Sebagai sahabat, saya agak kecewa dan kesal melihat keadaan sahabat saya yang ‘kehilangan’ point dan tumpuan. Alangkah sedih kalau keadaan demikian berlaku dalam sesi ceramah saya.


Isu GAZA, PALESTIN dan ISLAM


Tiada lain yang saya tekankan dalam ceramah ringkas tersebut melainkan tahap sensitiviti kita sebagai mahasiswa yang bergelar muslim dan mukmin. Perkara utama yang menghakis seterusnya melenyapkan sensitiviti kita sebagai muslim antaranya adalah disebabkan terlalu ‘membontoti’ media. Media cetak mahupun elektronik, kalau dilihat hari ini, sebahagian besarnya hanya pandai memainkan isu tanpa pendirian yang jelas.

Kalau dahulu , sekitar dua bulan lepas kita lihat isu Gaza banyak disiarkan, tapi hari ini belum pun lenyap kemelut di Gaza, media telahpun beralih kepada isu Perak dan Kedah. Akibatnya masyarakat Islam yang terlalu ‘beriman’ kepada media terus hilang kepekaan dan mood terhadap isu Palestin dan Gaza. Mungkin itu yang mencuit hati sebahagian hadirin untuk ketawa bila saya katakan bahawa umat Islam hari ini beriman dengan rukun Iman yang ketujuh iaitu ‘beriman dengan media’.

Di sedikit kesempatan itu juga saya sebutkan tentang siapa Hamas dan siapa Fatah. Kedua2nya sangat berbeza dan kiranya ia tidak dapat difahami dengan baik oleh umat Islam , maka isu Gaza tidak mungkin akan dapat ditangani dan difahami dengan sebenar2nya.

Apa yang lebih penting, di sebalik kita melakukan pelbagai usaha untuk membantu Palestin seperti menderma, bersolat hajat dan berdoa, seperkara lagi yang perlu kita usahakan adalah untuk memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat terutamanya umat Islam tentang isu ini supaya umat Islam terus berada dalam mood yang sepatutnya meskipun tidak lagi dimainkan sebagai tajuk utama media. Kalau ditanya hari ini, kita mungkin telah berupaya untuk faham dengan baik, untuk memboikot dan sebagainya tetapi adakah kita telah berusaha untuk memberi kefahaman pula kepada orang lain khususnya kawan , keluarga dan saudara mara kita.


Kesedaran khas untuk saya


Saya melihat apa yang berlaku malam ini merupakan asbab untuk membentuk kesedaran khas buat saya sendiri. Dalam sesi ceramah tadi sempat saya tanyakan kepada sahabat2 pendengar tentang beberapa perkara. Saya minta supaya diangkat tangan siapa yang tidak pernah meninggalkan solat hajat mendoakan palestin, tidak pernah meninggalkan doa dalam solat untuk palestin dan membaca qunut nazilah. Tiada seorang pun yang mengangkat tangan. Dan saya pasti, kiranya saya yang berada di tempat mereka pada masa itu, saya juga tidak akan mengangkat tangan. Hakikatnya itulah realiti sebahagian besar daripada kita. Kempennya hebat dan ceramahnya berapi, tetapi hakikatnya kurang doa dan kurang sensitif. Kata2 itu sepatutnya dan sewajibnya saya tujukan kepada diri saya sendiri sebelum melihat kepada sahabat2 yang lain.

Kerana itu saya katakan, malam ini sebenarnya memberi kesedaran yang khas kepada saya untuk lebih matang dan peka dengan isu umat Islam hari ini khususnya di Palestin. Mudah2an selepas ini kita dapat sama2 membuat muhasabah dan meningkatkan daya sensitiviti kita terhadap saudara seagama kita di Palestin dan Gaza khususnya dan seluruh dunia umumnya.

Terima kasih dan syabas kepada pihak penganjur, ISIUKM dan semua sahabat2 muslimin muslimat yang hadir mendengar. Selamat maju jaya untuk anda semua.


“Islam..power!”


By : hafizquran

1 comments:

Anonymous March 2, 2009 at 4:48 PM  

Salam..

Teruskan usaha mcmni.mudahan2 Allah terus mmbri ruang kpd kita untuk myumbang bakti pada Islam disamping sbgai ruang utk kita islahkan diri kita.. wasalam

Archive Blog